Memiliki Kesedaran Tertinggi #4
5 July 2009 | 1 Komen |
Cetak Artikel
Ilmu itu dipelajari, kemudian difahami agar mudah diingati, kemudian dipraktikkan.
Untuk apa? Agar kita dapat merasai lalu mengukuhkan lagi kesedaran hal mutlak Allah SWT.
Sedar itu perlu dikukuhkan dengan rasa. Rasa sebenar tidak dapat digambarkan dengan penulisan dan pembacaan semata-mata. Rasa sebenar tidak mampu dipindahkan daripada seseorang ke seseorang yang lain.
Kerana itu ilmu perlu dipraktikkan dengan cara yang dipelajari dan difahami.
Jika gagal untuk merasai, pelajari lagi, fahamkan lagi lalu praktikkan semula.
Ulangi proses ini. Pasti kita akan sampai kepada kesedaran yang tertinggi.
Inilah proses pembelajaran baik di mana peringkat pun serta apa jua bidang pun. Sains dan teknologi, sains sosial, pengurusan dan perniagaan, perubatan dan sebagainya yang mana semua ilmu tersebut termasuk di dalam Agama Islam.
***
Memiliki kesedaran tertinggi tidak mampu tercapai jika sekadar banyak belajar, banyak berguru, banyak baca kitab, buku dan artikel dalam blog, banyak firman dan hadith dihafal dan lain-lain seumpamanya.
Memiliki kesedaran tertinggi perlu dipraktikkan. Namun untuk dipraktikkan, perlu belajar, berguru, baca kitab dan buku dan seumpamanya agar apa yang dipraktikkan adalah betul dan mengikut jalan yang lurus. Baru ada rasa untuk dinikmati dan akhirnya sampai ke kemuncak RASA YANG TIADA RASA (benar-benar berada di alam spiritual yang sangat tenang). Benar-benar semuanya ke Allah SWT.
Jika ilmu dipraktikkan dengan jalan yang lurus (manafaat, tidak dimurkai Allah dan tidak sesat) maka pasti kita akan lebih rendah diri dan kuat jiwa ke Allah SWT.
Banyak ilmu tetapi tidak dipraktikkan jauh lebih rendah baiknya berbanding orang yang kurang ilmu tetapi dipraktikkan dengan sepenuhnya sehingga sampai kepada kesedaran yang tertinggi. Yang terbaik banyak ilmu dan dipraktikkan.
Ilmu apa pun juga, belajarlah sehingga memiliki kepada kesedaran yang tertinggi kerana semua ilmu adalah AGAMA dan agama yang benar adalah AGAMA ISLAM. Untuk mengukuhkan kesedaran tertinggi, ilmu mesti dipraktikkan dengan jalan yang lurus.
***
Bagaimana mereka yang membaca laman web ini semakin hari ada peningkatan dalam diri mereka untuk dekat kepada Allah? Kerana mereka belajar, mereka faham dan ingat kemudian mereka praktikkan. Lalu mereka merasai kesannya.
Saudara yang baru membaca artikel di sini juga pasti mampu mencapai kesedaran yang tertinggi. InshaAllah.
Popularity: 3% [?]






