Blog Ini Menggunakan Hosting 15GB Dengan Harga RM80 Sahaja. Klik Untuk Info Lanjut
Powered by MaxBlogPress  

Jiwa Positif Hidup BerTuhan (JPHBT)

Menyedari dan Merasai Kehambaan Diri dan KeTuhanan Allah SWT Di dalam Kehidupan

Memiliki Kesedaran Tertinggi #5

15 November 2009 | 5 Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Cara paling mudah untuk membina kesedaran kita kepada Allah SWT setiap saat adalah dengan berkomunikasi dengan Allah SWT. Kemudian di masa senggang (tiada kerja) cubalah mengingati semula plot-plot atau kronologi-kronologi yang Allah SWT aturkan ketika masalah kita diselesaikan oleh Allah SWT.

Kita sering menganggap segala yang berlaku adalah kebetulan tanpa sedikit pun mengaitkan setiap apa yang berlaku dalam kehidupan kita ini dengan Allah SWT. Sebab itulah ada sesetengah kesedaran manusia kepada Allah SWT masih berada di tahap yang lama atau semakin rendah. Akhirnya mereka berasa bahawa apa yang berlaku dan kejayaan mereka adalah kerana usaha mereka sendiri tanpa sendikit pun sedar akan hal Allah SWT.

***

Saya suka merenung kembali kronologi atau peristiwa yang berlaku di dalam hidup saya setiap hari dan melihat kronologi itu berlaku disebabkan kehendak Allah SWT. Sehinggakan sedang menyuap setiap suapan nasi pun saya melahirkan kesedaran betapa Allah SWT masih memberikan saya rasa yang berlainan setiap suapan tersebut.

Bacalah salah satu kisah kecil sahaja bagaimana saya merenung  salah satu kronologi kehidupan saya. Walaupun ia ringkas tetapi lihatlah aturan yang Allah SWT tentukan untuk diri saya.

Kini saya mula mengamalkan hidup yang sihat. Benar-benar berazam akan mengekalkannya. Bersenam setiap pagi dan petang serta makan makanan yang benar-benar berkhasiat. Puncanya adalah kerana tekanan darah saya berada pada tahap tinggi. InshaAllah cara hidup sihat ini akan dikekalkan walaupun tekanan darah kembali normal.

Mari merenung kronologi ini dengan keadaan sedar akan Allah SWT (sifat, zat dan af’al Allah SWT). Saya mendapat tahu tekanan darah ini tinggi semasa saya membawa anak no 2 saya ke klinik untuk mendapatkan suntikan bayi berumur 2 bulan.

Seandainya Allah SWT tidak menetapkan pada ketika itu saya perlu membawa bayi, pasti saya tidak tahu tekanan darah saya tinggi. Bagaimana saya tahu?

Ketika berada di dalam bilik doktor, saya diilhamkan oleh Allah SWT untuk meminta doktor periksa tekanan darah saya kerana saya berasa pening sejak awal pagi. Doktor yang bertugas ketika itu adalah doktor part time di di klinik tersebut. Doktor tersebut memeriksa tekanan darah saya ketika itu agak tinggi iaitu 160/90.

Doktor tersebut bukan sahaja memeriksa tetapi memberikan nasihat cara hidup yang sihat secara praktikal untuk orang yang bekerja. Sejak itu saya mula bersenam dan makan makanan yang benar-benar berkhasiat.

Kita ulangi merenung kronologi di atas. Jika saya tidak digerakkan oleh Allah SWT untuk membawa anak ke klinik tersebut, pasti saya tidak akan memeriksa tekanan darah saya. Jika saya tidak dipeningkan oleh Allah SWT, pasti saya tidak terfikir untuk meminta doktor memeriksa tekanan darah saya.

Renungkan juga bahawa Allah SWT menyediakan doktor yang sudi memberikan nasihat dan cara-cara amalan hidup yang sihat dengan cara yang praktikal. Akhirnya saya pasti tidak akan mengamalkan cara hidup sihat jika saya tidak membawa anak saya ke klinik, tidak meminta doktor memeriksa tekanan darah saya dan doktor yang memeriksa saya cukup baik berkongsi ilmu beliau.

***

Apakah semua di atas berlaku secara kebetulan? Tidak! Semuanya adalah aturan Allah SWT. Apabila kita melihat setiap kronologi sesuatu peristiwa di dalam hidup kita dalam keadaan sedar pada Allah SWT pasti kita akan dapat meningkatkan kesedaran kita. Kita akan berterima kasih pada Allah SWT dengan rasa syukur yang tak terkata. Betapa hebatnya pemberian Allah SWT.

Selalulah merenung kembali saat-saat masalah kita selesai. Bagaimana setiap kronologi atau jalan cerita penyelesaian masalah kita itu diaturkan sangat cantik oleh Allah SWT. Kita lihat Allah SWT bukan sekadar menggerakkan kita tetapi menggerakkan seluruh alam ini serta makhluknya di dalam kehidupan kita ini di dalam menyelesaikan masalah kita.

Allah SWT aturkan pertemuan kita dengan orang yang membantu, Allah SWT sediakan keadaan seperti semuanya berlaku tanpa mampu difikirkan oleh kita. Semua yang kita anggap selama ini kebetulan itu adalah aturan Allah SWT yang selama ini kita tidak sedari.

Begitu juga halnya dengan menerima rezeki yang tidak disangka-sangka. Begitu juga dengan kejayaan dan sebagainya. Tidak kira peristiwa kecil atau besar. Kisah hidup kita merupakan kehendak Allah SWT yang mana kita tidak mampu menghalang apa yang Allah kehendaki.

Kita hanya mampu memohon kepada Allah SWT dengan berdoa tetapi kita tidak melakukan apa-apa usaha pun. Berdoa itu sekadar cetusan fikiran yang lahir dari rasa hati yang diilhamkan Allah SWT. Namun usaha kita iaitu segala gerakan tubuh badan ini digerakkan oleh Allah SWT mengikut kehendakNya. Bukan atas kehendak kita walaupun kita berasa ia adalah usaha kita.

Kita lihat bagaimana Allah SWT menyambut doa kita dengan memberi jawapan yang sangat halus yang tidak terfikir oleh akal fikiran kita. Kita tidak terfikir dan tahu bagaimana Allah SWT akan menyelesaikan masalah kita sehinggalah masalah kita selesai.

Lihatlah betapa halus dan menarik segala jawapan yang Allah SWT berikan di dalam artikel Jawapan Allah SWT #1 dan Jawapan Allah SWT #2.

Apabila kita berada di dalam keadaan kesedaran yang tertinggi akan hal Allah SWT di dalam setiap inci kehidupan kita ini, di dalam segala hal dan peristiwa pasti kita akan mudah menjadi insan yang berserah.

Saya pasti akan menangis dan tersujud semasa merenung semula kronologi peristiwa yang berlaku di dalam hidup saya bukan sahaja yang telah lama berlaku tetapi juga yang baru-baru berlaku. Tidak kira kecil atau besar, saya sedar betapa besarnya nikmat yang Allah SWT berikan kepada saya.

Saya berterima kasih tanda syukur tak tehingga pada Allah SWT kerana memilih saya untuk memiliki kesedaran kepadaNya. Saudara juga dipilih oleh Allah SWT untuk memiliki kesedaran kepada Allah SWT. Bertuahnya kita, beruntungnya kita bukan.

Jika kita semua selalu membuat latihan iaitu merenung kembali kronologi peristiwa yang berlaku dalam hidup kita dengan sedar akan hal Allah SWT, pasti kita mudah untuk melihat dan mendapat pengajaran daripada kehendak Allah SWT.

Kita akan sangat-sangat memahami kehendak Allah SWT ke atas diri kita. Tidak hairanlah mengapa orang yang dekat dengan Allah SWT memiliki gerak rasa (intuition) yang sangat hebat.

***

Latihlah setiap hari merenung kronologi atau jalan cerita hidup kita yang Allah SWT tentukan ketika menerima nikmat daripada Allah SWT. Kita sambung kesedaran kepada Allah SWT ketika merenung kronologi kehidupan kita dan pasti setiap hari kita akan lebih dekat dengan Allah SWT bersama rasa terima kasih syukur yang tak terhingga kepada Allah SWT.

[note] Kenangkan kembali bagaimana saudara semua boleh terjumpa laman web ini dan membacanya. Siapakah yang menggerakkan saudara untuk membuka laman web ini. Siapakah yang menggerakkan keinginan saudara semua untuk membaca artikel-artikel di sini? Pastinya Allah SWT. Maha Hebat bukan?

Popularity: 16% [?]

Facebook Comments

  • Bengkel JPHBT

  • Kemaskini di FB JPHBT

  • Artikel Terkini

  • Petikan

    Allah SWT sentiasa mencintai kita. Namun untuk kita merasai cinta AllahSWT hanyalah dengan satu cara iaitu kita mesti mencintaiNya. Rasa cinta itu hanya mampu kita miliki apabila kita juga menyintai.
    - Fuad Latip -
  • Doa

    Ya Allah, Aku mohon kepadaMu agar Kau catatkan siapa pun yang membaca blog ini, menjadi orang-orang yang Engkau angkat kerajaannya. Engkau ampuni seluruh dosa-dosanya. Engkau buka hati yang tertutup. Engkau lembutkan hati yang keras membatu. Engkau cahayai hati yang gelap gelita. Ya Allah jadikan perkongsian ilmu ini membuatkan sisa umur kami penuh berkah. Terpelihara dari fitnah dan musibah. Amin.
  • Artikel Popular

  • Arkib

  • Popular Keyword