Blog Ini Menggunakan Hosting 15GB Dengan Harga RM80 Sahaja. Klik Untuk Info Lanjut
Powered by MaxBlogPress  

Jiwa Positif Hidup BerTuhan (JPHBT)

Menyedari KeTuhanan Allah SWT dan Kehambaan Diri Di dalam Setiap Detik Kehidupan

Bersih 3.0

29 April 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

FacebookGoogle GmailYahoo MailWordPressTwittermore

Ini pandangan peribadi saya tentang BERSIH 3.0. Mungkin ia tidak sama pandangan dengan saudara. Namun jangan sesekali membenci saya kerana pandangan berbeza mungkin sebab saya tidak nampak realiti yang sebenar atau mungkin juga saudara yang tidak nampak realiti yang sebenar.

Kita tidak tahu kerana yang ada pada kita adalah sekadar realiti fikiran. Mengikut ilmu dan kesedaran kita sahaja. Kita raikan bersama pandangan kita untuk kita saling belajar.

Analoginya mudah. Jika saya meminta anak saya untuk mandi setelah dari pagi sampai ke petang belum mandi, pastinya kesabaran saya tercabar setelah pujukan dan rayuan saya agar dia mandi tidak lagi dipedulikan.

Ketika ini perasaan saya sendiri bercampur-campur. Geram, kecewa, sedih, marah namun tetap sayang dan kasih pada anak saya.

Saya geram, kecewa dan sedih kerana anak saya yang sudah boleh mandi sendiri tidak mahu mandi walaupun berkali-kali diminta untuk mandi.

Saya marah kerana perkara yang mudah dan boleh dilakukan tanpa alasan namun anak saya masih tidak mahu lakukan dan ia adalah perkara yang memberikan kebaikan.

Saya geram kerana mandi itu bukanlah memerlukan masa yang lama untuk dilakukan.

Namun saya tetap kasih dan sayang kerana dia anak saya.

BERSIH 3.0 begitu. Bukan rakyat tidak pernah meminta dengan baik untuk melakukan hal yang mudah iaitu salah satunya bersihkan nama pengundi. Sudah berkali-kali rakyat memohon dengan baik hal ini.

Zaman hari ini teknologi yang ada mampu memudahkan kerja kita. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ada rekod setiap warganegara Malaysia. Ada rekod kelahiran dan kematian. Maka sendirinya kita tahu siapa yang masih ada, siapa yang berumur layak mengundi dan siapa yang sudah meninggal dunia.

Mengapa tidak boleh SPR menggunakan nama yang ada di JPN?  Kita tidak cerdik memberikan alasan bahawa SPR adalah SPR dan JPN  adalah JPN. Juga tidak cerdik seandainya kita kata tidak dibenarkan data di JPN diambil. Sedangkan bukankah kedua-duanya (SPR dan JPN) tetap di bawah kerajaan Malaysia?

(Harus difahami dan jelas… kerajaan Malaysia tidak sama dengan parti.)

Memang benar tidak semua rakyat mendaftar sebagai pengundi. Namun pastinya data di JPN lebih besar dari di SPR. Maka semaklah nama di SPR berlandaskan data di JPN.

Jika pengundi yang ada sudah meninggal dunia menurut JPN, buangkan pengundi itu dalam data SPR. Jika nama pengundi tiada di JPN dan ada di SPR, buanglah namanya di SPR kerana mana mungkin rakyat yang tidak mendaftar sebagai warganegara layak sebagai pengundi.

Walau apa pun alasan untuk tidak membersih daftar pengundi, ia nampak tidak cerdik seandainya kita kata tidak boleh kerana teknologi sekarang yang ada mampu kita lakukan hal ini dengan mudah. Melainkan ada sesuatu hasrat atau niat yang meragukan dalam hal ini.

Saya melihat BERSIH 3.0 adalah kemarahan dan kekecewaan rakyat yang cintakan Malaysia. Bukan sebab daripada parti tertentu kerana di dalamnya ramai kawan dan sahabat saya dari pelbagai parti termasuk dari parti yang sedang memerintah kerajaan. Ada NGO dan pelbagai lagi.

Dalam hal lain ramai pastinya tidak menyokong Ambiaga tetapi dalam hal ini mengapa boleh sama? Kerana mereka bukan menyokong Ambiaga tetapi mereka berasa kecewa dan marah atas hal yang sama. Siapa menjadi ketua atau pengerusi tidak penting kerana yang dibawa bukan kehendak pengerusi tetapi hasrat hati sebagai warganegara.

Mereka inginkan kebaikan. Bukannya seperti komen-komen kata ‘kononnya demokrasi’. Bukannya tidak pernah untuk meminta dengan baik dan lembut atau juga dengan cara yang damai. Namun dengan cara itu tetap tidak dilakukan apa-apa malah buat-buat tidak dengar sahaja sesuatu yang jelas pincang.

Ada ketikanya kita perlu marah untuk menggerakkan seseorang. Walaupun kelihatan seperti kita kurang sabar namun MARAH DALAM SEDAR bukanlah marah dari emosi. Kita marah sebab kita sayang dan masih berada dalam kawalan emosi.

Begitulah kita marah anak kita yang tidak mahu mandi tadi. Kita tidak marahnya melampau kecuali jika anak kita degil dan melawan kita, pasti sesekali kita rotan juga dia. Itu pun setelah kita memujuk dengan cara baik untuk minta dia mandi tetapi tetap degil dan tidak mahu mandi malah buat-buat tidak dengar.

Bagi yang tidak sokong BERSIH, tidak perlu kutuk atau komen kerana pendapat dan pandangan kita semua berbeza. Saya juga tidak pergi perhimpunan BERSIH. Saya cuma melihat mengapa semua ini berlaku.

Persoalan tentang tindakan POLIS, bagi saya ia betul apa dilakukan POLIS. Dalam kemarahan, pelbagai hal boleh berlaku. Kita kata kita tidak akan apa-apakan apa-apa pun jua. Kita akan lakukan dengan aman. Itu kata kita awalnya. Namun dalam keadaan kecewa dan marah, nafsu mudah mengambil alih diri kita.

Dalam beribu orang tidak semua dapat bersabar. Lalu perlu dijaga dan tidak boleh dibiarkan lama-lama. Seandainya degil, pasti dikasari sedikit agar mengikut kata. Mungkin ada yang maki hamun POLIS, lalu kenalah tindakan POLIS kerana POLIS juga manusia biasa. Ada tahap kesabarannya.

Lalu tindakan POLIS menyuraikan perhimpunan adalah betul walaupun menggunakan kekerasan. Lagi pun POLIS sudah memberikan masa untuk berhimpun serta mengarahkan bersurai dengan cara baik.

Perhimpunan BERSIH 3.0 bukan sesuatu yang salah. Cuma perhimpunan apa pun jua yang didasari atas kekecewaan atau marah tidak boleh dibiarkan lama kerana manusia ini akan hilang pertimbangan seandainya dibiarkan marah.

Kerana itu pihak POLIS tidak mengambil tindakan awal-awal sebelum arahan cara baik untuk bersurai diminta terlebih dahulu.

Inilah kehidupan. Kita jadi saksi dan menyaksikan lalu bersaksi aturan Allah agar kita lebih matang dan tidak menjauhkan diri dari Allah. Jika tidak, kita menjadi hamba yang degil sehingga hal-hal mudah dan penting kita tidak pedulikan.

Semoga semua kita selamat, tenang dan bahagia.

Fuad Latip
29 April 2012

Incoming search terms:

Darjat Kita

29 April 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Berhati-hati dalam setiap tindakan dan kata-kata kita. Bimbang seandainya tanpa kita sedari kita menjatuhkan darjat kita sendiri untuk memenangkan pendapat kita yang berbeza mengikut sudut pemikiran atas ilmu dan kesedaran yang kita ada SEDANGKAN setiap hari kita berdoa pada Allah di dalam solat tidak kurang daripada 17 kali agar Allah menaikkan darjat kita.

Kadang-kadang kita rasa kita benar dan bangga dengan pendapat kita. Tapi pendapat kita yang mungkin dikeluarkan dengan kasar dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya membuatkan sesiapa yang membaca memandang rendah pada kita.

Mereka yang mendengar atau membaca pendapat kita akan kata… oh! dia ni macam ni perangainya.
oh! dalam hati dia macam ni rupanya.
oh! dia fikir macam ni rupanya.

Kita tidak sedar darjat kita jatuh dan yang menjatuhkan adalah diri kita sendiri. Akhirnya kita berjalan bangga diri seolah-olah kita hebat pemberi pendapat sedangkan orang sekeliling memandang rendah pada kita.

Benarlah… yang menjatuhkan darjat kita adalah diri kita sendiri. Bukan orang lain.

Semoga Allah sentiasa melindungi diri kita dan mengangkat darjat kita. Amin

“ya Allah kami mohon perlindungan agar kami tidak menjatuhkan darjat kami sendiri samada dengan cara kami sedari atau tidak sedari setelah Engkau angkatkan darjat kami ya Allah. Terima kasih ya Allah terima kasih.”

[Islamik NLP JPHBT: Parenting]: Kebergantungan Anak Pada Allah SWT

27 April 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Saya selalu berpesan kepada anak sulung saya yang saya panggil dengan “kakak”.

“Kakak, hidup ini susah kak. Tapi kalau kakak sentiasa sedar Allah, kakak solat, kakak buat baik dengan orang, kakak dengar cakap mama dan ayah, kakak baik dengan adik Nuqman dan aliya… Allah mudahkan hidup kakak. Sebab yang mampu mudahkan hidup kita ini hanyalah Allah kak. Dia yang buat semua kita ini, yang tentukan kakak makan apa hari ini, kakak nak main apa hari ini semua Allah yang aturkan.”

Walaupun dia hanya diam ketika ayahnya ini membebel dengan kata-kata di atas, tapi dalam masa yang sama saya terus mempertahankan kesedaran kepada Allah memohon agar apa yang dikatakan terus masuk ke jiwa dan mampu menyimpan fikiran ingatan kata-kata saya ini.

Pesanlah kepada anak-anak bahawa hidup ini susah NAMUN akan menjadi sangat mudah seandainya bergantung kepada Allah.

Saya tidak mahu anak-anak saya mengikut kata-kata motivator kita perlu fikir bahawa hidup ini mudah. Berfikir sedemikian akan menjauhkan anak-anak dari realiti hidup dan juga dari Allah SWT.

Dengan berfikiran bahawa hidup ini mudah semata-mata, kita tidak mendidik anak-anak agar mereka berpegang kepada Allah. Jika kita mendidik anak-anak menyedarkan mereka sebuah hakikat bahawa hidup ini susah dan pasti akan mudah jika berpegang pada Allah, maka kita sebenarnya mengajar mereka bahawa seandainya tidak berpegang kepada Allah, nah! hidup mereka akan susah. Lalu sentiasalah berpegang dan bergantung kepada Allah untuk memiliki hidup yang senang, mudah dan bahagia.

Jiwa kita juga harus dididik sebegini agar kita bimbang dan sangat takut seandainya melepaskan Allah walaupun satu saat dalam apa jua aktiviti kita.

Fuad Latip
Jumaat
27 April 2012

Menghadapi Kritikan

26 April 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

No.1
Seandainya kita dikritik, jangan cepat melenting. Saudara adalah orang yang setiap saat sedar Allah seharusnya pasti doa di bawah ini yang keluar dari hati saudara. Bukannya marah, geram dan sebagainya ketika dikritik atau dipersoalkan dengan sesuatu perkara.

Mari…. ketika dikritik, komunikasilah dengan Allah…

“Ya Allah, saya tidak tahu, saya mohon diajarkan ya Allah. Seandainya diri ini ada yang salah dalam apa yang aku lakukan, aku serahkan semuanya kepadaMu. Aku mohon agar diajarkan jalan yang terbaik agar aku dapat lakukan amanahMu ini mengikut kehendakMu. Aku redha apa jua yang Engkau tetapkan untukku. Terima kasih ya Allah terima kasih.”

Berdoalah untuk diajarkan Allah kerana boleh jadi kita yang salah. Ingatlah! Seandainya kita tidak pernah salah, kita tidak akan pernah belajar.

No.2
Saudara adalah hamba yang dikasihi Allah dengan sentiasa sedar kepadaNya. Allahuakbar!! Subhanallah!

Ketika kita sedar Allah pasti menjadi perkara yang utama dalam hidup kita adalah hubungan kita dengan Allah dalam apa jua perkara pun. Saudara yang sedar Allah pasti akan sabar.

Andai kata saudara dikritik oleh rakan, yang ada ketika itu hanyalah Allah hingga saudara tidak lagi memikirkan rakan itu. Saudara yang sedar Allah memahami hakikat bahawa ada pengajaran yang sedang disampaikan Allah dalam peristiwa itu hingga saudara benar-benar kembali kepada Allah agar mampu memahami intruksi-intruksiNya.

Andai kata saudara berhadapan dengan apa jua masalah yang melibat samada orang atau tidak, saudara yang sedar Allah pasti tidak menyimpan apa jua perasaan yang menyakitkan diri sendiri kepada orang atau keadaan. Ini kerana saudara sedar Allah sedang mengaturkan semua itu terjadi untuk memberikan sebuah pengajaran besar buat saudara.

Sedar Allah tidak sama dengan ingat Allah. Sedar Allah mampu menjadikan saudara terus berhubung dengan Allah setiap saat sedangkan ingat Allah adalah kerja otak yang mengaktifkan kembali data fikiran tentang Allah dalam otak.

“Ya Allah kami tidak tahu ya Allah. Kami mohon agar kami diajarkan dengan petunjuk dan kekuatan dariMu supaya kami mampu menyedariMu setiap saat. Kami mohon agar kami mampu memahami intruksi-intruksiMu dalam menjalankan tugas sebagai wakilMu di dunia ini. Terima kasih ya Allah, terima kasih.”

Yang Tahu

25 April 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

“Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada Basyirah (yang tahu)”.
(QS, Al-Qiyamah, 75:14)

Ketika kita berbohong, yang tahu ini sangat tahu kita berbohong walaupun kata-kata kita sepertinya benar belaka.

Ketika kita tidak ikhlas, yang tahu ini sangat tahu kita tidak ikhlas walaupun kelakuan dan tutur kata seperti seorang yang ikhlas.

Ketika kita tidak khusyuk, yang tahu ini sangat tahu kita tidak khusyuk walaupun kita mengatakan kita khusyuk.

Kita tidak boleh lari dari “yang tahu” ini kerana “yang tahu” ini sentiasa ingin melakukan taqwa. “yang tahu” ini sentiasa mendapat instruksi-intruksi (arahan) Allah dan sama sekali “yang tahu” ini tidak pernah melayani nafsu.

“yang tahu” sentiasa berada dalam fitrah dan ia hanya bersikap diam tidak memaksa seperti nafsu yang sentiasa melonjak memaksa jiwa.

Ketika sedar Allah, kita sebenarnya cuba mendengar kehendak “yang tahu” ini. Kita melatih diri (nafs) ini mengikut kehendak “yang tahu” kerana “yang tahu” sentiasa mengikut kehendak Yang Maha Tahu.

Biarlah kita memiliki teknik atau kaedah apa pun jua dengan nama teknik itu teknik ini yang kita namakan. Namun seandainya kita tidak melakukan dengan kesedaran akan Allah SWT, dibimbangi kita tidak mendengar kata “yang tahu” ini akibat lebih banyak mengikut kata nafsu dan emosi.

JPHBT tidak memberikan apa jua teknik untuk diwar-warkan kerana teknik atau kaedah yang wujud hari ini semuanya ada dalam Al-Quran dan Sunnah Rasul. Yang ingin ditekankan, LAKUKAN APA JUA KEBAIKAN, namun yang utama SEDARLAH ALLAH SETIAP SAAT.

Semoga kita mampu bukan sekadar memahami kehendak “yang tahu” ini tetapi mampu mengikutnya (“yang tahu”) ini kerana “yang tahu” ini sentiasa ingin melakukan kehendak-kehendak Tuhan.

Cubalah sekarang ini diam… dan dengarlah kata-kata “yang tahu” ini. Kita sering namakannya sebagai hati kecil, suara hati, mata hati dan pelbagai namun di dalam Al-Quran ia dikenali sebagai Basyirah … ada yang tahu.

Fuad Latip
24 April 2012
Sentiasa sedar dan sebut nama Tuhanmu

Aktiviti Kita Adalah Kehendak Allah

24 April 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Ketika melakukan sesuatu, lebihlah meyakini bahawa Allah berkehendak untuk kita lakukan kerja itu sekarang ini dan pastilah Allah menjayakan apa yang kita lakukan. Bukan yakin apa yang kita lakukan ini kerana idea kita sendiri dan sekadar apa yang kita lakukan pasti akan berjaya.

Ketika kita sekadar yakin apa yang kita lakukan kerana idea kita dan ia akan berjaya, kita meningkatkan keegoan kita dan semakin melepaskan Allah dalam setiap tindakan kita.

Meyakini apa yang kita sedang lakukan adalah atas kehendak Allah membuatkan kita lebih bersemangat kerana kita sedar kerja yang sedang kita lakukan adalah keranaNya. Kita ini wakilNya yang sedang melakukan kerja mengikut kehendakNya. Lalu kita digerakkanNya untuk melakukan kerja yang sedang kita lakukan.

Contoh:
Ketika saudara sedang menyiapkan laporan kerja, sedarilah bahawa ia adalah atas kehendak Allah bahawa saat ini saudara perlu menyiapkan laporan itu. Maka yakinlah bahawa pasti akan siap laporan itu kerana Allah mengkehendaki ia siap.

Ketika saudara sedang mengajar dan menggunakan apa jua teknik untuk menarik minat pelajar, sedarilah bahawa semua itu atas kehendak Allah yang memberikan ilham bahawa kita perlu lakukan semua itu. Yakinilah pasti apa yang saudara sedang ajarkan itu difahami dengan baik dan teknik yang saudara gunakan akan berkesan kerana kerja yang sedang saudara lakukan adalah atas kehendak Allah.

Ketika saudara sedang membaca artikel ini yakinlah bahawa semua ini atas kehendak Allah bahawa saudara perlu mendapat sedikit ilmu untuk difahami dan diaplikasikan di dalam tingkahlaku saudara. Yakinilah bahawa saudara akan memiliki dan memahami dengan baik serta dapat diaplikasikan ilmu ini dalam hidup saudara kerana semua ini adalah atas kehendak Allah.

Ketika saudara sedang mengemas rumah, sedarilah bahawa saudara sedang digerakkan Allah untuk melakukan kerja atas kehendakNya lalu saudara diberi dorongan untuk melakukan kerja itu. Pasti kerja saudara dihargai dan dapat dilaksanakan dengan baik kerana kerja saudara ini adalah kerja yang dikehendaki Allah.

Ketika saudara sedang menjalankan perniagaan, sedarilah semua itu sedang diaturkan Allah termasuk kerja yang saudara sedang lakukan. Allah berkehendak saat ini saudara perlukan lakukan itu dan ini. Kita hanya bergerak mengikut kehendak Allah sesuai dengan kerja yang dikehendaki Allah.

Sedarilah bahawa setiap kerja kita walaupun kecil tetapi diperlukan oleh alam ini dalam penyempurnaannya untuk terus bergerak kerana kerja kita adalah kehendak Allah dalam menyempurnakan ciptaanNya.

Beginilah Allah mentadbir alam dengan melantik kita sebagai wakil-wakilNya. Kita digerakkan oleh Allah dalam melakukan kerja. Kerja yang sedang kita lakukan bukanlah atas kehendak kita sebenarnya tetapi ilham atau dorongan dari Allah SWT. Kita mampu memahami apakah kerja yang perlu lakukan seandainya kita sedar penuh kepada Allah setiap saat kerana kita mampu memahami ilham yang diturunkan oleh Allah terus ke dalam hati kita.

Kerja kita mungkin kecil dibandingkan dengan kerja seorang pemimpin tinggi namun semua kita diperlukan dalam mentadbir alam ini.

Hal ini mungkin dilihat sebagai sebuah ilmu yang kecil tetapi kesannya sangat besar.

“Dengan NamaMu ya Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Aku melakukan kerja ini atas kehendakMu ya Allah. Semoga benar apa yang sedang aku kerjakan ini adalah kerja yang dikehendakiMu ya Allah. Ajarilah hambaMu ini ya Allah jalan-jalannya dan kurniakanlah kekuatan agar aku dapat melakukan dengan penuh tekun dan gigih sehingga berjaya melakukan kerja yang dikehendakiMu ya Allah. Terima kasih ya Allah, terima kasih”.

[Islamik NLP JPHBT]: Khusyuk Bermula Sebelum Mendirikan Solat

23 April 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

InshaAllah akan dijelaskan.

[Khusyuk Itu Mudah] Bagaimana Menghilang Fikiran Ketika Solat

23 April 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Solat itu bukan membuang fikiran dengan sengaja. Fitrah otak ini adalah untuk berfikir. Ketika kita berfikir untuk tidak berfikir, pastinya akan menambahkan lagi fikiran.

Mari kita fahamkan dengan mudah caranya.

Seandainya saudara bertemu saya perkara pertama yang saudara yakini adalah:
1. Yang saudara SEDANG bertemu ini pastinya saya… Fuad Latip. Maka harus benar perlu kenal saya dahulu supaya nanti jangan salah orang dan salah arah ketika bersembang/ bercakap.

2. Ketika bertemu pasti asyik berbual hingga kita melupakan yang lain kerana terlalu asyik. Ketika berbual pasti tetap terus sedar yang sedang ada di depan saudara adalah saya.

Nah! Di sinilah secara sendiri fikiran itu tidak akan ingat yang lain. Ketika itu saudara hanya asyik atau khusyuk dengan saya berbual tentang perkara yang dibualkan hingga tidak lagi memikirkan hal yang lain.

Ketika solat, jangan sesekali membuang fikiran dengan sengaja kerana pasti tidak mampu malah menambahkan lagi fikiran. Caranya bagaimana?

1. Sedarlah bahawa solat itu adalah pertemuan dengan Allah. Perlu kenal Allah dahulu agar benar yakin bahawa yang sedang kita temui adalah Allah. Seandainya tidak tahu dan sedar, pasti akan tercari-cari malah pasti akan pejam mata untuk mencari Allah di dalam fikiran sedangkan yang ada di fikiran adalah bayangan-bayangan yang salah tentang Allah. Kerana itu makruh hukumnya memejam mata.

2. Ketika sudah yakin yang sedang ditemui adalah Allah, nah! tinggal lagi berkomunikasi denganNya. Bacaan solat itulah skrip komunikasi untuk memuji dan memohon kepadaNya. Ketika asyik memuji dan memohon kepada Allah, kita tidak akan memikirkan hal yang lain melainkan apa yang dipuji dan dipohon daripada Allah. Inilah khusyuk.

Kita tidak sedar kita berada dalam khusyuk. Yang kita sedar adalah bahawa kita sedang bertemu Allah dan memuji serta memohon kepadaNya dengan bacaan-bacaam di dalam solat.

Kedua-dua hal ini no1 dan no2 harusnya dilakukan dengan tertib, tu’maninah pada awalnya. Setelah mampu terus sedar Allah setiap saat ketika mendirikan solat, tu’maninah itu akan terjadi sendiri kerana sudah asyik. Ketika asyik, mana mungkin ingin cepat-cepat dan tergesa-gesa dalam solat.

InshaAllah semuanya akan dilatih seandainya saudara hadir ke bengkel JPHBT. InshaAllah akan diadakan lagi dalam bulan Mei ini.

Incoming search terms:

Artikel Seterusnya »
  • FB GROUP JPHBT

  • JPHBT di Android Phone

  • Artikel Terkini

  • Petikan

    Iman itu kesedaran. Cinta itu menguatkan kesedaran. Komunikasi itu melahirkan cinta.
    - Fuad Latip -
  • Doa

    Ya Allah, Aku mohon kepadaMu agar Kau catatkan siapa pun yang membaca blog ini, menjadi orang-orang yang Engkau angkat kerajaannya. Engkau ampuni seluruh dosa-dosanya. Engkau buka hati yang tertutup. Engkau lembutkan hati yang keras membatu. Engkau cahayai hati yang gelap gelita. Ya Allah jadikan perkongsian ilmu ini membuatkan sisa umur kami penuh berkah. Terpelihara dari fitnah dan musibah. Amin.
  • Arkib

  • Popular Keyword