Blog Ini Menggunakan Hosting 15GB Dengan Harga RM80 Sahaja. Klik Untuk Info Lanjut
Powered by MaxBlogPress  

Jiwa Positif Hidup BerTuhan (JPHBT)

Menyedari dan Merasai Kehambaan Diri dan KeTuhanan Allah SWT Di dalam Kehidupan

Kepulangan

7 November 2009 | 1 Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Perasaan pulang sangat jauh berbeza dengan perasaan ketika kita pergi. Ketika pulang, kita berasa sangat gembira. Pelbagai perasaan muncul dalam diri ketika kita ingin pulang.

Tidak kira ketika pulang kerja atau pulang ke mana sahaja termasuk pulang ke kampung. Kita akan berasa tenang dan bahagia kerana kita pulang ke tempat asal kita. Kita pulang di mana terdapatnya orang-orang yang kita kasih dan sayang. Pulang dari kerja cukup membahagiakan apabila kita pulang dengan penuh kejiwaan seperti yang pernah saya tuliskan di sini.

Saudara,

Apabila kita berada di dalam kesedaran tertinggi, kita sebenarnya sedang pulang. Pulang kepada Yang Maha Membahagiakan. Pulang kepada Yang Maha Kasih Sayang. Pulang kepada Yang Maha Merindui dan Mencintai. Iaitu pulang ke Allah SWT. Kerana itu pulangnya kita itu menjadikan jiwa kita tenang dan sangat bahagia.

Kita tidak pergi atau menuju ke Allah SWT kerana kita datang daripada Allah SWT dan pastinya kita pulang, iaitu kembali kepada Allah SWT. “inna lillahi wa inna ilayhi raji’un”.

Solat, haji, puasa dan sedekah itu sebenarnya jalan yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk kita pulang ke Allah SWT. Allah SWT telah berikan jalan kepada kita agar kepulangan kita benar-benar menuju ke Allah SWT. Berserah itu membuat jiwa kita mengikut jalan yang dituntuni oleh roh untuk pulang ke Allah SWT kerana hanya roh yang tahu jalan pulang ke Allah SWT.

Kepulangan dengan solat akan membuatkan kita berasa tenang. Kita menyerahkan segala-galanya pada Allah SWT dan mengulangi kenyataan kita bahawa “Tiada Tuhan melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah SWT”.

Ketika haji, kita pulang ke Allah SWT dengan meninggalkan hal-hal keduniaan. Dengan berpakaian ihram dan pemergiaan kita semata-mata kerana Allah SWT. Kita sebenarnya bukan pergi mengerjakan haji tetapi kita pulang kepada Allah SWT.

Berpuasa itu kembali atau pulang kepada fitrah. Kita pulang ke Allah SWT dengan meninggalkan kehendak jasad iaitu nafsu.

Sedekah itu juga meletakkan harta benda ini di bawah. Dalam kesedaran kita sedikit pun tidak terikat dengan harta benda dengan memberikannya kepada mereka yang memerlukan. Jiwa kita pulang kepada Allah SWT tanpa membawa apa jua keduniaan.

Allah berfirman:
“Wahai orang Yang mempunyai jiwa Yang sentiasa tenang tetap Dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu Dengan keadaan Engkau berpuas hati(dengan Segala nikmat Yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah Engkau Dalam kumpulan hamba-hambaKu Yang berbahagia. Dan masuklah ke Dalam SyurgaKu! ” (QS 89:27-30)

Allah memanggil orang yang mempunyai jiwa yang tenang untuk kembali iaitu pulang kepadaNya. Mereka yang berjiwa tenang bukan sekadar pulang tetapi kepulangannya dipanggil Allah SWT untuk masuk ke syurgaNya.

Orang yang berjiwa tenang adalah orang yang sentiasa berada di dalam kesedaran tertinggi iaitu orang yang sentiasa berserah pada Allah SWT dalam apa jua keadaan dan masa. Setiap saat, sedar akan Allah SWT. Apabila kita berserah hanya pada Allah SWT, maka Allah SWT akan mengilhamkan Taqwa kepada jiwa untuk menjadi jiwa yang mutmainah iaitu jiwa yang tenang.

Maka selalulah pulang ke Allah SWT (sentiasa berserah) agar kepulangan yang abadi (mati) nanti juga berada dalam keadaan berserah. Kita perlu sentiasa pastikan bahawa kita benar-benar bersedia untuk pulang ke Allah SWT. Berlatihlah selalu untuk pulang ke Allah SWT. (Latihannya di sini).

Saudara,

Diamlah sejenak dan sedarilah bahawa Allah SWT ada sangat dekat dengan kita. Duduk diam dengan penuh tenang dan sedarilah bahawa ada dzat Yang Maha Kuasa yang sedang mengaturkan nafas kita. Kita tidak pernah mengaturkan nafas kita ini.

Dengan penuh ketenangan rasailah jiwa yang sedang keluar dan bergerak pulang menuju kepada Allah SWT. Pulang kepada Yang Maha Kasih Sayang, Yang Maha Merindui, Yang Maha Mencintai. Panggillah Allah SWT dengan penuh kehambaan….ya Allah!….diam sejenak dan rasakan respon Allah SWT. Lakukan terus sehingga benar-benar jiwa kita pulang ke Allah SWT.

Saudara,

Selamat pulang ke Allah SWT. Semoga kepulangan kita adalah kepulangan yang diredhai yang dipanggil Allah SWT serta menjemput kita masuk ke syurga dari mana-mana pintu yang kita sukai.

Popularity: 9% [?]

Facebook Comments

  • Bengkel JPHBT

  • Kemaskini di FB JPHBT

  • Artikel Terkini

  • Petikan

    Allah SWT sentiasa mencintai kita. Namun untuk kita merasai cinta AllahSWT hanyalah dengan satu cara iaitu kita mesti mencintaiNya. Rasa cinta itu hanya mampu kita miliki apabila kita juga menyintai.
    - Fuad Latip -
  • Doa

    Ya Allah, Aku mohon kepadaMu agar Kau catatkan siapa pun yang membaca blog ini, menjadi orang-orang yang Engkau angkat kerajaannya. Engkau ampuni seluruh dosa-dosanya. Engkau buka hati yang tertutup. Engkau lembutkan hati yang keras membatu. Engkau cahayai hati yang gelap gelita. Ya Allah jadikan perkongsian ilmu ini membuatkan sisa umur kami penuh berkah. Terpelihara dari fitnah dan musibah. Amin.
  • Artikel Popular

  • Arkib

  • Popular Keyword