JPHBT: 1 Tahun
12 November 2009 | 3 Komen |
Cetak Artikel
3 November 2009 yang lalu genaplah setahun laman web ini berkongsi manafaat yang besar dan keindahan serta ketenangan yang saya dan keluarga miliki apabila sentiasa sedar dan merasai nikmat hidup berTuhan yang sebenar sejak beberapa tahun yang lalu hingga kini.
Jika ingin dikongsikan pengalaman tentang nikmat yang Allah SWT berikan, pasti tidak mampu ditulis dan diceritakan kerana sesungguhnya nikmat yang Allah SWT berikan terlalu besar dan hebat.
Saya juga yakin saudara semua mempunyai pengalaman yang hebat tentang nikmat yang Allah SWT berikan. Malah semua daripada kita pasti memiliki nikmat yang Allah SWT kurniakan. Membezakannya adalah samada kita sedar atau sekadar tahu sahaja.
Apabila hidup ini sentiasa disedarkan bahawa segala-galanya adalah hanya daripada Allah SWT sehinggakan kepada perkara yang kecil pun, maka hidup kita ini sentiasa sedar yang kita ini perlu sangat-sangat bergantung kepada Allah SWT. Dengan kesedaran itulah maka kita hidup penuh dengan tanggungjawab sebagai wakil Allah SWT.
Kesedaran ini membuatkan kita terpelihara daripada dosa dan maksiat. Kesedaran ini membuatkan kita melakukan ibadah dan perintah Allah SWT dengan penuh tanggungjawab dan terbaik. Kesedaran ini membuatkan kita tidak menurut perintah Allah SWT dengan rasa terpaksa tetapi kita melakukannya dengan penuh rasa tunduk dan patuh kepada Allah SWT.
***
Perkongsian tentang Jiwa Positif dan Hidup BerTuhan telah memberikan saya banyak kenalan ,Abang, kakak dan adik-adik. Paling menggembirakan kerana kita semua berbual dan membicarakan tentang kehebatan Allah SWT samada melalui email, sms, telefon dan juga ruang komen laman web ini.
Kita sama-sama mendekatkan jiwa yang hilang dan jauh entah ke mana daripada Allah SWT. Kita berlatih bersama-sama untuk meningkatkan kesedaran akan Allah SWT.
Indahnya hidup ini jika kita bersahabat kerana Allah SWT. Hidup dikelilingi sahabat yang ingin dekat dengan Allah SWT. Cukup berbeza semasa saya menjalankan internet biz kerana ketika itu kami berkenalan kerana duit. Terima kasih Allah SWT, terima kasih.
Terima kasih juga kepada saudara semua kerana sudi membaca tulisan di dalam laman web ini. Saya juga banyak belajar daripada saudara semua erti kehidupan yang bahagia.
Semoga Allah SWT terus memberikan saya peluang dan ruang serta ilham agar tulisan-tulisan ini mampu memberikan kesedaran kepada kita semua. Laman web ini adalah ketentuan yang Allah SWT tetapkan untuk kita sama-sama memiliki ilmu agar kita sama-sama dapat mengingati Allah SWT setiap detik kehidupan ini.
Semuanya usaha ini digerakkan oleh Allah SWT maka seharusnya terima kasihlah kepada Allah SWT sebagai tanda syukur kita kepadaNya.
Selalulah pulang kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Kita diajar oleh Allah SWT melalui Nabi dan Rasul untuk pulang ke Allah SWT. Solat, Puasa, Haji dan Zakat merupakan ibadah untuk jiwa kita sentiasa pulang ke Allah SWT agar kita sentiasa menjadi hamba yang berserah.
***
“Ya Allah, Tuhan yang Maha Besar, Tuhan yang Memiliki Segala Ilmu, Tuhan yang Pengasih dan Penyayang. Ya Allah, kami memohon kepadaMu agar diberikan kesedaran kepada kami dan rasa cinta kepadaMu di dalam jiwa kami ya Allah. Tiada lagi rasa yang paling hebat selain rasa cinta kepadaMu ya Allah.
Ya Allah, kami memohon agar dijadikan kami ini golongan hambaMu yang berserah ya Allah, golongan hambaMu yang penuh yakin bergantung hanya padaMu ya Allah, hambaMu yang sentiasa berprasangka baik kepadaMu ya Allah. Terima kasih ya Allah, terima kasih.”
Popularity: 12% [?]






