Blog Ini Menggunakan Hosting 15GB Dengan Harga RM80 Sahaja. Klik Untuk Info Lanjut
Powered by MaxBlogPress  

Jiwa Positif Hidup BerTuhan (JPHBT)

Menyedari dan Merasai Kehambaan Diri dan KeTuhanan Allah SWT Di dalam Kehidupan

Berserah 100%

4 September 2009 | 3 Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Saudara,

Rajah di atas jelas menunjukkan perbezaan berserah 100% berbanding berserah tetapi tidak 100% (Tidak berserah sebenarnya). Tidak berserah 100% akan membuatkan jiwa kita gelisah. Mengapa gelisah? Kerana kita masih ada kehendak.

Berserah = menerima KETENTUAN + mengikut KETETAPAN Allah SWT.

Mari kita lihat contoh di bawah agar mudah memahami makna berserah 100%.

CONTOH 1

Kehilangan wang.

Orang yang berserah 100%
Orang ini tidak langsung gelisah. Kesedihan kehilangan sekejap sahaja kerana beliau menerima ketentuan iaitu segala wang yang dimiliki adalah milik Allah SWT. Kehilangan wang adalah kehendak Allah SWT. Wang milik Allah SWT dan pulang ke Allah SWT. Makanya tidak lagi memikirkan apa-apa (menerima ketentuan). Beliau hanya terus berusaha mencari wang yang lain kerana yakin rezeki yang lain pasti ada untuk dirinya (mengikut ketetapan).

Orang yang berserah tetapi tidak 100% (Kita sahaja fikir sudah berserah tetapi orang seperti ini belum lagi berserah sebenarnya).
Orang ini masih memikirkan wang yang hilang dan kadang-kadang sehingga mengganggu fikirannya. Beliau berdoa pada Allah “Ya Allah, duit aku hilang ya Allah, tolong aku ya Allah. Jumpakanlah semula duit aku ya Allah.” (tidak menerima ketentuan)

Orang ini masih lagi berkehendak atau berharap. Beliau tidak dapat menerima sepenuhnya kehendak Allah SWT iaitu menghilangkan wang beliau. Maka adakah kita katakan orang ini sudah berserah?

Gelisah tersebut mengganggu dirinya sehingga tidak mampu terus melakukan kerja (tidak mengikut ketetapan).  Jika mampu pun, tapi masih gelisah teringatkan wang yang hilang.

Bagaimana mudah untuk mengarahkan jiwa ini berserah?

Baca artikel-artikel di bawah:
1. Redha, pasrah dan berserah

2. Pasrah dan berserah itu meyakinkan.

***

CONTOH 2

Kematian.

Orang yang berserah 100%
Ketika nyawa atau roh berpisah daripada jasad, orang yang berserah 100% hanya mengikut kehendak Allah SWT. Orang begini akan meninggal dunia dengan penuh ketenangan kerana sentiasa berserah di dalam kehidupannya pada Allah SWT (menerima ketentuan kematian). Ketika nyawa/roh meninggalkan jasad, beliau tidak langsung ingat pada dunia ini kerana semuanya (harta benda, suami/isteri, anak dan lain-lain) telah diserahkan kepada Allah SWT (mengikut ketetapan).

Orang yang berserah tetapi tidak 100% (Kita sahaja fikir sudah berserah tetapi orang seperti ini belum lagi berserah sebenarnya).
Orang yang tidak berserah kepada Allah SWT akan sentiasa mengingati harta yang tinggal, suami/isteri, anak, jawatan dan lain-lain (tidak menerima ketentuan). Tarikan keduniaannya masih kuat. Namun tarikan kematian oleh Allah SWT adalah tarikan yang Maha Kuat dan tiada satu makhluk pun dalam dunia ini yang dapat melawan kehendak Allah SWT.

Jika kita tidak redha atau berserah untuk mati ketika nyawa atau roh dicabut dari jasad, maka tarikan Allah SWT dirasa seperti nyawa/roh disentap dari badan. Allah ingin menarik nyawa/roh kita tetapi kita melawan dengan mengikut kehendak kita iaitu tidak mahu mati (tidak mengikut ketetapan).

Bagaimana mudah untuk mengarahkan jiwa ini berserah?
Lakukan latihan kembali kepada Allah SWT agar kita sentiasa bersedia untuk mati bila-bila masa sahaja dengan penuh redha, berserah, pasrah dan rela 100%. Baca artikel berlatih kembali kepada Allah SWT.

***

Perbezaan Berserah dan Ambil Mudah.

Apabila kita ambil mudah, kita akan berasa seolah-olah kita berserah tetapi tidak. Ambil mudah bermakna kita hanya menerima KETENTUAN Allah SWT TETAPI TIDAK mengikut KETETAPAN Allah SWT.

Sebagai contoh. Jika kita ditakdirkan kaya, kita dikatakan ambil mudah jika kita hanya menerima ketentuan kaya TETAPI TIDAK mengikut ketetapan kaya. Apakah ketetapan kaya?

Allah SWT menetapkan mereka yang kaya perlu berzakat, banyakkan derma, bantu anak-anak yatim dan mereka yang miskin. Banyak lagi ketetapan yang Allah tetapkan untuk mereka yang kaya.

Begitu juga dengan yang miskin. Kita menerima ketentuan kemiskinan yang Allah berikan tetapi kita perlu mengikut ketetapan Allah SWT. KetetapanNya adalah kita kena keluar daripada kemiskinan kerana kemiskinan mampu membawa kita kepada kekufuran. Islam melarang umatnya miskin. Jika kita tetap miskin, kita juga mesti tetap terus berusaha dengan sabar dan solat.

Sama juga halnya dengan kepandaian. Jika kita ditakdirkan pandai kita mestilah menerimanya disamping mengikut ketentuan yang ditetapkan Allah ke atas orang yang pandai. Orang yang pandai ditetapkan untuk memberi ilmu kepada orang yang tidak berilmu (zakat ilmu). Orang yang pandai tidak boleh sombong, bongkak, ego, riak, bangga diri dan sebagainya. Inilah ketetapan untuk mereka yang pandai.

Orang yang bodoh juga wajib menerima ketentuan yang dia adalah orang yang bodoh. Dia juga perlu mengikut ketetapan Allah SWT iaitu mestilah menuntut ilmu agar keluar daripada kebodohan.

Jika dia tidak menerima ketentuan dia adalah orang bodoh, dia dikatakan bodoh sombong. Jika dia menerima ketentuan yang dia adalah orang bodoh tetapi tidak mahu mengikut ketetapan Allah SWT, dia akan terus bodoh sehingga bila-bila dan Islam amat melarang keras umatnya menjadi manusia yang bodoh atau jahil. Kerana itu menuntut ilmu itu adalah wajib.

***

Kesimpulan

Berserah itu bersifat aktif kerana sebagai khalifah iaitu wakil Allah SWT, manusia mestilah aktif untuk mentadbir alam ini. Berserah ini menenangkan kerana kita hanya melakukan apa yang terdaya dan segalanya terserah kepada Allah SWT yang Maha Mengkehendaki.

Tarikan atau kehendak Allah SWT adalah kehendak yang Maha Kuat. Tiada satu pun makhluk ciptaan Allah SWT yang mampu melawan tarikan Allah SWT. Jika kita berkehendak berlawanan dengan kehendak Allah SWT, kita tidak mampu berbuat apa-apa melainkan berdoa pada Allah SWT. Namun keputusan yang hak adalah atas keputusan Allah SWT. Kita menerima sahaja kehendak Allah SWT.

Oleh itu setelah kita katakan kita berserah pada Allah SWT, mengapa kita GELISAH memikirkan keputusan Allah SWT yang bakal terjadi? Serahkan sahaja dan kita tidak perlu lagi memikirkannya. Allah SWT Maha Mengetahui yang terbaik untuk diri kita. Makanya kita lakukan apa sahaja ketetapan yang Allah SWT tetapkan pada kita.

Jalanilah kehidupan ini dengan benar-benar berserah 100%. Komunikasi dengan Allah SWT mampu membuatkan kehendak kita mengikut kehendak Allah SWT (berserah) dan seterusnya menghilangkan rasa gelisah di dalam jiwa.

Semua ini perlu dilatih sedikit demi sedikit. Hari demi hari. Berlatihlah dengan latihan-latihan yang saya berikan di dalam laman web ini.

Popularity: 17% [?]

Incoming search terms:

Facebook Comments

  • Bengkel JPHBT

  • Kemaskini di FB JPHBT

  • Artikel Terkini

  • Petikan

    Kita perlu sedar hidup ini adalah mencabar. Hidup ini memang susah. Hidup ini memang banyak masalah. Kesedaran ini membuatkan kita tahu yang diri kita tidak mampu mengharungi hidup ini tanpa bantuan Allah SWT. Jika kita sedar hidup ini susah, pasti kita akan BERSUNGGUH-SUNGGUH mengharapkan bantuan Allah SWT.
    - Fuad Latip -
  • Doa

    Ya Allah, Aku mohon kepadaMu agar Kau catatkan siapa pun yang membaca blog ini, menjadi orang-orang yang Engkau angkat kerajaannya. Engkau ampuni seluruh dosa-dosanya. Engkau buka hati yang tertutup. Engkau lembutkan hati yang keras membatu. Engkau cahayai hati yang gelap gelita. Ya Allah jadikan perkongsian ilmu ini membuatkan sisa umur kami penuh berkah. Terpelihara dari fitnah dan musibah. Amin.
  • Artikel Popular

  • Arkib

  • Popular Keyword