Blog Ini Menggunakan Hosting 15GB Dengan Harga RM80 Sahaja. Klik Untuk Info Lanjut
Powered by MaxBlogPress  

Jiwa Positif Hidup BerTuhan (JPHBT)

Menyedari dan Merasai Kehambaan Diri dan KeTuhanan Allah SWT Di dalam Kehidupan

Saya Tidak Terdaya

14 January 2010 | 12 Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Saudara,
Saya hanya mempunyai daya yang dialirkan Allah SWT kepada saya sahaja. Saya tidak terdaya menyelesaikan masalah yang ada melainkan Allah SWT. Saya menghadapi hidup ini hanya dengan bersandarkan kepada Allah SWT. Berserah tapi tidak menyerah.

Banyak masalah yang masuk ke ruang email saya untuk meminta pendapat. Ada yang saya balas dan ada yang tidak. Jika saya tidak membalas email tersebut bermakna saya tidak ada ilham untuk menyelesaikan masalah tersebut. Saya mohon maaf.

Bagaimana saya melalui hidup saya?
Hidup saya biasa sahaja. Apa yang saya lakukan adalah cuba sedaya upaya dengan tekad yang bulat untuk dekat dengan Allah SWT. Walaupun ada ketika daya ini menurun dan ada ketikanya ia meningkat tapi tekad ini diteruskan.

Saya tidak belajar ilmu agama secara formal. Tapi saya yakin setiap daripada kita tidak kira siapa kita mampu berada dekat dengan Allah SWT. Lagipun hakikatnya memang Allah sangat dekat dengan kita. Samada sedar dan rasa atau tidak.

Saudara,
Saya yakin saudara tidak akan datang atau berjumpa dengan laman web ini kalau saudara tidak mencari bagaimana untuk berada dekat dengan Allah SWT. Hari ini saudara ke sini adalah ingin mencari cara untuk benar-benar sedar dan merasai kepentingan Allah SWT di dalam kehidupan kita.

Saudara mencari bagaimana cara yang terbaik di dalam menyelesaikan masalah-masalah saudara. Tidak menjadi hal samada saudara ke sini kerana disebabkan masalah yang saudara hadapi atau memang saudara benar-benar mencari jalan untuk berada dekat dengan Allah SWT.

Hakikatnya kita memang memerlukan Allah SWT. Namun samada kita benar-benar sedar dan rasa kita sangat-sangat memerlukan Allah SWT dalam hidup kita atau sekadar tahu sahaja yang menjadi kekuatan daya kita. Ramai yang sedar dan rasa memerlukan Allah SWT setelah ditimpa masalah. Tidak mengapa kerana yang penting tetap berasa diri kita memerlukan Allah SWT.

Saudara,
Hari-hari yang saya lalui saya sandarkan pada Allah SWT. Saya menerima apa jua takdir yang telah berlaku namun sesekali saya tidak menyerahkan takdir yang belum berlaku. Setiap yang telah berlaku itu telah ditakdirkan oleh Allah SWT.

Jika saya tidak mahu menerimanya pun, ia tetap berlaku. Namun keyakinan kepada Allah SWT di mana apa yang ditentukan oleh Allah SWT adalah yang terbaik di sisiNya, membuatkan hati saya tenang.

Saya tidak menyerahkan apa yang akan berlaku di hari depan sebelum ia berlaku. Kerana apa? Kerana saya diberi oleh Allah SWT peluang untuk memohon yang terbaik. Makanya peluang yang diberikan oleh Allah SWT itu tidak saya lepaskan begitu saja.

Saya memohon bersungguh-sungguh kerana saya sedar hanya Allah SWT yang mampu menunaikan harapan saya. Saya menyakini apa yang saya mohon akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Saya yakin apa yang saya perlukan telah Allah SWT sediakan kerana Allah SWT lebih mengetahui keperluan saya berbanding saya sendiri.

Menerima takdir yang telah berlaku serta sentiasa memohon untuk sesuatu yang terbaik di masa mendatang membuatkan hidup saya benar-benar bergantung kepada Allah SWT.

Ujian Allah SWT
Saya tidak terlepas daripada ujian Allah SWT. Perasaan tidak baik kekadang datang juga dalam jiwa saya.  Saya bukan sempurna untuk tidak merasai perasaan itu semua. Namun saya sedar yang saya tidak mampu membuang semua perasaan-perasaan yang datang itu.

Berdasarkan kesedaran, saya salurkan apa yang saya rasa kepada Allah SWT. Tidak ada tempat yang lain yang terbaik untuk disalurkan perasaan yang saya hadapi melainkan kepada Allah SWT.

Apabila kita memiliki kesedaran tertinggi, kita akan berada di atas segala rasa. Maknanya kita sedar yang kita  memiliki sesuatu rasa itu. Ketika kita sayang, kita sedar yang kita berasa sayang. Ketika marah kita sedar yang kita sedang berasa marah. Kerana kita berada di atas rasa, kita mampu mengawal apa yang kita rasa iaitu mengawal fikiran dan emosi kita.

Luahan kepada Allah SWT sentiasa memberikan saya tenang jika diserang dengan perasaan-perasaan yang tidak baik seperti dengki, benci, terasa dan sebagainya. Allah SWT mencabut semua perasaan-perasaan itu dalam hati saya. Kekadang rasa itu hadir semula dan setiap kali hadir, saya tetap salurkan pada Allah SWT. Bersungguh-sungguh.

Keluarga
Selain masalah itu, saya juga orang biasa yang memiliki masalah keluarga, anak-anak, kerja dan sebagainya. Saya tidak tahu dan terdaya untuk mengharungi semua hal yang saya hadapi. Saya tidak pandai dan tidak boleh nampak apa yang akan berlaku di masa depan walau sesaat pun.

Sebab itu saya selalu berdoa kepada Allah SWT agar Allah SWT ajarkan saya untuk menghadapi semua hal yang saya hadapi setiap hari.

Anak
Apabila saya berdepan dengan hal anak, saya tidak tahu bagaimana untuk mendidik anak-anak saya. Contohnya Saya tidak tahu bagaimana cara harus dilakukan untuk anak saya pergi ke sekolah. Saya tidak tahu bagaimana untuk mendidik anak-anak saya supaya menjadi anak-anak yang mendengar kata, yang rajin dan yang terbaik.

Apa yang saya lakukan adalah memohon kepada Allah SWT untuk ajarkan saya bagaimana cara-cara yang sesuai. Jika bangun di sepertiga pagi, saya solat tahajud 2 rakaat. Saya mempunyai 4 orang dalam keluarga saya. Saya, isteri dan 2 anak. Setiap sujud, saya memohon kepada Allah SWT untuk setiap ahli keluarga. 4 orang = 4 sujud = 2 rakaat. (1 rakaat mempunyai 2 sujud).

Saya tidak tahu bagaimana caranya selain daripada solat tahajud tersebut  kerana itu yang Allah SWT ilhamkan kepada saya.

Sebelum ini, anak saya berumur 3 tahun suka mengganggu saya dan isteri ketika solat. Saya mohon pada Allah SWT bagaimana cara untuk meghalangnya. Allah SWT berikan ilham kepada saya dan isteri iaitu mengajak anak saya bersama-sama solat. Alhamdulillah terima kasih Allah SWT, selain anak saya tidak mengganggu, dia juga mampu bersolat jemaah bersama saya dan isteri.

Jika saudara mempunyai anak yang susah untuk solat, janganlah menyuruh mereka solat sendiri. Ajaklah bersama-sama untuk solat berjemaah. Kita sama-sama bersolat dengan mereka. Ajaklah seisi keluarga solat bersama. Lakukan dan rasailah hasilnya.

Isteri
Suami isteri tidak terlepas daripada terasa hati. Soal perasaan ini memang sangat subjektif. Apa yang seseorang itu suka hari ini tidak semestinya suka pada hari esoknya. Begitulah suami isteri. Kekadang tersilap kata-kata. Kadang-kadang tersilap berbicara. Untuk komunikasi dengan baik, kekadang kita tidak pandai menyusun kata.

Namun seboleh mungkin kita akan berusaha menjadi yang terbaik di dalam menunaikan tanggungjawab bersama.

Saya adalah suami dan salah satu tanggungjawab saya adalah mendidik isteri. Sehingga hari ini saya tidak pandai mendidik isteri saya. Bukan isteri saya memberikan masalah kepada saya. Cuma saya tida tahu untuk membahagiakan beliau setiap hari kerana setiap hari pasti berbeza.

Apa yang saya lakukan hanyalah memohon kepada Allah SWT untuk mengajar saya mendidik isteri saya. Setiap hari saya memohon kepada Allah SWT agar berikan ilham bagaimana untuk mendidik isteri saya pada hari tersebut.

Setiap hari pasti berlainan perasaan isteri. Saya tidak pandai dan tidak tahu bagaimana untuk membahagiakan isteri setiap hari melainkan dengan bantuan Allah SWT. Saya mohon setiap hari agar Allah SWT berikan saya ilham bagaimana cara saya mampu membahagiakan isteri saya setiap hari. Begitu juga untuk membahagiakan anak-anak saya.

Alhamdulillah dan terima kasih Allah SWT. Setiap hari sejak dulu kami sentiasa diilhamkan Allah SWT agar dapat mengetahui gerak rasa sesama kami. Apabila saya dan isteri menyandarkan segala hal kepada Allah SWT, Allah SWT memberikan kami persefahaman yang lebih baik setiap hari. Keserasian semakin hari semakin terasa walaupun sudah masuk tahun ke-5 kami berkahwin.

Sandaran kepada Allah SWT termasuk apa yang terasa. Jika terasa saya dan isteri salurkan terus kepada Allah SWT kerana tiada tempat lain yang layak melainkan kepada Allah SWT.

Hal-hal Lain
Sesungguhnya saya tidak terdaya untuk mengetahui apa yang akan berlaku walau sesaat pun. Makanya saya memohon kepada Allah SWT agar mengajar saya untuk menghadapi apa pun jua yang digerakkan oleh Allah SWT untuk saya tempuhi.

Keyakinan bahawa Allah SWT akan memakbulkan segala apa yang saya pohon membuatkan saya sentiasa bahagia. Jika tidak dimakbulkan saya juga menerima takdir (berserah) kerana saya tahu apa yang saya inginkan itu tidak terbaik di sisi Allah SWT ketika itu.

Tekad Yang Bulat
Saya tidak terdaya untuk menjalani kehidupan ini melainkan dengan bantuan Allah SWT. Sesungguhnya saya sangat-sangat memerlukan Allah SWT. Sangat-sangat. Teramat sangat.

Kerana itulah saya berserah kepada Allah SWT kerana saya yakin dan cintakan Allah SWT lebih daripada apa yang saya miliki.

Apa yang saya tulis ini bukanlah untuk menunjukkan saya ini bagus. Saya cuma sedar yang hidup ini memerlukan Allah SWT. Saya juga perlukan bantuan Allah SWT samada dalam bentuk ilham, bahasa alam atau apa sahaja yang Allah SWT berikan kepada saya di dalam menuntun saya meneruskan hidup ini.

Setelah saya sedar yang saya memerlukan bantuan Allah SWT, saya sedar saya perlu dekat dengan Allah SWT. Saya perlu ingat Allah SWT sepanjang masa. Untuk itu saya perlukan cinta kepada Allah SWT agar saya sentiasa ingatkan Allah SWT. Tanpa rasa cinta, pasti saya tidak akan bersungguh dan ikhlas.

Rasa cinta itu sangat kuat sehinggakan ia wujud lebih tinggi daripada sebab-sebabnya. Kerana itu orang kata cinta tiada sebab kerana cinta itu lebih hebat daripada semua rasa.

Untuk memiliki rasa cintakan Allah SWT, saya perlu ingat Allah SWT. Untuk ingat Allah SWT, saya perlukan komunikasi. Kerana itu saya sentiasa berkomunikasi dengan Allah SWT. Dengan komunikasi saya merasakan dengan sedar bahawa Allah SWT itu sangat dekat. Saya merasai dan sedar hakikat Allah SWT itu lebih dekat daripada segala apa yang fana ini.

Inilah yang dikatakan hidup BerTuhan di mana kita pasti memiliki jiwa yang positif iaitu yang tenang, bahagia dan segalanya apabila dekat dengan Allah SWT. Semoga ada manafaatnya perkongsian ini.

NOTE:
Doa saya setiap kali selepas solat bersama isteri dan anak.
“ya Allah, ampuni dosa kami ya Allah. Ampuni dosa ibu bapa kami ya Allah. Ampuni dosa keluarga kami ya Allah.

Ya Allah, rahmatikan kami semua ya Allah.

Ya Allah, cukupkanlah keperluan kami ya Allah. Cukupkanlah keperluan anak-anak kami ya Allah.

Ya Allah angkatlah darjat kami ya Allah.

Ya Allah murahkanlah rezeki kami ya Allah. Murahkanlah rezeki anak-anak kami ya Allah.

Ya Allah berikan hidayah kepada kami ya Allah. Ajarkan kami cara terbaik untuk mendidik anak-anak kami ya Allah.

Ya Allah ajarkan kami cara bagaimana mahu beribadah kepadaMu ya Allah.

Ya Allah ajarkan kami bagaimana untuk sentiasa mengingatiMu ya Allah.

Ya Allah berikan rasa cinta kepadaMu dalam jiwa kami ya Allah.

Ya allah ajarkan kami bagaimana mahu menyelesaikan masalah-masalah kami ya Allah.

Ya Allah ajarkan aku bagaimana mahu mendidik isteri dan anak-anakku ya Allah (jika solat sendirian).

Ya Allah sihatkanlah kami ya Allah.

Ya Allah maafkanlah kami ya Allah.

Amin ya Allah. Terima kasih Allah SWT

Popularity: 57% [?]

Incoming search terms:

Facebook Comments

  • Bengkel JPHBT

  • Kemaskini di FB JPHBT

  • Artikel Terkini

  • Petikan

    Kasih sayang & cinta itu adalah 'gain'. Kita hanya memilikinya setelah kita memberinya. Sayangilah keluarga & sahabat kita, barulah mereka akan menyayangi kita.
    - Fuad Latip -
  • Doa

    Ya Allah, Aku mohon kepadaMu agar Kau catatkan siapa pun yang membaca blog ini, menjadi orang-orang yang Engkau angkat kerajaannya. Engkau ampuni seluruh dosa-dosanya. Engkau buka hati yang tertutup. Engkau lembutkan hati yang keras membatu. Engkau cahayai hati yang gelap gelita. Ya Allah jadikan perkongsian ilmu ini membuatkan sisa umur kami penuh berkah. Terpelihara dari fitnah dan musibah. Amin.
  • Artikel Popular

  • Arkib

  • Popular Keyword