Blog Ini Menggunakan Hosting 15GB Dengan Harga RM80 Sahaja. Klik Untuk Info Lanjut
Powered by MaxBlogPress  

Jiwa Positif Hidup BerTuhan (JPHBT)

Menyedari dan Merasai Kehambaan Diri dan KeTuhanan Allah SWT Di dalam Kehidupan

[Islamik NLP JPHBT]: Greensis Training Centre, Puchong

22 April 2012 | Cetak Artikel Cetak Artikel

Saya ucapkan jutaan terima kasih kerana Puan Laila Hasan dan Suami En Razali Ahmad dengan kesudian menjemput saya menyampaikan Bengkel Islamik NLP Jiwa Positif Hidup BerTuhan di Greensis Training Centre pada 14 April yang lalu. Semoga bengkel ini dapat memberikan manafaat yang banyak kepada peserta yang hadir. Bengkel ini diadakan secara tertutup khas untuk kenalan dan pelanggan Puan Laila sahaja. InshaAllah atas izin Allah kita boleh adakan secara terbuka di masa akan datang. Amin.


Popularity: 10% [?]

Teruslah Berlari

22 April 2012 | Cetak Artikel Cetak Artikel

Apakah kita sudah berhenti dari berlari (berusaha) dan berputus asa?

Siti Hajar terus berlari dan berlari dalam sedar penuh pada Allah. Tidak hanya duduk berdoa di sisi anaknya Ismail mengharapkan sesuatu dari Allah.

Siti Hajar tidak meminta makanan mahupun minuman dari Allah sedangkan itulah yang diperlukan dia dan anaknya. Yang dimohon Siti Hajar adalah….

“Wahai Tuhan, ampunilah kami, rahmatilah kami, maafkanlah kami, kurniakanlah kami kemudahanMu dan ampunilah kami segala apa yang Engkau ketahui. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui apa yang kami tidak ketahui, dan Engkaulah Allah Yang Maha Mulia Lagi Maha Pemurah”

Siti Hajar memohon keampunan dan rahmat dari Allah ketika dia diduga Allah. Cukup berbeza dengan kita ketika kita memiliki masalah, kita utamakan masalah kita dengan memohon agar Allah selesaikan masalah kita itu.

Kita bagaikan mengaturkan hidup kita dan mengarahkan Allah untuk mengikut kehendak kita. Akhirnya kita lupa memohon dengan bersungguh-sungguh keampunan dan rahmat dari Allah ketika kita berdoa kepadaNya.

Mengapa kita perlu memohon keampunan ketika kita diduga Allah sedangkan apa yang berlaku bukan kehendak kita sendiri?

Kesalahan kita iaitu tidak mahu menerima kehendak Allah sehingga sesuatu dugaan itu dilihat sebagai masalah buat diri kita. Ini kesalahan jelas kita kepada Allah ketika datang kepadaNya dengan hati yang gelisah dan khuatir.

Mohonlah keampunan dan rahmat Allah ketika kita diduga Allah. Kerana ketika diduga itu barangkali kita hilang kesedaran kepadaNya disebabkan kekhuatiran dan kegelisahan akibat tidak mampu menerima kehendakNya.

Untuk seterusnya kita bersandarkan kepada Allah untuk mengaturkan hidup kita ini dengan memohon rahmatNya. Ketika rahmatNya tiba, kita pasti akan didorongkan dengan ilham iaitu petunjuk dan kekuatan dariNya dalam menyelesaikan masalah kita.

Kita pasti digerakkan dan alam ini diaturkan indah oleh Allah seolah-olah segalanya seperti kebetulan ketika masalah kita selesai. Hakikatnya Allah jua yang mengaturkan semuanya dengan jalan penyelesaian yang tidak pernah kita fikir dan sangkakan.

Allahurabbi, sungguh indah pengajaran dari kisah Siti Hajar dan Nabi Ismail ini.  Sederhana tetapi bermakna inshaAllah.

Fuad Latip 22 April 2012: 3:37 pagi

Popularity: 12% [?]

[Islamic NLP JPHBT]: Berubah Kekal Dengan Mudah

20 April 2012 | Cetak Artikel Cetak Artikel

Di dalam otak kita ada tersimpan data yang menyimpan perkara-perkara yang selesa dan tidak selesa untuk kita lakukan.

Sebagai contoh, seandainya kita sudah biasa dengan tabiat buruk, ia merupakan keadaan selesa untuk kita. Ketika kita ingin berubah SECARA KEKAL, kita mula menjadi tidak selesa kerana otak kita memberikan isyarat tabiat baik merupakan satu keadaan tidak selesa untuk kita. Ini adalah fitrah kejadian otak kita.

Mengikut kajian pakar, untuk mengubah tabiat baik menjadi keadaan selesa daripada tidak selesa SECARA KEKAL, kita memerlukan 21 hari hingga 28 hari [1]. Adalah terlalu sukar mengekalkan semangat dan kekuatan untuk berubah selama 21 hari. Ia memerlukan dorongan dalaman yang kuat.

Bagi umat Islam, ia tidak menjadi masalah. Kefahaman jelas yang dinyatakan sendiri oleh Allah SWT bahawa jiwa kita ini dipegang olehNya dan juga semua perkara bermula dengan niat yakni dorongan membuatkan kita mampu mengekalkan semangat untuk menukarkan sesuatu keadaan yang tidak selesa kepada selesa dalam masa 21 hari.

Ketika kita menyedari Allah SWT, Allah menyatakan bahawa Dia akan menuntun kita sehingga mampu memahami antara jalan-jalan kebenaran dan jalan-jalan yang buruk serta memberi kekuatan kepada kita untuk melakukan amal soleh dengan mengilhamkan taqwa serta memberi kekuatan untuk meninggalkan segala keburukan, kejahatan dan kemaksiatan [2].

Seandainya kita tidak menyedariNya, kita akan ditempatkan syaitan dalam hati kita sehingga kita berasakan sesuatu yang salah itu benar [3].

Jiwa positif hidup bertuhan membawa pembaca agar sentiasa sedar Allah setiap saat dan mampu memahami aturan Allah agar kesabaran yang ada dalam jiwa merupakan sabar atas kesedaran kepada Allah. Dengan sedar kepada Allah, kita mampu memiliki petunjuk dan kekuatan untuk mengekalkan 21 hari tabiat baik sehingga keadaan yang mulanya tidak selesa itu berubah menjadi selesa.

[1] Psycho-Cybernetics, Dr Maxwell Maltz
[2]  QS: Al-Anfal, 8:29
[3]  QS: Al-Zukhruf, 43: 36

Islamic NLP JPHBT
Fuad Latip
19 April 2012

Popularity: 11% [?]

[Islamic NLP JPHBT: Parenting] Teknik Memesongkan Fikiran Anak

20 April 2012 | Cetak Artikel Cetak Artikel

Nuqman aka Abg Man anak no.2. Beliau berumur 2 tahun 1/2 dan sejak adiknya lahir, Abg Man perlu ke ‘play school’ kemudian ke nursery sampai petang. Adik tinggal di rumah dengan pembantu rumah.

Setiap hari saya dan isteri perlu menggunakan psikologi untuk memujuk Abg Man ke sekolah. Berlainan kakak yang sudah biasa di mana sejak berumur 2 bulan lagi sudah tinggal di nursery. Kakak kini berumur 6 tahun.

Saya mengharamkan semua orang di rumah termasuk pembantu rumah menyebut “pergi ke sekolah” setiap pagi. Perkataan itu membuatkan penentangan dalam diri Abg Man untuk tidak ke sekolah.

Setiap pagi semuanya bersiap seperti biasa. Jika ada soalan daripada Abg Man “kita nak ke sekolah ke?” tidak akan dijawab. Semuanya akan bercerita topik lain.

Di dalam kereta, saya, isteri dan kakak mengalunkan zikir munajat untuk menenangkan fikiran Abg Man. Kemudian barulah menyanyikan lagu ABC, Alif Ba Ta dan lagu-lagu pra sekolah yang lain. Suasana ceria di sekolah diwujudkan sejak dalam kereta.

Semua ini bertujuan untuk memesongkan fikiran Abg Man bahawa “dia perlu ke sekolah” tetapi dia sendiri akan mengenangkan kembali saat dia gembira di sekolah dengan suasana ceria dalam kereta.

Tiba di sekolah, Abg Man hanya diam dan suasana ceria di sekolah yang diwujudkan (sejak dalam kereta malah sebenarnya dari rumah lagi) untuk hari tersebut ditunggu-tunggunya.

Saya aplikasikan juga ketika di hypermarket ketika Abg Man ingin membeli permainan. Ketika dia inginkan mainan, saya akan memesongkan fikirannya agar tidak memikirkan mainan. Di sini saya banyak menggunakan pacing and leading dan juga puji-pujian terhadap sikapnya.

Kita harus ada kemahiran berlakon yang baik. Dengan nada suara dan intonasi suara dalam memujuk. Semuanya digunakan dalam psikologi anak malah untuk sesiapa juga.

Namun satu perkara yang amat penting, sedarilah dan sentiasalah berkomunikasi dengan Allah apa yang sedang kita lakukan. Menceritakan kepada Allah dan memohon daripadaNya agar apa yang sedang kita lakukan berjaya memujuk anak-anak ini.

Kemudian janganlah menipu anak-anak. Jika memujuk mereka dengan menyatakan saudara ingin lakukan sesuatu sebagai ganti cth: kalau Abg pergi sekolah, petang ni kita pergi taman sebagai ganjaran, lalu lakukanlah. Seandainya tidak mahu anak membeli mainan tetapi belikan sesuatu yang lebih baik, maka tunaikanlah.

Jangan sesekali menipu mereka kerana mereka mungkin tidak mengungkit sekarang tetapi otak mereka menyimpan sebuah data bahawa saudara menipu mereka. Lalu ketika mereka sudah mampu tidak bergantung sepenuhnya kepada saudara, anak-anak ini akan menanamkan ketidakpercayaan kepada saudara.

Kesimpulan:
Ia boleh dilakukan dengan sesiapa sahaja dan mana-mana peringkat umur pun. Asasnya sama tetapi teknik terperincinya mengikut keadaan semasa.
1. Tidak perlu mengulang-ulang arahan kepada anak-anak.
2. Lakukan sesuatu yang anak-anak mampu beri perhatian dan kemudian perlahan-lahanlah mengarahkan kepada apa yang kita ingin mereka lakukan ketika anak-anak mula senang dengan kita.
3. Gunakan teknik memesongkan fikiran mereka kepada apa yang kita ingin mereka lakukan namun perlahan-lahan membawa ke arah apa yang kita ingin mereka lakukan.
4. Ketika memujuk, sentiasa berkomunikasi dengan Allah memohon jiwa mereka lembut dan mendengar kata serta cara yang kita aplikasikan mampu membawa mereka melakukan apa yang kita minta.
5. Sentiasa membelai mereka dengan tangan kita kerana belaian mampu mengalirkan rasa jiwa kita kepada mereka.

Contoh yang saya beri adalah untuk anak-anak kecil. Namun asasnya adalah sama ketika saudara berhadapan dengan sesiapa pun. Ia adalah cara yang mampu memukau sesiapa sahaja.

Fuad Latip
19 April 2012

Popularity: 10% [?]

Tiada Persoalan

18 April 2012 | Cetak Artikel Cetak Artikel

Dalam melakukan kehendak Allah, tidak perlu banyak persoalan kerana perintah Allah tidak dapat dijangkau oleh fikiran. Ia akan dapat difahami setelah melakukan. Seharusnya tidak perlu bimbang dan apa jua persoalan kerana yang memerintahkan adalah Allah. Bukannya yang lain.

Allah suruh ajar anak solat… ye ajarkan dengan benar. Tiada persoalan. Samada anak-anak melakukan kerana terpaksa, biarlah. Itu pada fikiran kita. Namun yang seterusnya kita tidak mampu mengetahui apakah aturan Allah untuk anak-anak kita.

Allah suruh kita solat dengan sempurna… ye solat dengan sempurna. Tidak sempurna.. berusaha untuk sempurnakan. Tidak tahu .. harus belajar. Kerja kita mendirikan solat dengan baik. Berusaha untuk memiliki khusyuk. Khusyuk atau tidak itu kita tidak mampu memilikinya kerana atas kehendak Allah samada memberikan khusyuk atau tidak kepada kita. Tugas kita, untuk benar-benar sambung dan dekat dengan Allah.

Allah suruh kita berpuasa… ye berpuasalah ikut caranya. Bukan melebihkan amalan lain sehingga puasa yang seharusnya dijalankan tidak dihayati dengan baik. Kita lebih mengutamakan bertadarus Al-Quran dari berpuasa itu sendiri. Bagi kita puasa itu sekadar lapar dan dahaga. Amalan puasanya adalah membaca Al-Quran solat tarawih sedangkan kita tidak memahami menjalankan puasa dengan benar.

Allah suruh kita berzakat… ye berilah zakat… mengapa bimbang miskin kerana perintah Allah tidak perlu diragukan. Samada kita tidak banyak wang, bersedekahlah. Sedekah bukan bergantung kepada nilai wang tetapi bergantung kepada hati kita. Sejauh mana kita berjaya melepaskan nilai wang yang kita sedekahkan. Sedekahlah nilai yang kita sayang. Bukan nilai yang kita tidak kisah.

Allah suruh haji.. berusahalah. Fahamilah haji dengan baik. Haji bukan semata-mata untuk mengikut apa yang dilakukan oleh Nabi dan Rasul. Haji sebenarnya adalah melatih diri untuk pergantungan hanya pada Allah SWT. Rukun-rukunnya itulah latihan yang seharusnya dilakukan sehingga jiwa ini tidak lagi bergantung kepada yang lain selain Allah SWT.

Allah suruh jalankan hudud…. cara pemerintahan islam.. ye jalankan. Tidak ada persoalan dan alasan itu ini. Jika ada… jawablah sendiri di hadapan Allah nanti jika terdaya. Jika negara kita terdiri daripada kaum majmuk atau apa jua alasan, semuanya akan dipertanggungjawabkan kepada kita.

Allah suruh menutup aurat… tidak ada persoalan itu ini lagi. Belum sampai serulah.. belum bersedialah dan sebagainya. Allah Yang menjadikan kita, mengaturkan hidup kita setiap saat pastinya Allah tahu yang terbaik buat kita.

Seandainya kenal Allah dengan benar… semua ini pasti tidak ada ragu. Pasti. Belajarlah… angkatlah kesedaran untuk mengenal Allah. Namun bukan terhijab dengan ilmu tanpa jiwa benar-benar berjalan menuju untuk dekat denganNya.

Popularity: 11% [?]

Buah Tin, Zaitun, Bukit Sinai dan Negeri Mekah

18 April 2012 | Cetak Artikel Cetak Artikel

Semalam ketika pulang ke rumah dari kerja, saya dan isteri berkongsi ilmu. Masing-masing memberikan satu surah Al-Quran yang dapat menguatkan kesedaran diri kepada Allah.

Alhamdulillah, isteri saya menceritakan tentang surah At-Tin sebagai motivasi yang selalu diberinya pada pelajar.

Kata beliau, kita ini adalah makhluk yang hebat yang dijadikan Allah. Bukanlah untuk ego tapi kesedaran diri hebat agar bersyukur kepada Allah.

Dalam surah At-Tin Allah bersumpah dengan buah tin dan zaitun. Bukan sekadar itu sahaja, malah Allah bersumpah dengan bukit sinai dan negeri Mekah bahawa sesungguhnya Allah jadikan manusia ini adalah makhluk yang terbaik.

Yang menjadikan kita tidak baik adalah diri kita sendiri. Lihatlah masalah yang pernah kita hadapi selama ini. Kita tempuh semuanya dengan baik. Alhamdulillah hari ini kita masih hidup. Masalah yang kita miliki tidak pernah membunuh kita.

Bacalah surah At-Tin untuk penguat semangat. Di dalamnya Allah bersumpah bahawa kita dijadikan dengan sangat baik. Allah bersumpah dengan 4 benda…. buah tin, zaitun, bukit sinai dan negeri mekah. Semuanya untuk meyakinkan kita.

Lalu apakah kita masih tidak yakin bahawa kita dijadikan Allah dengan baik sekali dan sebenarnya mampu melakukan sesuatu dengan baik dan berjaya? Pasti kita boleh selagi kita beriman di mana kita berpegang hanya pada Allah SWT.

Allah SWT berfirman:
Demi [buah] Tin dan [buah] Zaitun, (1)
dan demi bukit Sinai, (2)
dan demi kota [Mekah] ini yang aman, (3)
sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. (4)
Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya [neraka], (5)
kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya. (6)
Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan [hari] pembalasan sesudah [adanya keterangan-keterangan] itu? (7)
Bukankah Allah Hakim yang seadil-adilnya? (8)
(QS At-Tin, 95: 1-8)

Terima Kasih isteriku kerana menguatkan semangatku.
Fuad Latip
18 April 2012

Popularity: 10% [?]

Aku Sedar…

11 April 2012 | Cetak Artikel Cetak Artikel

Aku sedar…

Ketika aku menuntut ilmu, aku sebenarnya membongkar ilmu Allah.

Ketika aku bersedekah, aku sebenarnya berniaga dengan Allah.

Ketika aku berkerja, aku sebenarnya adalah wakil Allah menunaikan segala kehendakNya.

Ketika aku memberikan kasih sayang kepada isteri dan anak-anak, aku sebenarnya menyampaikan kasih sayang Allah kepada mereka.

Rasakan keindahannya ketika kita menyedari apa yang kita lakukan adalah hanya untuk Allah. Kita pasti tidak pernah dirugikan Allah.

Allahurabbi…. hari ini saya mendapat redha mak dan guru. Dapat membahagiakan kedua-duanya. Hingga ini jelas terasa keredhaan Allah.

“ya Allah, hambaMu ini sentiasa siap untuk menjadi hambaMu yang dipercayaiMu ya Allah. Terima kasih ya Allah, terima kasih”

Popularity: 14% [?]

[Terapi Jodoh] Ibu Bapa Redha dan Pasrah

10 April 2012 | Cetak Artikel Cetak Artikel

Saudara,

Tidak dapat dinafikan hal jodoh ini sangat membimbangkan ibu bapa lebih-lebih kepada mereka yang memiliki anak yang masih belum memiliki jodoh namun umur setiap hari semakin meningkat. Sebenarnya kebimbangan ibu bapa memberikan kesan besar kepada anak sehingga kadang-kadang anak-anak sangat tertekan.

Kepada ibu bapa,
Tuan-tuan dan puan-puan harus pasrah dan redha terlebih dahulu dengan hal jodoh anak-anak. Ketika ibu bapa pasrah dan redha yang benar, maka hati anak akan tenang sehingga ketenangan ini mampu merambat ke persekitaran dan akan membuatkan diri mereka disenangi. Akhirnya ketenangan itu akan dapat ditangkap oleh mereka yang dipilih Allah sebagai jodoh anak tadi.

Bagaimana untuk pasrah dan redha dengan hal jodoh anak?
Pulanglah ke Allah dan fahamilah aturan Allah. InshaAllah di sana ada kesabaran, ada kekhusyu’an dan ada kedamaian yang masuk terus ke jiwa hingga si anak mampu merasakannya.

Cubalah baca artikel di dalam laman web ini. InshaAllah tuan-tuan dan puan-puan akan memahami aturan Allah lalu mampu bersabar dan seterusnya redha dan pasrah terhadap kehendak Allah SWT.

Popularity: 17% [?]

« Artikel TerkiniArtikel Terdahulu »
  • Bengkel JPHBT

  • JPHBT di Android Phone

  • Kemaskini di FB JPHBT

  • Artikel Terkini

  • Petikan

    Ya Allah Kau kurniakan kepada kami pendamping yang terbaik, pernikahan yang berkah, rumahtangga yang sakinah, keturunan yang soleh dan solehah.
    - Fuad Latip -
  • Doa

    Ya Allah, Aku mohon kepadaMu agar Kau catatkan siapa pun yang membaca blog ini, menjadi orang-orang yang Engkau angkat kerajaannya. Engkau ampuni seluruh dosa-dosanya. Engkau buka hati yang tertutup. Engkau lembutkan hati yang keras membatu. Engkau cahayai hati yang gelap gelita. Ya Allah jadikan perkongsian ilmu ini membuatkan sisa umur kami penuh berkah. Terpelihara dari fitnah dan musibah. Amin.
  • Artikel Popular

  • Arkib

  • Popular Keyword