Islamic NLP Parenting: Ikhlas Ke Sekolah
9 November 2009 | 9 Komen |
Cetak Artikel
Setiap hari bermula isnin hingga jumaat anak-anak kita pasti ke sekolah atau yang masih kecil akan ke pusat asuhan. Anak saya tidak terlepas daripada perkara yang sama iaitu ke pusat asuhan. Kita sering berhadapan dengan pelbagai ragam anak-anak ke sekolah.
Anak saya yang berumur 3 tahun 3 bulan juga mempunyai ragamnya. Sebelum ini pernah tidak mahu ke sekolah selama hampir 2 bulan. Setiap kali hantar beliau ke sekolah, beliau akan menangis sehingga meraung-raung. Saya memang tidak sanggup melihat anak menangis ditinggalkan.
Saya dan isteri seringkali berdoa agar Allah SWT mencerahkan jiwa anak saya agar beliau tinggal di pusat asuhan dengan kerelaan hati, bukannya terpaksa.
Suatu hari saya berdoa, “Ya Allah, cerahkan jiwa anak aku ini agar beliau tenang untuk tinggal di nursery ya Allah. Ya Allah kuatkan jiwanya ya Allah“.
Ternyata doa saya dimakbulkan oleh Allah SWT tetapi dengan syarat iaitu mengikhlaskan jiwa saya dan isteri di dalam tujuan menghantar anak saya ke sekolah.
Allah SWT memberikan ilham untuk menyedarkan saya dan isteri bahawa selama ini saya menghantar anak ke sekolah kerana saya dan isteri perlu bekerja dan tiada siapa yang dapat membantu kami menjaga anak kami itu. Kami tersentak dengan kesedaran niat kami menghantar anak ke pusat asuhan tidak sampai kepada tahap ikhlas yang terbaik.
Keikhlasan menghantar anak itu adalah ikhlas kerana tiada siapa mahu menjaga beliau ketika kami bekerja. BUKANNYA DITINGKATKAN KEPADA NIAT KERANA ALLAH SWT.
Ikhlas Kerana Allah SWT
Memikirkan apa yang dilakukan itu samada ikhlas atau tidak pasti menjadi tidak ikhlas.
Ikhlas itu hadir apabila kita sedar apa yang kita lakukan itu adalah tanggungjawab yang Allah SWT berikan kepada kita sebagai wakil Allah SWT. Dengan kesedaran bahawa kita ini adalah wakil Allah SWT dan diamanahkan tanggungjawab lalu kesedaran tanggungjawab ini membuatkan kita melaksanakan tanggungjawab dengan rela, pasti jiwa menjadi tenang.
Nah! ketenangan itulah menandakan bahawa ikhlasnya kita melaksanakan tanggungjawab. Kita tidak langsung memikirkan ikhlas atau tidak ketika melaksanakan tanggungjawab tetapi kita hanya sedar itu adalah tanggungjawab yang Allah SWT berikan dan mesti dilaksanakan kerana ia amanah Allah SWT.
***
Saya dan isteri kini sedar bahawa menghantar anak kami ke pusat asuhan bukan sekadar kerana tidak ada orang yang dapat membantu menjaga anak kami ketika kami bekerja tetapi ditingkatkan lagi kesedaran itu iaitu menghantar anak ke pusat asuhan merupakan tanggungjawab kami kepada Allah SWT untuk memastikan anak kami selamat dan mendapat pendidikan yang sempurna.
Kesedaran tanggungjawab kepada Allah SWT inilah yang jarang dimiliki oleh kita semua. Sebagai contoh lain, kita menghantar anak ke sekolah hanyalah semata-mata ingin anak kita pandai agar boleh mencari wang atau harta dunia yang banyak suatu hari nanti.
Lalu kita berkorban wang dan tenaga demi memastikan anak kita menjadi anak yang pandai kerana niat kita inginkan anak kita berjaya dan dapat membantu kita kembali suatu hari nanti. Tidak cukup ke sekolah, kita juga menghantar anak kita ke kelas tambahan walaupun sesetengahnya masih berada di tahun 1.
Ia tidak merupakan satu kesalahan tetapi bebanan kepada mereka itu adalah kerana niat kita yang bukan KERANA ALLAH SWT. Kita boleh mengatakan ia ikhlas kerana Allah SWT tetapi kebanyakannya adalah hanya sekadar kita tahu kita perlu melakukan semuanya ikhlas kerana Allah SWT. Bukannya benar-benar dari jiwa kita ia kerana TANGGUNGJAWAB KITA KEPADA ALLAH SWT.
***
Pastikan kesedaran kepada Allah SWT tidak dilepaskan walaupun sesaat. Oleh itu pastikan ketika kita menghantar anak kita ke sekolah atau pusat asuhan kita berada di dalam kesedaran.
Pegang tangan dan peluklah anak kita sewaktu menghantarnya ke sekolah atau pusat asuhan. Ketika memeluk itu, bangunkan kesedaran bahawa kita lakukan semua ini adalah tanggungjawab kita kepada Allah SWT untuk memastikan anak kita selamat dan terjaga dengan baik.
Disamping itu kita memohon kepada Allah SWT agar anak kita akan bersemangat menimba ilmu dan mampu sedar tanggungjawab dia (anak) sebagai wakil Allah SWT.
Kesedaran tanggungjawab itu bukan sekadar ingat tetapi benar-benar lahir daripada jiwa kita ini.
Ketika kita memegang dan memeluk anak kita dan kita berada di dalam kesedaran melaksanakan tanggungjawab kita ini kerana amanah Allah SWT, maka ada satu aliran kasih sayang bersama pengertian tanpa kata-kata mengalir daripada jiwa kita kepada anak kita melalui tangan kita yang memegangnya dan tubuh yang mendakapinya.
Ia membuatkan anak kita memahami dan merasai sepenuhnya bahawa perginya beliau ke sekolah atau pusat asuhan kerana membantu ayah dan ibunya di dalam melaksanakan tanggungjawab kepada Allah SWT. Keikhlasan dan kerelaan pasti wujud di jiwa anak kita.
Bangunkan kesedaran ini setiap kali kita menghantar anak kita ke sekolah atau pusat asuhan.
Seterusnya yang lain kita serahkan kepada Allah SWT untuk menjaga jiwa dan raga anak kita sepanjang anak kita berada di sekolah dan di pusat asuhan agar sentiasa dituntuni Allah SWT dengan taqwa dan kebaikan.
***
Sejak hari itu, anak saya pergi ke sekolah dengan semangat yang tinggi. Beliau pergi dengan penuh minat dan penuh dengan kerelaan hati. Tidak lagi menangis tidak mahu ditinggalkan. Menunjukkan pemergian beliau ke pusat asuhan itu adalah pemergian yang penuh dengan ikhlas seolah-olah sangat mengerti bahawa ayah dan mama nya sedang melaksanakan tanggungjawab kepada Allah SWT.
Terima kasih Allah SWT kerana memberikan kesedaran kepada kami. Semoga kesedaran ini juga tersebar luas ke dalam jiwa-jiwa ayah dan ibu yang lain.
Popularity: 5% [?]
Tags: anak bertaqwa > anak soleh > anak solehan > masalah anak > mendidik anak > menjaga anak > motivasi remaja > pendidikan kanak-kanak > pusat asuhan
Comments
9 Responses to “Islamic NLP Parenting: Ikhlas Ke Sekolah”
Leave a Reply



November 9th, 2009 @ 9:38 am
Alhamdulillah. Ada orang cakap ilmu ikhlas itu hanya hak Allah shj, adakah betul begitu? Harap saudara Fuad boleh tulis satu artikel berkenaannya. Terima kasih, terima kasih ya Allah.
November 9th, 2009 @ 12:09 pm
Rasa nak menangis baca artikel ini.
Saya selalu tak sehaluan dengan isteri tentang persekolahan anak-anak.
BTW, anak sulung saya baru 7 tahun.
Saya selalu rasa bertanggungjawab untuk memberi anak-anak pengalaman kanak-kanak sepertimana semasa kita kecil-kecil dulu. Tidak dibebankan dengan tekanan. Dapat bermain dan bergaul dengan kawan-kawan.
Manakala, isteri saya pula selalu risau tentang kemampuan pelajaran anak-anak. Sehingga anak kecil yang baru darjah 1, terpaksa ke sekolah kebangsaan, sekolah agama pada petangnya dan tuisyen pula pada malamnya. Aduh… anak ini baru darjah satu.
Saya rasa kedua-dua kami ikhlas dengan pendapat masing-masing. Tetapi entahlah mana yang terbaik, saya pun tak tahu.
November 10th, 2009 @ 10:30 am
Terima kasih Allah di atas ilham yg Engkau berikan untuk Sr. Fuad dan dapat dikongsi bersama.
Hari pertama latihan mengamalkan, hmm masih belum berjaya lagi, semoga Allah permudahkan, ameen.
November 10th, 2009 @ 4:08 pm
[...] ulang cetak dari : http://www.fuadlatip.com Bookmark and Share: sociallist_8af1231c_url = ‘http://blogs.iium.edu.my/asakinah/?p=103′; [...]
November 12th, 2009 @ 12:24 pm
Saya bersyukur kpd Allah…menggerakkan hati saya ke entry saudara fuad yg ini. Setiap hari saya berhadapan dengan masalah anak tak mahu ke tadika ini. Berbagai-bagai cara saya cuba, upahkan ‘jajan’, cara kekerasan, pujukan. Sampaikan habis ikhtiar.
Satu hari saya hilang sabar, saya tinggalkan dia sekejap di stop bas tepi jalan,saya kata ‘klau Amri tak nak pergi sekolah,ibu pun taknak jaga amri’ meraung2 dia… 10 minit saya perhatikan dia dari jauh…2/3 kereta ibu bapa berhenti, sayu hati saya…
Alhamdulillah, doa saya di makbulkan Allah… setiap hari saya minta Ya Allah.. mudahkanlah urusan ku pagi ini…Ya Allah…sesungguhnya aku ini ibu jahil…Berilah petunjuk…
Sekali lagi, Di bukakan hati saya… salah 1 sebab,mungkin keikhlasan tu takde, antaranya klau dia tak sekolah..akan menyusahkan atuk/neneknya di rumah…membazir yuran yg di bayar… Astagfirullah….
November 20th, 2009 @ 11:47 am
Betul tu En Fuad, Terima Kasih Tuhan.. memang kesedaran untuk dekat dengan Tuhan perlu dibina selalu dan perlu disuburkan dgn komunikasi denagn Allah. Ikhlas itu akan Allah berikan kpd mereka yang sedar akan tanggungjawabnya kpd Allah. Tanggungjawab itulah salahsatu ciri-ciri amanah. Amanah adalah salah satu sifat yang wajib kita yakini ada pada para rasul a.s. Bukan sekadar percaya, yakin bahkan wajib kita ikuti. Apabila kita diberi ikhlas oleh Allah, Allah akan sedarkan kita ttg tanggungjawab kita kpdNya dgn mendidik, mengasuh anak kita dgn baik, begitu juga dgn sesiapa saja yg dipertanggungjawabkan kpd kita, samada isteri, anak murid, anak buah, pengikut, pekerja kita, org bawahan kita dsb begitu juga dgn material yg dipertanggungjawabkan kpd kita. Ya allah tingkatkan kesedaran kami Ya Allah untuk sentiasa bertanggungjawab kpd orang-orang atau pun apa saja yang dipertanggungjawabkan kepada kami.
January 8th, 2010 @ 12:39 pm
Salam en. fuad saya sedang menghadapi masalah dengan anak ke dua saya yang tak mau ke sekolah. Dia belajar tahun 2, alasan yang diberikan kakak tidak ada bersamanya di sekolah. Untuk pengetahuan en. fuad semasa beliau tahun 1, akaknya tahun 3 bersekolah sesi petang bersama tapi sekarang kakaknya dah masuk tahun 4 bersekolah sesi pagi dan dia masih sesi petang lagi. saya dah tak tahu apa perlu saya buat. Macam2 cara2 saya dah buat, secara lembut dan kasar. Saya rasa macam tertekan sekarang ni. tolonglah bantu saya.
January 8th, 2010 @ 4:40 pm
Salam,
Jika itu masalahnya, cuba kakak buat-buat mahu ke sekolah sebelah pagi. Pakai baju dan berlakon untuk sekolah sama. Buat permulaan ini, tidak mengapalah berlakon sekejap. Lepas tu nanti dia rasa seronok, inshaAllah dia mahu ke sekolah. Sambil tu mohon Allah ajarkan caranya bagaimana untuk beri semangat kat anak untuk ke sekolah.
January 10th, 2010 @ 10:06 am
saya pening dengan anak saya yang umur 5 tahun, setiap hari cakap tak nak sekolah.sampai sekolah menangis, tapi bila saya tinggalkan dia ok pulak.balik sekolah tanya ok tak sekolah kata dia ok, tapi petang skit dah berubah hati tak nak sekolah.aduh pening saya niiii..