Blog Ini Menggunakan Hosting 15GB Dengan Harga RM80 Sahaja. Klik Untuk Info Lanjut
Powered by MaxBlogPress  

Jiwa Positif Hidup BerTuhan (JPHBT)

Menyedari KeTuhanan Allah SWT dan Kehambaan Diri Di dalam Setiap Detik Kehidupan

Berada Di Atas Rasa

29 April 2015 | 1 Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

FacebookGoogle GmailYahoo MailWordPressTwittermore

Bismillah hirRahmanir Rahim

Saudara yang dirahmati Allah,

Cuba lakukan ini dalam 5 minit. Sudah sangat memadai.

1. Duduk santai dan jika dapat bersandar.
2. Berada di atas rasa iaitu sedari diri sedang berasa apa? Bahagia? Gembira? Sakit hati? Sedih? Geram?. Perhatikan rasa itu dengan sedar.
3. Sedari apa sedang difikirkan oleh fikiran itu sekarang? Perhatikan dalam sedar.

Apa yang sedang kita lakukan di atas adalah menyedari apakah ilham-ilham yang sedang dituntun Allah kepada kita. Walaupun kita tidak mampu menangkap sepenuhnya namun apa yang sedang kita alami itu adalah hasil daripada ilham-ilham yang masuk.

Dari sini kita sedar bahawa kita sedang diilhamkan dengan ilham FUJUR (buruk) atau ilham TAQWA (baik) oleh Allah.

Ilham fujur dan taqwa bergantung sejauh mana hubungan kita dengan Allah. Kalau sekadar solat, melakukan kebaikan tetapi tidak mampu setiap saat menyedari Allah yakni berzikir, tidak mustahil ilham fujur itu boleh masuk ke hati kita menyebabkan rasa-rasa yang tidak tenteram dan juga fikiran yang negatif terjana.

Zikir itu adalah menyedari Allah. Ketika menyedari Allah pasti akan ada TASBIH dari hati kita lalu kita menyatakan dalam hati kita Subhanallah hingga ke bibir kita.

Zikir itu adalah menyedari Allah. Ketika menyedari Allah pasti akan ada TAHMID dari hati kita lalu kita menyatakan dalam hati kita Alhamdulillah hingga ke bibir kita.

Zikir itu adalah menyedari Allah. Ketika menyedari Allah pasti akan ada TAKBIR dari hati kita lalu kita menyatakan dalam hati kita Allahuakbar hingga ke bibir kita.

Zikir itu adalah menyedari Allah. Ketika menyedari Allah pasti akan ada TAHLIL dari hati kita lalu kita menyatakan dalam hati kita Laillahaillallah hingga ke bibir kita.

Zikir itu bukan tasbih, tahmid, takbir dan tahlil TETAPI HATI TIDAK BENAR- BENAR MENYEDARI ALLAH. Sekiranya tidak sedar Allah jadilah ia sekadar ungkapan-ungkapan biasa bahkan bimbang menjadi sebuah PUJIAN YANG MENIPU yang bukan datang daripada hati kita.

Sekadar di bibir yang diungkapkan hasil daripada minda bawah sedar kita kerana biasa mengungkapkan tasbih, tahmid, takbir dan tahlil. Sekadar sebuah rutin biasa dan ini sangat membimbangkan.

Solat itu harusnya dalam keadaan zikir (Sedar Allah / Ihsan). Segala amalan harusnya berada dalam keadaan zikrullah (Sedar Allah / Ihsan). Beriman itu harusnya dalam keadaan Ihsan. Berislam itu harusnya dalam keadaan Ihsan.

Mari….. sekadar beberapa minit untuk kita perhatikan hati kita sedang diilhamkan dengan ilham apa? FUJUR atau TAQWA?

Sekiranya masih ada FUJUR, kembalilah kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Sedari Allah lalu pasti akan rojiun. Istighfar lah…… istighfar…..

Fuad Latip
29 April 2015

Pesanan Untuk Anak Ayah #4: Syariat, Tariqat, Hakikat dan Makrifat

24 April 2015 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Bismillah hirRahmanir Rahim

Wahai anak-anak ayah. Hidup ini adalah sebuah lakonan semula apa yang sudah tertulis.

Kehidupan ini sebuah permainan seperti firmanNya dalam Al Quran.

Betapa kau kejar sesuatu, andai ia bukan milikmu, engkau tetap tidak memilikinya.

Betapa takdirnya adalah milikMu, bersyukurlah kerana Allah menetapkan dalam kehidupan ini, engkau memiliki apa yang engkau hajatkan.

Namun anakku, kita ini hidup di level kemanusiaan. Jalankan apa yang dikehendaki Allah.

Apa jua yang berlaku, terima… Redha kerana itu takdirNya.

Namun sebelum apa jua hal yang belum engkau ketahui, selagi ia berada dalam syariatNya, jalankan…. Usahakan… Lakukan atas Nama TuhanMu.

Lakukan tanpa melepaskan kesedaran padaNya. Lakukan kerana Dia semata-mata.

Lakukan kebaikan kepada ayah dan ibumu kerana Allah mengkehendaki hal itu.

Lakukan kebaikan kepada semua orang kerana Allah menjadikanmu wakilNya untuk tugas-tugas tertentu ke atasmu.

Teruslah menyedariNya kerana setiap saat engkau harus ditutuni dengan ilhamNya sebagai taqwa.

Taqwa adalah sebuah ilham baik masuk ke hatimu lalu engkau akan sentiasa faham kehendak Tuhanmu.

Wahai anak-anak ayah, justeru apa yang sedang engkau lalui ini, apa yang sedang engkau lakukan itu, apa yang sedang engkau usahakan itu….. Itu semua adalah takdir yang telah ditetapkan Allah padamu.

Doamu, usahamu, kerjamu, amalmu, dan segala yang sedang berlaku setiap saat ini adalah SEBUAH KETETAPAN iaitu TAKDIR kehidupanmu.

Kerana itu di ketika engkau miliki sesuatu, syukurmu itu adalah kerana Allah telah menetapkan takdir ini untukmu sejak azali lagi.

Apa yang engkau miliki bukannya Allah mengikuti doamu, Allah mengikuti usahamu, Allah mengikut kehendakmu.

Tetapi semua keseluruhan itu adalah TAKDIR yang ditetapkan termasuk doamu, usahamu, amalmu.

Takdir yang unik untuk kehidupan kita masing-masing. Sedarinya… Terimanya… Redha dengan takdir yang ditetapkan ini.

Sekali lagi wahai anak-anak ayah, teruskan hidupmu dengan menjalankan (tariqat) akan syariat yang ditetapkan Allah kerana engkau adalah seorang MANUSIA….hambaNya.

Di sana engkau akan melalui sebuah pengalaman. Itulah hakikat sebenar dan engkau merasai sebuah makrifat.

Inilah sebuah syariat, tariqat, hakikat dan makrifat yang tidak boleh dipisahkan.

Fuad Latip
24 April 2015

Pesanan Untuk Anak Ayah #3: Bergantung Hanya Pada Allah

15 April 2015 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Bismillah hirRahmanir Rahim

Wahai anak-anak ayah. Ayah tidak tahu apa yang dikatakan Nabi tercinta kita ini akan berlaku zaman ini atau zamanmu.

Namun berhati-hatilah wahai anak-anak ayah dengan tipu daya dunia.  Tetaplah kuat bergantung hanya pada Allah.

Seandainya dirimu bergantung pada ayah,  mama atau manusia lainnya,  semua kami akan pergi jua. Cuma menunggu masa yang menentukan.

Teruslah kuat menyedari Allah agar dirimu hanya benar-benar bergantung padaNya.  Dan apa yang kamu nikmati hari ini adalah pemberian dariNya. Cuma melalui ayah,  melalui mama dan melalui yang lain.

Sentiasa ingat pesanan Nabi kita ini:
Bersabda Rasulullah “Hampir tiba masanya kalian diperebutkan seperti sekumpulan pemangsa yang memperebutkan makanannya.”

Maka seseorang bertanya: ”Apakah karena sedikitnya jumlah kita?”

“Bahkan kalian banyak, namun kalian seperti buih mengapung. Dan Allah telah mencabut rasa gentar dari dada musuh kalian terhadap kalian.

Dan Allah telah menanamkan dalam hati kalian penyakit Al-Wahan.”

Seseorang bertanya: ”Ya Rasulullah, apakah Al-Wahan itu?”

Nabi bersabda: ”Cinta dunia dan takut akan kematian.”
(HR Abu Dawud 3745)

Fuad Latip
15 April 2015

Pesanan Untuk Anak Ayah #2: Komunikasi, Cinta, Sedar & Iman

13 April 2015 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Bismillah hirRahmanir Rahim

Wahai anak-anak ayah, bacalah pesan ayah ini agar dirimu dapat menjaga imanmu.  Ini bukan sekadar indah pada tulisan. Tetapi sangat praktikal.

Anak-anak ayah,

IMAN itu adalah percaya dan sangat yakin pada Allah.

KESEDARAN setiap saat kepada Allah itu menjaga KEIMANAN kita padaNya.

CINTA itu menjadikan kita sentiasa SEDAR padaNya.

KOMUNIKASI denganNya itu melahirkan CINTA padaNya.

Latihlah wahai anak-anak ayah agar sentiasa berkomunikasi denganNya apa yang difikirkan,  apa yang didengar, apa yang dilihat, apa yang dirasakan.

Ketika dirimu sentiasa berkomunikasi denganNya,  akan lahirnya cinta padaNya.  Sentiasa berasa Dia ada. Dekat. 

Ketika ada cinta kepadaNya dalam hatimu,  pasti kamu tidak mampu melepaskan kesedaranmu padaNya.  Sedar itu adalah zikirmu padaNya kerana kamu sedar Dia ada.

Hatimu, lidahmu malah seluruh tubuhmu akan sentiasa memujiNya, bersyukur padaNya,  mengagungkanNya.

Kamu akan sentiasa bertasbih,  bertahmid,  bertakbir dan bertahlil dengan benar.  Kamu sentiasa beristighfar memohon keampunan daripadaNya.

Lalu kamu sangat percaya dan yakin padaNya.  Kamu pasti tidak akan mensyirikkanNya kerana kamu percaya dan yakin tiada yang lain berhak menjadi Tuhanmu melainkan Dia… Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Didoakan anak-anak ayah sentiasa menyedari Allah setiap saat hidup ini.

Fuad Latip @ Ayah
13 April 2015

Dura Fuad, Nuqman,  Aadilia,  Furqan.

Pesanan Untuk Anak Ayah #1: Pandai Dalam Hidup

13 April 2015 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

[#JPHBT:Siri Pesanan Buat Anak Ayah] 

Bismillah hirRahmanir Rahim

Wahai anak-anak ayah,  ingatlah bahawa “Pandai dalam akademik tidak semestinya pandai dalam hidup”. 

Allah boleh menjatuhkan darjat kita hanya dengan hal yang sikit sahaja. Atau juga dengan kata-kata kita. Juga tingkahlaku kita.

Dan yang sering menjatuhkan darjat kita itu adalah diri kita sendiri. Bukan orang lain.

Ternyata rendah atau tinggi akademik kita,  kita mampu terus hidup. Yang membezakan kita adalah hubungan kita dengan Allah.

Dekat dengan Allah,  Insha Allah,  Allah akan ilhamkan taqwa sehingga kita mampu berfikir dengan baik dan dikatakan kita “berakal”. 

Didoakan Allah sentiasa melindungi kita daripada kebodohan dan kejahilan. Amin.

Fuad Latip @ ayah

  • FB GROUP JPHBT

  • JPHBT di Android Phone

  • Artikel Terkini

  • Petikan

    Kita perlu sedar hidup ini adalah mencabar. Hidup ini memang susah. Hidup ini memang banyak masalah. Kesedaran ini membuatkan kita tahu yang diri kita tidak mampu mengharungi hidup ini tanpa bantuan Allah SWT. Jika kita sedar hidup ini susah, pasti kita akan BERSUNGGUH-SUNGGUH mengharapkan bantuan Allah SWT.
    - Fuad Latip -
  • Doa

    Ya Allah, Aku mohon kepadaMu agar Kau catatkan siapa pun yang membaca blog ini, menjadi orang-orang yang Engkau angkat kerajaannya. Engkau ampuni seluruh dosa-dosanya. Engkau buka hati yang tertutup. Engkau lembutkan hati yang keras membatu. Engkau cahayai hati yang gelap gelita. Ya Allah jadikan perkongsian ilmu ini membuatkan sisa umur kami penuh berkah. Terpelihara dari fitnah dan musibah. Amin.
  • Arkib

  • Popular Keyword