Blog Ini Menggunakan Hosting 15GB Dengan Harga RM80 Sahaja. Klik Untuk Info Lanjut
Powered by MaxBlogPress  

Jiwa Positif Hidup BerTuhan (JPHBT)

Menyedari KeTuhanan Allah SWT dan Kehambaan Diri Di dalam Setiap Detik Kehidupan

Tiada Apa-apanya

29 February 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

FacebookGoogle GmailYahoo MailWordPressTwittermore

Apakah dirimu masih berasa hebat ketika setiap hari dirimu menyatakan kepada Allah…

“Ya Allah, Engkau mendengar pujian yang memujiMu. Wahai Tuhan kami bagi Engkaulah segala pujian.”

Dengan kesedaran bahawa diri tidak ada apa-apanya di sisi Allah, apakah kamu masih mampu bertahan untuk berdiri? Pastinya kamu akan jatuh tersungkur sujud kepadaNya.

Yang ada ketika itu kamu hanya sedar kepadaNya dalam keadaan tidak ada apa-apanya walau sekelumit apa pun kehebatan, daya, pandai, kuat malah ilmu yang kamu miliki itu tiada apa-apanya. Ketika inilah barulah kamu terlepas dari segala yang menghijab untuk kamu sedar kepadaNya.

Selagi masih ada di kepala itu ilmu ketika kamu datang kepadaNya, kamu masih menyatakan tanpa kamu sedari bahawa kamu masih hebat, ada ilmu, tahu dan pandai di depan Tuhanmu.

Sujudlah dengan benar. Selagi kamu TIDAK berasa kamu tiada apa-apanya, jangan kamu angkat kepalamu daripada sujudmu. Diamlah walaupun berjam-jam lamanya kerana kamu belum sujud dengan benar.

Kebahagiaan Sejati

28 February 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Alhamdulillah Ahad 26 Februari yang lalu, Bengkel Jiwa Positif Hidup BerTuhan dapat dijalankan dengan baik. Terima kasih ya Allah. InshaAllah nanti kita adakan lagi. Belum tahu bila. Jika ada saya beritahu.

Ia sebuah bengkel praktikal. Bukan sekadar kata-kata tetapi membawa agar semua jiwa mampu sedar kepada Allah. Lalu terus ditingkatkan sendiri selepas bengkel.

Semoga yang hadir dapat menceritakan pengalaman masing-masing untuk dikongsikan bersama. Terima kasih.

*****
Pada hari tersebut peserta mula memahami tentang ayat ini. Menceritakan tentang KEBAHAGIAAN yang sebenar. Juga memahami KEBAHAGIAAN yang main-main dan menipu kita. Mereka memahami dan inshaAllah akan mula merasai antara beza kebahagiaan yang datang dari eksternal (main-main/menipu) yang sering dicari orang setiap hari dengan kebahagiaan sejati yang hadir terus ke dalam jiwa.

Dan ketahuilah olehmu bahwa di kalangan kamu ada Rasulullah. Kalau ia menuruti [kemauan] kamu dalam beberapa urusan benar-benarlah kamu akan mendapat kesusahan tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kederhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus, sebagai kurnia dan nikmat dari Allah. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (QS: Al-Hujurat, 49: 7-8)

Allah terus membawakan kebahagiaan masuk ke dalam jiwa sehingga faktor luaran tidak lagi memberikan apa-apa masalah kepada kita. Seandainya Allah mengkehendaki kita bahagia… tidak ada apa pun faktor luaran yang mampu untuk menidakkan kebahagiaan kita.

Namun ramai yang mencari faktor luaran yang masuk ke dalam hati melalui pancaindera. Jiwanya bahagia… namun bahagia yang ghurur… main-main dan menipu. Bahagianya sekejap cuma. Bahagianya adalah bahagia sandaran. Hilang apa yang disandarkan.. hilanglah bahagia.

Lalu kita stress setiap masa mencari untuk bahagia. Ke sana sini melakukan aktiviti kerana mencari kebahagiaan.

Bagi orang yang bahagia yang diterima terus ke dalam jiwa, melakukan aktiviti bahagia dan tidak melakukan juga tetap bahagia kerana kebahagiaan bukan bersandarkan kepada aktiviti itu tetapi kebahagiaannya adalah kebahagiaan yang Allah jadikan dirinya cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatinya serta menjadikan dia benci kepada kekafiran, kefasikan dan kederhakaan.

 Lalu sabarnya bukan sabar yang dibuat-buat. Motivasi dan semangatnya bukan dipaksa. Ia benar-benar datang dari dorongan jiwa yang sangat kuat. Dorongan Allah yang masuk terus ke jiwa. Bahagia yang terus tanpa ada sandaran kepada yang lain selain Allah.

Incoming search terms:

Hijab Jodoh

23 February 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Untuk hanya mereka yang BELUM ada jodoh sahaja. Untuk yang sudah ada, saya tidak bertanggungjawab 🙂

Kepada yang empunya diri:
1. Mulai hari ini datanglah kepada Allah dan lahirkan kehendak dan keinginan hati untuk menerima jodoh dari Allah.
2. Duduklah setiap hari mengadap Allah (inshaAllah akan dijelaskan dengan praktikal nanti) lalu bersedialah menerima jodoh dari Allah.
3. Pasrahlah hati untuk menerima pilihan yang terbaik di sisi Allah.

Halangan Jodoh:
Ramai yang berdoa kepada Allah untuk mendapatkan jodoh namun terhijab oleh keraguan pada Allah sedangkan doanya sudah baik ” ya Allah aku memohon pasangan yang terbaik di sisiMu ya Allah”… namun ketika memohon jodoh pada Allah, pasti ada sedikit dalam hati yang meragukan Allah dengan terdetik dalam hati…

“eh kalau Allah beri aku pasangan yang teruk perangainya macam mana pula ye? Mana tahu itu yang Allah kata terbaik untuk aku. Susah jadinya aku nanti.”
“hmmm buatnya yang terbaik di sisi Allah lelaki/wanita yang hodoh macam mana ye?
“Buatnya Allah kata yang terbaik tu nanti cacat ke… kekurangan itu ini ke… huh! abislah aku.”

dan pelbagai lagi keraguan kita pada Allah yang kita tidak sedari.

Selagi ada rasa dalam hati begitu, ia akan terus menghijab akibat keraguan pada Allah. Memohon kepada Allah tetapi tidak yakin Allah akan beri yang terbaik di sisi Allah dengan memikirkan negatif kepada Allah.

Namun rasa negatif itu tidak mampu dibuang dengan fikiran kerana rasa ini datang dalam hati. Lalu caranya adalah melatih diri agar pasrah dan benar-benar ke Allah berserah total.

Yakinlah seandainya Allah berikan pasangan yang terbaik di sisiNya pasti yang diberikan itu memenuhi kehendak hati kita dan menyenangkan hati kita. Ketika kita sedia menerima pasangan kita, pastinya ketika itu kita menerima sepenuhnya pasangan kita itu kerana itu jodoh kita. Jika tidak pastilah tidak akan terjadi hubungan kita dengan kenalan kita seandainya kenalan kita itu tidak menyenangkan hati kita. Jika ia jodoh kita…. Allah pasti mengaturkan semuanya terbaik buat kita. Mengapa masih ada keraguan pada Allah?

YANG UTAMA SYARATNYA adalah yakin pada Allah bahawa pasti ketika kita meminta yang terbaik, Allah akan berikan yang terbaik. Pasti diberikan Allah seorang pasangan yang mampu membahagiakan hati kita. Pasti.

Lalu selalulah pulang ke Allah agar jiwa itu memutikkan rasa cinta kepada Allah yang benar datang dari jiwa. Bukan mencintai Allah menggunakan fikiran… buat-buat cinta sedangkan bila diuji rasa itu… kita sendiri meraba-raba mencarinya. Pastinya tidak ada kerana cinta yang kita ada bukan rasa tetapi sekadar ilmu di fikiran.

Pulanglah ke Allah sentiasa dengan menyedariNya dalam apa jua aktiviti kita. Pertahankan kesedaran ini. Pasrah dan berserah pada Allah.

Yakinlah tidak lama lagi saudara akan mendapat jodoh. YAKINLAH bahawa ALLAH SEDANG MEMPROSES… MENGGERAKKAN pasangan kita untuk bertemu dengan kita dalam satu suasana yang pasti menjadi ingatan kita buat selama-lamanya. Allah sedang aturkan tidak sesaat awal dan tidak sesaat lewat… TEPAT PADA WAKTUNYA.

Tugas kita teruskan memohon pertolongan Allah dengan SABAR dan SOLAT. Buangkan hijab keraguan ini, sedarilah Allah setiap saat.. di sana pasti saudara akan berasa yakin pada Allah setiap saat hidup ini.

“Ya Allah, kami mohon kepadaMu ya Allah agar saudara-saudara kami menerima jodoh yang terbaik di sisiMu ya Allah. Semoga jiwa-jiwa mereka datang kepadaMu dengan benar dan menerima 100% sepenuhnya segala kehendakMu tanpa ada ragu samada yang nyata atau tidak nyata. Terima kasih ya Allah, terima kasih.”

[note] InshaAllah mereka yang inginkan jodoh akan dilatih untuk pasrah pada Allah dalam Bengkel JPHBT 26 Februari ini.

Incoming search terms:

Bengkel Jiwa Positif Hidup BerTuhan

22 February 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

BENGKEL JIWA POSITIF HIDUP BERTUHAN.

Alhamdulillah… Pihak Masjid As-salam setuju untuk kita sama-sama gunakan dewan Masjid muatan maksimum 50 orang. Namun masjid agak sesak kerana dalam masa yang sama ada Kursus Haji.

Jika berminat untuk Bengkel Jiwa Positif Hidup BerTuhan, bolehlah mendaftar di link di bawah. Untuk yang pernah hadir, 85% isinya sama namun boleh dijadikan ulangkaji dan latihan ulangan untuk memperkuatkan lagi kesedaran.

Saya mohon jika saudara benar-benar rasa boleh hadir sahaja yang daftar kerana tempat yang terhad.

Bengkel Jiwa Positif Hidup Bertuhan.
Tarikh: 26 Februari 2012 (Ahad)
Masa: 9.30pg – asar atau habis modul.
Tempat: Masjid As-Salam Puchong (Klik untuk peta).
Yuran: Ikhlas kerana Allah SWT (untuk tujuan menampung kos bengkel yang akan datang).
*Makanan tidak disediakan. Namun boleh berkongsi secara Potluck. 

Daftar hanya untuk 50 orang. Pastikan saudara benar-benar boleh hadir. Selagi form ini masih ada, selagi itu tempat masih kosong.
http://goo.gl/wydI4

Modul-modul
1. Memiliki Kesedaran Tertinggi
2. Memiliki Khusyuk Dalam Solat
3. Berserah dan Bergantung 100% Pada Allah
4. Memiliki Cinta Kepada Allah.
5. Cara Memohon Pertolongan Kepada Allah dengan Sabar dan Solat
6. Memahami Pengajaran yang diberikan Allah
7. dan lain-lain termasuk hal jodoh, hal rezeki, hal masalah rumahtangga, anak-anak, kerja etc

Dorongan Allah

21 February 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Ternyata kekadang kita tidak menyedari setiap apa yang kita lakukan samada baik atau jahat adalah datang dari sebuah dorongan dalam hati.

Lalu nasihat-nasihat kita semuanya mengenepaikan hal dorongan tadi seolah-olah apa yang kita lakukan bermula dari fikiran bukan dorongan hati.

Kerana itulah kita seringkali dinasihatkan dengan:
“kita jangan benci orang”… sedangkan ia hadir sendiri masuk ke dalam diri tanpa kita dapat mengawalnya.
“Kita jangan dengki”… sedangkan rasa dengki itu laju tidak mampu dihalang walaupun kita cuba sedayanya.
“kita perlu sabar”… sedangkan gelisah dan resah ini bergelora dalam hati.. menghimpit sakit.
“kita perlu jadi baik”… ye kita tahu namun setiap kali melakukan terasa keikhlasan itu entah di mana. Namun kita lakukan jua atas dasar ilmu bahawa aku perlu melakukan kebaikan. Akhirnya kita penat sendiri.
“kita tidak boleh berkelakuan buruk”… kita cuba menjaga diri kita daripada berkelakuan buruk namun sesekali terlepas jua dan ia menjadikan kita sangat penat di dalam menjaga diri agar tidak melakukan keburukan.

Inilah dorongan yang sering kita tidak menyedarinya. Dorongan yang bukan di bawah kekuasaan kita. Dorongan yang kita tidak mampu menghalangnya.

Seandainya rasa benci datang… kita pasti rebah tidak terdaya menghalang. Kita tidak pernah belajar benci. Tidak pernah membuka buku untuk belajar dengki. Tidak pernah belajar di sekolah untuk tidak suka dengan orang lain. Tidak pernah cuba memilikinya. Tidak pernah sedikit pun ada rasa ingin benci. Namun dorongannya kekadang datang juga.

Sememangnya benar apa yang dikatakan Allah SWT melalui surah asy-syam (QS As-Syam:91:7-8), “Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya); serta mengilhamkannya jalan Yang membawanya kepada kejahatan, dan Yang membawanya kepada bertaqwa.”

Dorongan-dorongan buruk atau taqwa semuanya datang dari Allah.

Seandainya kita faham.. apakah kita akan kata lagi “kita tidak boleh benci”? sedangkan ketika Allah memberikan rasa benci pada kita, siapa kita untuk melawannya?

Namun ia tidak habis di sini. Seharusnya kita tahu bagaimana untuk membuangkan rasa itu ketika ia datang. Seharusnya kita tahu bagaimana caranya agar kita tidak didorongkan oleh Allah dengan hal fujur (buruk).

Inilah yang seharusnya diberitahu dan diajarkan kepada kita namun kita tidak pernah menerima ilmu sebegini.

******

Cara untuk tidak berasa benci, dengki etc

Caranya mudah… kita lihat firman Allah…
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.
(QS: Al-Anfal, 8:29)

Seandainya kita sentiasa menyedari Allah, pastilah Allah akan dorongkan kita sentiasa kepada kebaikan. Kita dapat tahu dengan gerak rasa yang kuat yang mana baik dan yang mana tidak baik. Jiwa diilhamkan Allah dengan jalan-jalan yang tidak dimurkai Allah dan menjauhkan kita daripada jalan-jalan yang sesat.

Namun seandainya kita tidak menyedari Allah walaupun sesaat…. Allah menyatakan kepada kita dalan firmanNya…
Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah [Al Qur’an], Kami adakan baginya syaitan [yang menyesatkan] maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk.
(QS: Al-Zukhruf, 43: 36)

Ketika kita tidak menyedari Allah, Allah menempatkan syaitan dalam hati kita sehingga kita akan sentiasa ingin melakukan keburukan. Kita didorong oleh syaitan dan kita menyangka kita benar sedangkan kita salah di sisi Tuhan.

Marilah bersama-sama belajar untuk benar-benar menyedari Allah agar kita mampu menyedari Allah setiap saat. Kita tidak mampu membuangkan rasa benci, dengki dan lain-lain melainkan Allah jualah yang membuangkan semua itu dari jiwa kita.

Tugas kita adalah untuk sentiasa ke Allah dan menyedariNya setiap saat hidup ini. Ketika itulah kita akan didorongkan sentiasa oleh Allah dengan Taqwa… bukannya fujur.

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.
(QS: Al Ankabut, 29:69 )

Semoga memahami dan marilah belajar untuk menyedari Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Belajar cara yang praktikal yang menurut Al-Quran dan Rasulullah SAW. Inilah sebenarnya tujuan usaha JPHBT ini… untuk melatih dengan praktikal agar kita semua sentiasa menyedari Allah setiap saat dalam hidup ini.

Incoming search terms:

Motivasi Berkesan Setiap Hari

12 February 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Motivasi saya setiap hari mudah: Memastikan setiap hari diri menjadi “HAMBA YANG DIPERCAYAI ALLAH SWT“.

Lalu setiap hari dengan sendiri saya akan menjalankan kehidupan berTuhankan Allah. Pasti diri akan sanggup memikul dan melaksanakan tanggungjawab amanah daripadaNya dengan sedaya upaya untuk menjadi hamba yang dipercayai Allah.

Pasti akan berusaha untuk Tekad mempertahankan kesedaran kepada Allah setiap saat.

Pasti melakukan kebaikan untuk diri dan manafaat buat yang lain.

Cubalah saudara hari ini tanamkan dalam diri di awal pagi ini…. “ya Allah hari ini aku siap menjadi hambaMu yang dipercayaiMu ya Allah.”

Saya yakin saudara sendiri akan termotivasi dalam melakukan pekerjaan kebaikan hari ini. Pasti.

Lalu jagalah diri agar jangan hilang KEPERCAYAAN itu pada kita. Kita tidak mampu melindungi atau menyembunyikan apa jua gerak laku kita kerana yang ingin kita dapatkan kepercayaan adalah daripada Allah SWT Yang Maha Melihat malah Maha Mengetahui dalam hati kita jua. Kita tidak boleh menyembunyikan keikhlasan dan kejujuran kita.

Bukanlah sebuah kepercayaan daripada isteri, anak-anak atau kawan-kawan yang sekadar melihat luaran kita dan apa yang ada di hadapan mereka sahaja. Yang boleh kita sembunyikan keikhlasan dan kejujuran kita.

Lalu motivasi ini pasti benar-benar melatih kita menjadi hamba yang Taat pada Allah sebenar-benarnya.

Berjanjilah saudara… jadilah Hamba Yang Dipercayai Allah setiap saat. Saudara akan berasa ada semangat yang berkobar-kobar untuk melakukan kebaikan demi keranaNya.

Incoming search terms:

Tidak Lepas Dari Sunnatullah Allah

5 February 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Al-Quran itu menjelaskan sunnatullah Allah. Menjadi sebuah panduan kepada kita lakukan ini perolehi ini. Lakukan itu perolehi itu.

Rasulullah S.A.W. adalah manusia yang paling agung dan paling hebat kerana Baginda mengikut sunnatullah Allah SWT 100% tanpa banyak persoalan kerana keyakinan kepada Allah, Tuhan yang memberikan panduan.

Ketika kita sedar atau tidak, kita sebenarnya mengikut sunnatullah Allah. Tidak kira takdir yang membawa kepada kebaikan atau keburukan (pada pandangan kita) semuanya adalah sunnatullah Allah SWT.

Lalu ketika ingin menjalankan apa jua hal, sedarilah bahawa itu adalah sunnatullah. Tugas kita dengan akal yang baik, pastikan apa yang ingin dilakukan adalah baik. Sentiasa mohon izin pada Allah. Sentiasa sedar Allah. Selebihnya apa jua hasil daripada apa jua kerja kita, kita tidak mampu menentukan. Ia adalah kehendakNya Allah SWT.

Seandainya saudara telah membaca Al-Quran dengan faham sehingga habis, saudara akan lihat apa yang saudara lakukan setiap saat samada baik atau tidak semuanya ada diceritakan Allah dalam Al-Quran.

Al-Quran itu menceritakan sunnatullah baik dan buruk yang dialami oleh makhluk yang bernama manusia.

Ketika melakukan atau telah melakukan sesuatu, saudara akan sedari…. oh! yang ini sama apa yang diceritakan dalam Al-Quran. Oh! apa yang aku alami ini sama seperti yang diberitahu Rasulullah.

Membezakan kita adalah samada kita tahu dan sedari sebelum melakukan atau selepas melakukan. Atau juga mungkin langsung tidak menyedari apa yang kita lakukan telah diceritakan Allah dalam Al-Quran dan juga melalui RasulNya kerana kita selalu tidak sedar Allah.

Saudara, inilah hakikat. Jangan sekadar belajar hakikat tetapi sekadar ilmu. Gagal untuk mengamalkannya dalam hidup ini. Kita menghafal itu ini ilmu dengan “term-term” yang hebat tetapi kita hanya sekadar menjadikannya bahan untuk cerita dan debat.

Kesimpulan yang sederhana, lakukanlah kebaikan. Pastikan kita sedar Allah setiap saat dalam melaksanakan apa jua kerja seharian kita. Sebenarnya inilah KESIMPULAN DARI ILMU HAKIKAT YANG KITA BELAJAR. Agar kita sentiasa SEDAR ALLAH SETIAP SAAT HIDUP INI. 3 tahun lebih saya menulis… tujuannya untuk ini.. mengajak saudara agar mampu MENYEDARI ALLAH SETIAP SAAT.

InshaAllah akan diilhamkan Allah dengan taqwa dan dijauhkan kita dengan fujur. Semoga di hari peringatan ke atas kelahiran Rasulullah ini kita mendapat manafaat. Amin.

Fuad Latip
Jiwa Positif Hidup BerTuhan
http://www.fuadlatip.com/

Incoming search terms:

Memiliki Rasa Cinta Kepada Rasulullah S.A.W.

5 February 2012 | Tiada Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Ada orang bertanya saya, “bagaimana untuk mendapatkan rasa cinta kepada Rasulullah?”

Saya tidak tahu bagaimana dengan saudara. Namun cara saya mudah.

Saya suka membaca kisah perjuangan Rasulullah. Saya juga suka baca hadis-hadis Rasulullah. Dengan membaca tentang Rasulullah, saya berasa saya ingin sangat berada di zaman Baginda dan sama-sama berjuang untuk menegakkan kebenaran.

Dengan menyedari perjuangan Rasulullah sebagai manusia yang terbaik menjalankan Sunatullah Allah SWT, saya sangat rindu untuk bertemu dengan Baginda. Ingin sekali saya melihat kehidupan Rasulullah. Rasa sangat ingin bertemu dan mendapatkan tunjuk ajar langsung dari Baginda.

Hasil dari rasa rindu ini dan ingin bersama Rasulullah, saya rasa sangat kasih dan sayang pada Baginda. Ketika rasa kasih dan sayang pada Baginda yang selalu muncul ketika itulah saya BERSELAWAT kepada baginda.

Mungkin cara saya tidak sama di mana orang sering berselawat terlebih dahulu untuk mendapatkan rasa kasih dan sayang pada Rasulullah. Tetapi saya mendapatkan kasih dan sayang dengan berasa Rasulullah sangat dekat melalui penghayatan kisah yang dilalui Baginda. Kemudian barulah saya berselawat ketika rasa kasih dan sayang itu sering muncul dalam hati ini.

Tidak kira apa pun cara yang kita lakukan. Yang utama kita jalankan sedaya mungkin sunnah Rasulullah dan sentiasa berselawat ke atas baginda.

Kita mungkin tidak mampu mengikut sunnah Baginda yang begitu banyak, namun kita sedaya mungkin mengikuti sunnah Baginda yang kita mampu tanpa memperlekehkan sahabat lain yang mengikuti sunnah Baginda yang lain.

Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Incoming search terms:

Artikel Seterusnya »
  • FB GROUP JPHBT

  • JPHBT di Android Phone

  • Artikel Terkini

  • Petikan

    Ya Allah Kau kurniakan kepada kami pendamping yang terbaik, pernikahan yang berkah, rumahtangga yang sakinah, keturunan yang soleh dan solehah.
    - Fuad Latip -
  • Doa

    Ya Allah, Aku mohon kepadaMu agar Kau catatkan siapa pun yang membaca blog ini, menjadi orang-orang yang Engkau angkat kerajaannya. Engkau ampuni seluruh dosa-dosanya. Engkau buka hati yang tertutup. Engkau lembutkan hati yang keras membatu. Engkau cahayai hati yang gelap gelita. Ya Allah jadikan perkongsian ilmu ini membuatkan sisa umur kami penuh berkah. Terpelihara dari fitnah dan musibah. Amin.
  • Arkib

  • Popular Keyword