Syawal Dan Keredhaan Suami
25 September 2009 | 2 Komen |
Cetak Artikel
Pada malam 13 september 2009 yang lepas, isteri saya mula berasa sakit untuk melahirkan anak. Dengan jam di tangannya, isteri mengambil masa untuk mengukur masa pengecutan (contraction). Semua persediaan termasuk beg keperluan bersalin memang siap sedia sebulan awal di dalam kereta. Jam 11.30 malam saya membawa isteri ke Hospital Pakar An-Nur di Bandar Baru Bangi.
***
Dipendekkan cerita, ketika waktu bersalin, saya duduk di sebelah isteri saya menuntun isteri untuk berserah kepada Allah SWT. Isteri sememangnya selalu melakukan latihan kembali kepada Allah SWT namun dengan tuntunan, ia lebih memudahkan.
Saya meminta maaf dan meredhakan isteri saya dengan benar-benar ikhlas. Saya memohon kepada Allah SWT jika ditakdirkan isteri saya kembali kepada Allah SWT, Allah SWT akan memasukkan kemana-mana syurga dari mana-mana pintu yang isteri saya inginkan.
Kemudian saya terus menuntun isteri saya untuk benar-benar kembali kepada Allah SWT. Saya telah redhakan beliau, maka tidak perlu lagi fikirkan hal suami dan anak-anak. Serahkan urusan suami dan anak-anak kepada Allah SWT.
“Jangan fikir abang dan kakak. Ingat Allah SWT sahaja.”
Kesakitan yang dirasai jangan ditahan. Jika ditahan, ia pasti akan mendatangkan lebih sakit kerana kita tidak redha, pasrah dan rela menerima kehendak Allah SWT iaitu kesakitan itu. Nikmati sakit yang Allah SWT berikan dengan meredakan ketegangan otot yang menahan sakit.
Saya menuntun isteri untuk berkomunikasi dengan Allah SWT.
“Ya Allah, terima kasih kerana memberi aku rasa sakit ini ya Allah. Ya Allah, aku berasa sakit ya Allah.”
Alhamdulillah, isteri dapat melalui rasa bersalin secara normal dengan baik dan mudah. (anak pertama dahulu bersalin secara cesarean).
***
Pengalaman sakit merupakan satu anugerah daripada Allah SWT. Namun kebiasaan kita menghadapi sakit ini semata-mata hanyalah dengan doa untuk penyembuhan. Ia tidak salah tetapi mulai hari ini, jika kita ditimpa sakit, marilah kita benar-benar menyerahkan diri kepada Allah SWT.
Kita tidak minta untuk dimatikan dan kita tidak pula meminta untuk terus dihidupkan. Kita hanya rela dan pasrah serta berserah dengan ketentuan Allah SWT yang mana terbaik di sisiNya. Yang pasti kita terus menjalankan ketetapan-ketetapan yang Allah SWT gariskan kepada kita sebagai satu kewajipan sebagai khalifah dan hambaNya.
Kita bersedia apa jua kemungkinan yang ditetapkan Allah SWT samada kita akan terus dihidupkan atau dimatikan. Kita bukan berperlakuan pasif dengan berserah. Kita aktif dengan bersedia di atas kehendak Allah SWT.
***
Semoga Ramadhan yang kita telah lalui adalah Ramadhan yang cukup berbeza kerana Ramadhan kali ini kita mempunyai kesedaran yang tertinggi tidak seperti yang lepas-lepas. Kita berada dalam kesedaran kerana kita sentiasa berkomunikasi dengan Allah SWT.
Semoga Syawal kita kali ini juga berbeza dengan syawal yang lepas kerana syawal kali ini adalah kemenangan yang disambut di dalam kesedaran yang tertinggi. Kita benar-benar layak untuk menyambut kemenangan kerana sedikit sebanyak kita sentiasa ingat Allah SWT dan berada dalam kesedaran akan hal Allah SWT. Kita benar-benar kembali kepada fitrah walaupun mungkin belum sekukuhnya namun kita sudah mula mengecapi rasa berada dekat dengan Allah SWT. Rasa ketenangan yang tiada tolok bandingnya.
Semoga saudara semua dapat mengecapi nikmat sebenar kemenangan syawal yang sebenarnya.
Popularity: 12% [?]
Incoming search terms:
- keredhaan suami (1)
Tags: doa lembutkan hati suami isteri > kemenangan > ramadhan > redha > syawal > taqwa






