Blog Ini Menggunakan Hosting 15GB Dengan Harga RM80 Sahaja. Klik Untuk Info Lanjut
Powered by MaxBlogPress  

Jiwa Positif Hidup BerTuhan (JPHBT)

Menyedari KeTuhanan Allah SWT dan Kehambaan Diri Di dalam Setiap Detik Kehidupan

Berubah Dengan Mengubah Makna Sebuah Kejayaan #2

30 May 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

FacebookGoogle GmailYahoo MailWordPressTwittermore

#Apakah kejayaan yang Allah telah berikan pada saudara hari ini?

#Beri salam pada anak-anak dan suami/isteri sebaik bangun tidur?

#Memeluk anak sebelum pergi kerja di mana mungkin ada yang selama ini tidak lakukan?

#Mengucapkan terima kasih pada isteri atau suami sebelum pergi kerja di mana selama ini tidak dilakukan?

#Bersedekah awal pagi yang selama ini tidak pernah dilakukan?

#Mendirikan solat dhuha di pejabat yang mana sebelum ini tidak atau jarang dilakukan?

#Datang terus kepada sahabat yang kita tidak tegur selama ini dan memohon maaf kepadanya?

Setiap kebaikan yang dilakukan pasti saudara akan memiliki ganjaran serta merta iaitu bahagia di hati seandainya itu diertikan sebagai sebuah kejayaan dalam hidup ini.

Ketika pertama kali kita lakukan setelah sebelum ini kita tidak pernah lakukan, kita bersyukur pada Allah kerana berikan kekuatan pada kita hari ini untuk kita lakukan.

Esok ketika kita melakukan perkara yang sama, kita sekali lagi bersyukur pada Allah. Allah terus memberikan kekuatan dan istiqamah untuk kita lakukan kebaikan.

Hari-hari seterusnya kita pasti terus bersyukur pada Allah. Allah terus berikan daya pada kita untuk kekal istiqamah malah setiap hari kita diberikan daya oleh Allah sehingga mampu mujahadah (bersungguh-sungguh) lakukan.

Indahnya seandainya kita mengubah kejayaan buat diri kita seperti ini. HATI BAHAGIA DALAM KESEDARAN PADA ALLAH. Allahuakbar! Rasa dan sedarilah keindahannya.

Fuad Latip
30 Mei 2012
Like ·

Mengubah Makna Sebuah Kejayaan

29 May 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Ternyata kita mampu berubah dengan mengubah makna kejayaan untuk diri kita sendiri.

Sejak tiga tahun lepas saya mula mengubah persepsi terhadap sebuah kejayaan. Kejayaan tidak lagi diukur berapa banyak rezeki yang mampu saya miliki. Tetapi kejayaan diukur daripada sudut lain. Akibatnya saya agak perlahan dan tidak berapa aktif di dalam perniagaan internet.

Saya latih persepsi ini dari hari kesehari dan saya jemput sekali dengan isteri saya untuk mengubah pengertian terhadap sebuah kejayaan untuk diri kami sendiri. Dalam masa yang sama saya melihat status-status FB bagaimana setiap orang memberi pengertian sebuah kejayaan untuk dirinya.

Sejak itu saya dan isteri mengukur kejayaan buat diri kami dengan melihat sejauh mana kami mampu istiqamah dan mujahadah dalam mempertahankan kesedaran akan Allah SWT setiap saat hidup ini.

Kami latih agar kami memahami kejayaan buat diri kami adalah berapa istiqamah kami mampu untuk terus melakukan solat dhuha, rawatib, awwabin dan solat-solat sunat di dua pertiga malam. Kami bukan orang yang hebat dalam amalan semua ini. Tapi inilah visi dan misi kami yang menjadikan pengertian kejayaan buat kami berubah.

Kami latih kejayaan buat diri kami dengan berapa banyak kami mampu bersedekah dari rezeki yang kami terima setiap bulan tidak kira samada rezeki setiap kami banyak atau sedikit. Seandainya banyak, kami akan menilai sejauh mana kami mampu sedekah pada nilai yang kami sayang.

Kami latih setiap hari berapa banyak kebaikan yang kami lakukan. Berapa banyak pertolongan yang diberikan. Berapa ramai orang yang kami santuni, hormati dan bahagiakan.

Walaupun kami belum cukup hebat dengan semua ini, masih lagi perlahan-lahan istiqamah dan mujahadah dalam semua ini, namun Alhamdulillah sekurang-kurangnya usaha ke arah mencapai kejayaan ini mula berjalan dan terus berjalan.

Dulu mendirikan solat kerana kewajipan dan Alhamdulillah kini makin mengerti diri ini memerlukan solat dan datang kepada Allah kerana rindu dan cinta kepadaNya.

Dulu mengeluarkan sedekah pada nilai yang tidak kisah dan kini bersedekah dengan nilai yang disayangi kerana keyakinan kepada Allah yang sentiasa memberikan rezeki kepada kami mengikut keperluan kami.

Dulu susah untuk bangun malam atau jika bangun malam adalah untuk mencari duit melalui bisnes internet. Walaupun sebenarnya saya tidak meninggalkan bisnes internet namun usahanya tidaklah seperti dulu. Saya rasa sangat cukup dengan rezeki yang sedia ada malah sangat cukup. Kini seringkali terbangun dan Alhamdulillah sering diberikan Allah kekuatan untuk datang kepadaNya.

Alhamdulillah segala-gala dengan petunjuk dan kekuatan dalam mengejar kejayaan ini. Paling utama saya mula perlahan-lahan berjaya melatih diri saya dan isteri untuk melatih fikiran dan diri ini memahami makna yang terbaik tentang sebuah kejayaan. Kejayaan yang sebenar adalah bertaqwa kepada Allah. Sebuah makna kejayaan yang ramai mengetahuinya namun mungkin ramai yang masih mengejar yang lain lebih dari berusaha mengejar taqwa ini.

BUKTINYA? kita sanggup ke sana sini, sanggup kerja sampai ke malam dan sebagainya semata-mata kerana selain daripada memiliki kejayaan yang besar di sisi Allah iaitu menjadi hambaNya yang bertaqwa kepadaNya. Seandainya kita bertaqwa, kita pasti berusaha bersungguh-sungguh untuk dunia dan akhirat namun tidak sebaliknya iaitu seandainya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk dunia, kita belum pasti menjadi hamba yang bertaqwa.

Ini adalah tentang peribadi saya. Melatih diri untuk memahami erti sebuah kejayaan. Sekadar perkongsian. Semoga jalan-jalan kejayaan ini terus dapat saya jalani dengan istiqamah dan mujahadah. Amin.

 Contoh untuk memahami kejayaan ini:
Ketika saudara selesai solat dhuha, saudara berterima kasihlah pada Allah kerana memberikan kekuatan kepada saudara sehingga saudara BERJAYA mendirikan solat dhuha.

Terima kasih atau syukur ini harus benar iaitu berterima kasih dengan kekuatan yang diberikan dan berjanjilah dengan Allah akan terus menjadi hamba yang dipercayaiNya. Hari ini teruslah melakukan sebanyak kebaikan yang kita mampu. Pertahankan terus kesedaran kita pada Allah.

Ketika selesai melakukan kebaikan, sama juga caranya berterima kasihlah pada Allah dengan Alhamdulillah dan berjanji terus akan melakukan kebaikan demi kebaikan.

Inilah cara bagaimana kita istiqamah dan mujahadah dalam kejayaan ini dan terus mendapatkan kejayaan yang seterusnya seperti solat yang khusyuk, bersedekah, melakukan kebaikan, solat sunat rawatib dan solat-solat sunat di dua pertiga malam.

Ternyata seandainya kita mampu set jiwa dan minda kita dengan kejayaan ini, kita sentiasa berasa tenang dan tidak stress untuk mencapainya. Tidak seperti kejayaan material yang seringkali kita stress untuk memilikinya.

Seandainya kita kaji, mereka yang sudah selesa dengan material pasti belum puas kerana sebenarnya mereka belum memiliki kejayaan yang sebenar. Mereka pasti akan ke arah apa yang diperkatakan dalam artikel saya ini. Mereka pasti banyak melakukan kerja-kerja kebajikan.

Persoalannya, apakah kita ingin tunggu sehingga kita puas dengan material kemudian barulah mengejar kejayaan yang sebenar? Bagaimana seandainya seluruh umur kita, kita tidak memiliki seperti mana orang lain miliki?

Lalu ubahlah makna kejayaan kita hari ini kepada kejayaan yang sebenar kerana ketika kita berusaha untuk menjadi hamba yang terbaik di “mata” Allah, kita akan memiliki semuanya kejayaan-kejayaan dunia dan akhirat.
Kejayaan ini mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja dan setiap hari mampu dicapai. Ia akan membuatkan kita lebih yakin pada Allah dari saat ke saat, hari ke hari.

Incoming search terms:

Kemenangan Vs Kebenaran

27 May 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Carilah kebenaran bukan kemenangan kerana setiap yang benar pasti akan menang TETAPI setiap kemenangan belum pasti benar.

Pastikan kita mencari dan berada dalam kebenaran dari sisi Tuhan dalam setiap apa yang kita lakukan baik soal ibadah, syariat, akhlak, muamalat, munakahat, politik, sosial etc.

Seandainya kita mencari kemenangan, kita sekadar mampu mendapatkan kemenangan dari sisi manusia. Namun ketika kita mencari dan memastikan kita sentiasa berada dalam kebenaran dari sisi Tuhan, pasti kemenangan akan datang dan kemenangan itu bukan kemenangan dari sisi manusia tetapi dari sisi Tuhan.

Jangan sampai kerana kita inginkan kemenangan, kita mengenepikan alim ulama. Kita mencaci, menyesatkan malah mengkafirkan mereka dengan menyatakan mereka mempergunakan agama demi kepentingan diri. Kita ukur siapa kita berbanding mereka. Berapa banyak ilmu yang mereka ada dan berapa banyak amalan mereka berbanding kita.

Kita ukur berapa banyak kita melaksanakan Islam dalam kehidupan kita berbanding mereka. Jangan sampai kerana inginkan kemenangan, kita dilaknat Allah SWT (nauzubillah). Jangan sampai kerana kemenangan kita bersekongkol dengan orang-orang zalim. Siapakah orang yang zalim? Mereka mengerti Islam tetapi tidak menjalankan cara hidup Islam.

Pilihlah, renunglah kembali diri kita. Jangan sampai kerana mencari kemenangan kita mengenepikan kebenaran. Tetapi biarlah seandainya kita terpaksa mengenepikan kemenangan demi kebenaran dari sisi Tuhan.

Fuad Latip
26 Mei 2012

Terhapusnya Kegelisahan

25 May 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Gelisah sempit terhimpit itu kerana tidak sabar dalam mengharungi kehidupan ini.

Tidak sabar itu kerana tidak berserah kepada Allah dengan total.

Tidak mampu berserah itu kerana tidak yakin pada Allah.

Tidak yakin pada Allah itu kerana tidak mampu menyedari Allah SWT.

Tidak mampu menyedari Allah kerana ada masalah hubungan dengan Allah.

Ada masalah hubungan dengan Allah kerana jarang datang ke Allah SWT.

Jarang datang ke Allah kerana tidak ada rasa rindu dan cinta pada Allah.

Tidak ada rasa rindu dan cinta pada Allah kerana tidak kenal Allah SWT.

Selesaikan satu persatu dari bawah… inshaAllah kita akan sabar dalam mengharungi hidup ini.

Ketika kenal Allah, pasti kita akan rasa rindu dan cinta pada Allah.

Ketika ada rasa rindu dan cinta pada Allah, pasti kita sentiasa ingin datang kepada Allah.

Ketika selalu datang pada Allah, hubungan kita sangat akrab dengan Allah.

Ketika hubungan kita sangat akrab dengan Allah, pasti kita sentiasa sedar Allah.

Ketika kita sentiasa sedar Allah setiap saat, pasti kita yakin dengan Allah.

Ketika kita yakin dengan Allah, kita pasti akan berserah total 100% hanya pada Allah.

Ketika kita berserah total pada Allah, pasti kita sabar dalam mengharungi hidup yang diaturkan Allah.

Ketika kita sabar, kita tidak lagi gelisah, resah, sempit, terhimpit, sakit hati, marah, geram etc.

Kita akan lebih bersemangat, redha, sabar, cinta, sayang, kasih, tenang, bahagia, kreatif, inovatif, gigih, tabah etc.

Seandainya perkara pertama itu iaitu “mengenali Allah” diselesaikan, saya meyakini perkara-perkara seterusnya akan selesai. Kerana itu yang banyak diperjelaskan di dalam Al-Quran adalah berkenaan TAUHID.

Fuad Latip
25 Mei 2012

Rasa Tidak Pernah Menipu

24 May 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Seandainya orang lain pernah merasai buah ini, kita tidak perlu menerangkan apa-apa untuk menjelaskan rasanya. Jika ingin menerangkan pun, adalah terlalu sukar untuk dirasai oleh orang itu rasa yang sebenarnya kerana rasa tidak mampu berpindah dari seseorang ke seseorang yang lain.

Namun sekiranya ada yang tidak pernah merasainya, pasti akan tercari-cari di fikiran bagaimana rasanya. Akhirnya kerana ego, dia akan menafsirkan sahaja daripada ilmu buku, kata orang atau tekaan fikirannya sendiri.

Ternyata dia akan gagal merasai rasa yang sebenar kerana data rasa itu tidak pernah tersimpan di otaknya. Lalu untuk mengetahui dengan benar rasanya, dia perlu berusaha untuk rasa. Dia perlu merasainya sendiri dan menikmati dalam sedar. Barulah data rasa itu masuk ke dalam otaknya dan disimpan di sana.

Ketika dia merasai buah ini, pasti hanya satu ayat sahaja yang keluar… oh! begini rasa seperti yang mereka pernah rasa.

Namun syaratnya mestilah benar buah yang ingin dirasakan itu. Kerana itu perlu kenal benar buah itu dan ada yang mengesahkan bahawa itulah buah yang rasanya harus begini-begini. Dan mereka yang mengesahkan itu mestilah orang yang pernah merasai buah ini.

Bila ditanya di masa akan datang, apakah rasa buah ini?, dia tidak perlu lagi mencari-cari bagaimanakah rasa buah ini. Cukup mengaktifkan kembali data rasa yang tersimpan di dalam otaknya kerana dia kini memiliki data rasa itu di otaknya. Lalu rasa itu mampu dirasai seluruh tubuhnya.

Khusyuk dalam solat itu adalah sebuah keadaan yang mana kita menyimpan rasa di dalam otak kita ketika kita berada dalam keadaan khusyuk. Namun harus faham dan tahu yang dikatakan khusyuk itu. Semua ceritanya ada di dalam Al-Quran dan hadis Nabi. Orang yang sentiasa memiliki khusyuk pasti sedar bahawa dirinya memiliki khusyuk atau tidak ketika mendirikan solat tadi kerana orang ini mampu kenal yang mana khusyuk dan yang mana tidak.

Seandainya dia tidak pernah mendapatkan khusyuk, pasti dia cuma menggunakan otak untuk menafsirkan rasa khusyuk ini. Lalu dia pasti akan menggunakan ilmu yang pernah dibacanya atau ilmu dari kata-kata orang yang pernah merasainya. Dirinya tidak pernah merasainya.

Lalu ketika ada yang merasainya, dia tidak boleh terima kerana keegoan dirinya yang menyatakan “aku pun tidak dapat rasa, inikan kamu”.

Ketika ada yang pernah merasai khusyuk ini menjelaskan dengan kata-kata walaupun tidak mungkin mampu menjelaskannya dengan bahasa mahupun tulisan, dia yang tidak pernah rasa akan membantah dengan ego. Dia akan salah faham dengan kata-kata malah dia tidak mahu menerima apa yang dikatakan orang yang pernah rasa.

Ia cuma sebuah cerita dan juga analogi. Inilah yang sedang berlaku saat ini. Dan semua ini adalah perjalanan kehidupan. Ketika kita memohon untuk sabar, Allah tidak memberikan kita terus sabar tetapi Allah beri kita halangan-halangan agar kita mampu belajar dan berlatih untuk sabar. Allah mengajar kita agar kita terus memiliki rasa. Bukan sekadar ilmu sabar…. tetapi rasakan sendiri bagaimana sabar itu.

Diri ini terus berusaha mendapatkan khusyuk dalam setiap solat yang didirikan. Saya tidak berani katakan merasai itu ini dalam solat namun yang pasti solat memberikan ketenangan dalam jiwa saya yang tidak terperi dan membuatkan kesedaran akan Allah sentiasa meningkat.

Fuad Latip
Jiwa Positif Hidup BerTuhan
http://www.fb.com/fuadlatip
http://www.fuadlatip.com

Sihat Yang Berdosa

23 May 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Ahad lepas saya dan isteri membawa anak ke taman tasik Shah Alam. Kali ini sekadar bersiar-siar. Tidak seperti sebelum-sebelum ini di mana selepas solat asar di Masjid Negeri, saya akan berjogging di taman tasik Shah Alam ini. Kali ini tidak.

Sudah lama ingin saya menulis tentang hal ini tetapi baru kali ini saya teringat.

Sihat yang berdosa adalah merujuk kepada umat Islam yang amat bagus menjaga kesihatan tetapi berdosa. Mereka adalah yang berjogging di taman tasik tetapi tidak menutup aurat.

Sepanjang saya berada di taman tasik Shah Alam hujung minggu lama lebih kurang 1 jam setengah, saya lihat berpuluh-puluh umat Islam yang berjogging baik lelaki atau perempuan namun membuka aurat.

Yang lelaki memakai seluar pendek atas lutut dan yang wanita memakai seluar dan baju yang mengikut bentuk badan serta tidak bertudung sambil berjogging.

Ada juga saya menegur tetapi teguran rambang sahaja di mana sedang berselisih dengan mereka yang berjogging, saya katakan sambil lalu.. “bang, tutup aurat bang.” Itu saja daya yang saya ada untuk menegur. Saya tidak lihat wajah mereka untuk mengetahui respon mereka kerana berjalan berlawanan arah.

Saya meyakini semua itu tidak akan berlaku seandainya kita semua khusyuk dalam solat. Saya sangat meyakininya. Kita doakan bersama agar kita semua berhati-hati dengan perkara ini.

Pengajian Ke Universiti

22 May 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Sekarang ini ibu bapa ada yang gembira dan ada yang sedikit kecewa ketika keputusan untuk layak meneruskan pengajian di universiti dapat diketahui. Pintu rayuan sudah beberapa hari dibuka untuk merayu peluang pengajian di universiti.

UiTM menerima banyak permohonan di mana hampir 2/3 daripada pilihan lepasan SPM adalah UiTM (mengikut apa yang dikatakan oleh VC).

Saya ingin berkongsi sedikit bagi ibu bapa dan anak-anak yang tidak berjaya melanjutkan pengajian di universiti.

Pertama sekali, berserah. Sedarilah bahawa berserah adalah menerima ketentuan Allah (apa yang sudah berlaku) dan mengikut ketetapan Allah yakni sunnatullah yang banyak dijelaskan oleh Allah dalam Al-Quran serta melalui sunah rasululullah SAW.

Seandainya tidak berjaya kali ini, terima ketentuan ini namun usahalah untuk membuat rayuan dan andai kata masih gagal, boleh memohon untuk kemasukan semester yang akan datang. Lebih kurang dalam 5-6 bulan dari sekarang.

Saya menyeru pada ibu bapa dan anak-anak yang tidak berjaya mendapat tempat pengajian di universiti ini agar melakukan sesuatu perkara yang bermanafaat di dalam menunggu peluang kedua semester hadapan ini.

Saya mohon lakukanlah kerja-kerja kebajikan. Bagi keluarga yang agak susah, bantulah ibu bapa beberapa bulan ini untuk mencari kerja yang halal bagi membantu ibu bapa dan adik-adik. Juga boleh dijadikan bekalan duit jika dipilih masuk pada peluang yang akan datang ini.

Bagi anak-anak yang ibu bapa mereka makan gaji dan tidak memerlukan pertolongan anak dari segi kewangan, saya memohon agar pergilah melakukan kerja-kerja kebajikan.

Banyak organisasi di luar sana yang memerlukan saudara semua. Seperti contoh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Rumah-rumah anak yatim, rumah-rumah kebajikan orang tua, Persatuan Autism Malaysia, Persatuan kanser dan seumpamanya. Malah masjid-masjid juga memerlukan sukarela untuk membersihkan masjid.

Lakukanlah kebajikan kerana di sana nanti anak-anak ini akan belajar bermasyarakat, tahu bersyukur, mampu bersabar dan seumpamanya. Inilah latihan praktikal yang boleh membantu mereka membentuk sahsiah diri.

Saya meyakini seandainya ini dapat dilakukan oleh anak-anak ini dengan galakan dari ibu bapa, saya percaya Allah akan memudahkan mereka untuk meneruskan pengajian di semester yang akan datang.

Saya lebih suka sekiranya anak-anak ini melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan berbanding sibuk mencari wang.

Mencari wang untuk membantu keluarga berbeza dengan mencari wang untuk diri sendiri. Mencari wang untuk keluarga memiliki sebuah latihan di sana iaitu tanggungjawab kepada keluarga dengan membantu ibu bapa dan adik-adik.

Mencari wang sendiri lebih kepada meningkatkan nafsu untuk memenuhi kehendak material semata.

Di ketika umur ini, jika ibu bapa sudah mampu dalam soal kewangan, saya berpendapat lebih baik anak-anak itu dilibatkan dalam kerja-kerja kebajikan.

Semoga Allah memudahkan anak-anak ini untuk meneruskan pengajian di peringkat universiti sebagai ganjaran terhadap segala amalan kebajikan yang dilakukan dalam tempoh menunggu permohonan yang akan datang.

Fuad Latip
Jiwa Positif Hidup BerTuhan

Incoming search terms:

Perjuangan Tanpa Henti

21 May 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Assalammualaikum wbt

Saudara sahabat perjuangan yang dicintai Allah SWT. Esok kita akan masuk ke bulan Rejab. Bulan di mana pertama kali Solat diwajibkan 5 waktu sehari.

Solat adalah perintah Allah SWT yang pertama kali ditanyakan di akhirat. Solat menentukan ibadah lain diterima atau tidak oleh Allah SWT.

Langkah kita sudah benar bahawa jalan menuju Allah yang diredhai adalah melalui solat. Perjalanan spritual Nabi Muhammad SAW ketika mikraj telah menerima kewajiban solat 5 waktu sehari ini harus kita bangga dan PERJUANGKAN.

Memperjuangkan untuk kita melawan nafsu menjaga solat kita agar benar sempurna dan khusyuk. Memperjuangkan agar kita memastikan diri yang lain juga memiliki solat yang benar sempurna dan khusyuk dengan perkongsian rakan seperjuangan.

Lawan kita sudah jelas iaitu kaum MUNAFIK yang menghambat perjuangan kita. Kita tidak ikut sesiapa pun kecuali dalam barisan yang menegakkan kehendak Allah SWT dan perjuangan Nabi Muhammad SAW.

Kita tidak menggunakan daya kekuatan apapun kecuali berserah diri 100% pada Allah. Iman dan taqwa adalah jalan kita serta kebersihan jiwa dalam menempuh kemakrifatan dan musyahadah.

kita harus yakin atas keadaan diri kita dan mampu memastikan kita adalah pejuang.

Maka kita semua akan dipersiapkan oleh Allah dengan musuh-musuh sebagai tanda kebenaran.

Syaitan dan Iblis serta pasukannya akan ada di depan kita semua dengan cara apa pun agar perjuangan kita terhenti. Cara melawan mereka (Syaitan dan Iblis) serta sekutunya, pastikan kita TIDAK TERUS berada pada wilayah mereka.

Teguhkan dan bersihkan jiwa serta berserahlah kepada Allah dengan benar dalam ketiadaan (fana) yakni membuang ego (ego: berasa diri ada dan memiliki).

Pengajaran khusyuk dalam solat bukan dikembangkan oleh kekeruhan jiwa dan hasad serta kesombongan tetapi disebarkan daripada kejernihan, kebeningan dan keheningan rasa tunduk kepada Allah SWT.

Amanah dari Allah untuk kita sebagai wakilNya. Pengajarannya bukan hak pada seseorang tetapi amanah untuk setiap kita ini. Semuanya memperjuangkan memastikan agar diri sendiri, keluarga, sahabat dan yang lain terus berada pada jalan Allah bermula dengan solat yang sempurna dan khusyuk.

Amalan para pejuang adalah melakukan kesambungan tiada henti menyebut Nama Allah SWT dan menyedariNya. Dengan demikian hati kita selalu SIBUK dalam makrifat dan ihsan. Kita sentiasa sedar Allah SWT setiap saat dalam nafas kehidupan kita.

– Pesanan Guru

Artikel Seterusnya »
  • FB GROUP JPHBT

  • JPHBT di Android Phone

  • Artikel Terkini

  • Petikan

    5 rukun islam itu mesti dilakukan dengan sengaja. Apa itu sengaja? Iaitu dilakukan dalam keadaan sedar. Ambil satu rukun iaitu solat. Ramai yang solat tapi tidak sedar yang dia sedang bersolat. Fikiran terbang merata-rata ketika solat. Ia termasuk dalam lalai di dalam solat.
    - Fuad Latip -
  • Doa

    Ya Allah, Aku mohon kepadaMu agar Kau catatkan siapa pun yang membaca blog ini, menjadi orang-orang yang Engkau angkat kerajaannya. Engkau ampuni seluruh dosa-dosanya. Engkau buka hati yang tertutup. Engkau lembutkan hati yang keras membatu. Engkau cahayai hati yang gelap gelita. Ya Allah jadikan perkongsian ilmu ini membuatkan sisa umur kami penuh berkah. Terpelihara dari fitnah dan musibah. Amin.
  • Arkib

  • Popular Keyword