Memiliki Kesedaran Tertinggi #2
19 June 2009 | 1 Komen |
Cetak Artikel
Saudara perlu membaca artikel-artikel di bawah sebelum membaca artikel ini.
1.Kita tidak disarankan berusaha
2.Memiliki kesedaran tertinggi #1
Setiap apa yang saya tulis merupakan persoalan yang mungkin saudara juga fikirkan selama ini. Namun disebabkan kita dididik agar tidak menyuarakan persoalan yang dikatakan “mengarut” lalu kita hanya berdiam diri. Tetapi jauh dilubuk hati kita, ia masih tertanya-tanya.
Saya melihat masalah utama kita adalah memahami makna usaha, redha, pasrah dan berserah. Telah kukuh di fikiran kita bahawa yang dikatakan ‘usaha’ ini difahami sebagai gerakan yang kita lakukan dengan kuasa kita sendiri. Manakala redha, pasrah dan berserah adalah sesuatu yang pasif. Jika seseorang itu redha, pasrah dan berserah, orang itu dikatakan tidak melakukan apa-apa kerja atau usaha. Hanya diam dan tidak melakukan apa-apa.
Kesalahfahaman yang bertahun lamanya tertanam di fikiran kita membuatkan kita makin jauh dengan Allah SWT. Kita tidak menyedari secara tidak langsung kita menafikan hak muklak Allah ke atas diri kita. Kita tidak menyedari bahawa yang dikatakan ‘usaha’ itu adalah berkomunikasi (berdoa) dengan sabar dan bersolat. Yang lain itu adalah hak mutlak Allah.
Kita tersalah faham dengan memahami bahawa mereka yang rajin berusaha sehingga menjadi kaya raya adalah kerana ‘usaha’ mereka sendiri. TIDAK! ia adalah aturan Allah SWT. Dengan mata kasar kita, kita melihat mereka yang berusaha sedangkan Allah yang menggerakkan mereka.
Jika kita faham bahawa ‘usaha’ yang kita lakukan adalah hanya mengikut aturan Allah, maka sudah pasti kita akan berkomunikasi (berdoa) dengan sabar dan solat kerana hanya berdoa dan solat dengan bersungguh-sungguh (khusyuk) dengan yakin mampu mengubah qada’ dan qadar Allah SWT.
Urusan ‘usaha’ adalah hak Allah. Jika Allah makbulkan permintaan kita, Allah pasti menggerakkan kita (yang kita kenali sebagai ‘usaha’) untuk melakukan apa yang kita mohon.
Maka pasrah, redha dan berserah bukan sesuatu yang pasif. Ia adalah AKTIF. Kita perlu bekomunikasi setiap saat. Memohon kepada Allah, berdoa, meminta izin, meminta pilihan yang terbaik di sisi Allah dan sebagainya.
Sekiranya kita berasa malas, apakah kita ingin memberi alasan bahawa “Allah telah takdirkan dan aturkan aku malas“? Kita perlu mengubah diri kita kerana kita diberi pilihan untuk melakukan perubahan. Bagaimana? Memohon pada Allah untuk meminta menjadi rajin.
“Ya Allah, aku berasa malas sangat hari ini ya Allah. Tapi aku tahu aku kena rajin untuk cari rezeki ya Allah. Tapi memang aku rasa malas sangat-sangat ya Allah. Ya Allah, aku perlukan rezeki ya Allah. Maka aku perlu rajin ya Allah. Ya Allah, gerakkanlah seluruh diri aku supaya rajin ya Allah. Gerakkkan ye ya Allah. Terima kasih ya Allah. Terima kasih”.
***
Ketika saudara bernafas, adakah saudara berusaha untuk bernafas? Apakah proses pernafasan saudara merupakan satu usaha saudara untuk menggerakkannya?
Jika saudara lihat dari kesedaran biasa kita, maka pernafasan itu adalah usaha kita. Makan itu usaha kita. Bekerja itu usaha kita dan sebagainya.
Namun jika dilihat daripada kesedaran tertinggi, jika pernafasan merupakan usaha saudara, saudara perlu melakukan sekurang-kurangnya dua usaha iaitu menarik nafas dan menghembus nafas. Hakikatnya bukan sekadar tarik dan hembus bukan? Proses pernafasan yang begitu rumit tidak mampu dijalankan atas usaha kita.
Lalu usaha siapakah sebenarnya yang mengaturkan proses pernafasan kita ini? Allah SWT mengaturkan proses pernafasan kita, bukan kita. Kita tidak ada daya dan upaya untuk melakukannya. KITA HANYA RELA DINAFASKAN.
Kita hanya pasrah, redha dan berserah dengan ketentuan yang Allah telah tetapkan untuk kita. Kita bernafas atas kehendak Allah SWT.
Jika Allah tidak mahu memberi kita bernafas, kita tidak terdaya untuk memaksa Allah memberikan kita bernafas atau kita berusaha bernafas sendiri.
Apa yang kita mampu adalah berkomunikasi dengan Allah, meminta agar Allah terus memberi kita bernafas. Apabila Allah izinkan kita bernafas, maka pasti Allah akan menggerakkan kita untuk bernafas. Bernafas inilah yang kita lihat seolah-olah ‘usaha’ kita sedangkan ia adalah aturan Allah.
***
Selagi kita memikirkan sesuatu TIDAK dengan kesedaran yang tertinggi, maka kita masih terikat dengan tafsiran ‘usaha’ yang biasa dibahaskan.
Al-Quran diturunkan untuk semua tahap manusia. Ia berbeza-beza mengikut peristiwa di mana setiap ayat Al-Quran akan diwahyukan setelah sesuatu peristiwa itu berlaku.
Jika surah Alam Nasyrah ayat 7-8 dijadikan ukuran untuk kita berusaha, bagaimana pula dengan satu ayat Al-Quran di bawah:
“maka bukanlah kamu Yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah Yang menyebabkan pembunuhan mereka. dan bukanlah Engkau (Wahai Muhammad) Yang melempar ketika Engkau melempar, akan tetapi Allah jualah Yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang Yang beriman Dengan pengurniaan Yang baik (kemenangan) daripadanya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”
(QS: Al-Anfal 18:7)
Jika dilihat dengan kesedaran biasa, kita akan berkata Rasulullah SAW yang berusaha tetapi Allah SWT menegaskan bahawa bukan sebenarnya Rasulullah SAW berusaha di dalam penglemparan yang dinyatakan. Tetapi Allah SWT yang mengaturkan semuanya. Adakah ketika itu sahabat-sahabat Rasullullah SAW melihat Allah SWT yang melempar? TIDAK!!.
Allah SWT yang mengaturkan pembunuhan itu dan lemparan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah atas kehendak Allah SWT. Kita melihat seolah-olah Rasulullah yang berusaha melakukan lemparan tetapi hakikatnya adalah Allah SWT yang mengaturkan. Inilah kesedaran tertinggi di mana sebenarnya kita hanya pasrah dengan ketentuan Allah.
Ini bermakna ada tahap kesedaran yang perlu kita bangunkan. Ingatlah bahawa kita sedang membincangkan tahap kesedaran yang tertinggi. Bukan tahap kesedaran biasa.
Kesedaran serba Allah tidak mampu di dalil dengan ayat Alam Nasyrah tersebut. Bukannya salah namun kurang tepat. Keadaan manusia itu berbeza-beza. Sebagai contohnya, dalam keadaan sekarang yang aman damai, maka tidak sesuailah kalau kita menggunakan ayat atau hadith-hadith perang. Lebih baik menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith kasih sayang.
Namun hakikat tetap hakikat bahawa setiap semua yang ada di bumi dan di langit dan di antaranya adalah mengikut aturan Allah SWT. Allah mengaturkan agar kita berfikir, maka kita akan berfikir. Allah mengaturkan agar kita berasa suka, maka kita akan berasa suka. Allah mengaturkan agar kita makan, maka kita makan. Allah mengaturkan kita bekerja, maka kita bekerja. Allah mengaturkan kita berkahwin, maka kita berkahwin. Allah mengaturkan kita bersolat, maka kita bersolat.
Kita tiada daya apa pun termasuklah untuk ber’usaha’ seperti pengertian yang kita fahami. Usaha ini adalah kuasa Allah yang menggerakkan segala tubuh badan kita. Yang mampu adalah hanya pasrah dan berserah.
Mungkin agak sukar untuk diterima dan penuh dengan persoalan di jiwa saudara. Namun dengan kesedaran yang tertinggi, pasti saudara mampu memahami dengan baik.
***
Kembali semula kepada kesedaran biasa kita (bukan kesedaran yang tertinggi), lalu apakah kita tidak berusaha? Mana mungkin kita tidak berusaha. Gerakan yang diaturkan Allah itu adalah gerakan yang kita kenali sebagai usaha kita (jika kita berfikir dengan kesedaran biasa kita). Tetapi kita berusaha atas kehendak Allah.
Allah yang membuatkan kita berusaha. Pasti Allah menggerakkan kita dan geraknya kita itulah kita kenali selama ini dengan nama ‘usaha’ pada tahap kesedaran biasa kita. Mana mungkin seorang khalifah di muka bumi yang menjalankan segala kehendak Allah SWT tidak berusaha.
Khalifah bermakna wakil Allah. Kita merupakan wakil Allah di dalam mentadbir alam ini. Allah mentadbir Allah ini melalui diri kita sebagai wakilNya. Kerana itu kita dikatakan lebih mulai daripada Malaikat dan Iblis.
Sebagai soerang khalifah atau wakil Allah, Allah pasti menggerakkan diri kita kerana mana mungkin Allah tidak akan menggerakkan diri kita (yang dikenali sebagai usaha) di dalam mentadbir alam ini. Khalifah Allah mestilah aktif dan bergerak (usaha) di dalam mentadbir alam ini.
Tetapi kita tidak boleh melakukan segala-galanya mengikut kehendak kita kerana segala gerakan kita merupakan gerakan atas kehendak Allah SWT. Namun Allah juga tidak menzalimi diri kita dengan melakukan perkara-perkara buruk dan mempunyai sifat-sifat yang buruk.
Jika Allah memberi gerakan kepada kita untuk melakukan keburukan, Allah juga memberi kita peluang untuk membuat pilihan melakukan kebaikan. Allah berikan qada’ dan qadar baik dan buruk kepada kita. sebagai ujian Allah kepada khalifahNya.
Oleh itu kita wajib berdoa dengan sabar dan bersolat agar Allah menggerakkan kita untuk melakukan kebaikan di muka bumi ini dan mendapat balasannya di akhirat nanti. Kita mohon pilihan yang terbaik di sisi Allah untuk kita (memohon membuat pilihan yang terbaik di sisi Allah telah banyak saya tuliskan di dalam artikel sebelum ini).
Kita mengubah diri kita dengan doa yang sabar dan bersolat. Jika kita tidak berdoa dengan sabar dan bersolat, Allah tetap terus dengan kehendakNya dan tidak mengubah qada’ dan qadar yang diberikan kepada kita.
[note] Hanya Qada’ mu’allaq (takdir yang tertulis di Lauh Mahfuz) yang boleh diubah. Qada’ Mubram (takdir yang pasti) tidak boleh.
Lakukan KOMUNIKASI, berdoa, sabar dan bersolat. Kita hanya pasrah, berserah dan redha dengan kehendak, aturan dan segala perancangan Allah SWT.
Di kala kita ada masalah, berserah sahaja pada Allah. Kita berdoa dengan yakin….full stop.
Kita berdoa dan berkomunikasi pada Allah:
“Ya Allah, aku ada masalah ya Allah. Aku ini lemah ya Allah tak mampu nak selesaikan masalah aku ya Allah. Aku ini bodoh ya Allah. Ya Allah, aku memohon kepadaMu untuk selesaikan masalah aku ya Allah. (jelaskan masalah pada Allah. Jelaskan apa yang kita inginkan pada Allah)“.
“Ya Allah, aku tidak tahu nak pilih pilihan-pilihan yang ada ya Allah. Tunjukkan aku ya Allah.”
“Ya Allah, aku tidak tahu samada perkara ini baik atau tidak untuk dilakukan ya Allah. Tunjukkan aku ya Allah samada aku perlu lakukan atau tidak ya Allah. Engkau yang menggerakkan seluruh tubuhkan ya Allah. Jika baik ya Allah, Engkau gerakkan tubuhku untuk melakukannya ya Allah. Jika tidak, hindari perkara itu daripadaku ya Allah”.
“Ya Allah, aku tidak mahu melakukan perkara itu ya Allah, ya Allah lakukanlah sesuatu agar aku terhindar untuk melakukan perkara itu ya Allah. Terima kasih Allah, terima kasih.
***
Jika saudara masih melihat kita perlu berusaha di mana ia bermakna Allah SWT tidak berkuasa mutlak ke atas kita, di sini saya ingin memberi pilihan iaitu
Pilihan 1
Kalau kita memilih bahawa Allah MUTLAK dalam berkuasa ke atas kita dan segala benda yang ada di muka bumi dan di langit serta di antaranya, bermakna kita tidak ada daya dan upaya apa pun. Maka seterusnya adalah kita bergerak dan berusaha mengikuti kehendak Allah. Kita bekerja, cari duit, jadi kaya, belajar, baca laman web, baca blog dan sebagainya semuanya adalah mengikut kehendak Allah SWT.
Pilihan 2
Kalau kita masih ada usaha, masih ada kekuatan disamping kekuatan Allah maka ini bermakna Allah SWT tidak mempunyai kuasa mutlak ke atas diri kita. Maka jangan meninggalkan Allah dan mohonlah redhaNya atas usaha-usaha yang kita lakukan (atas kehendak kita tadi, bukan kehendak Allah). Saya percaya akhirnya saudara akan sedari bahawa saudara akan perlahan-lahan kembali kepada kepercayaan dengan kukuh bahawasanya Allah berkuasa MUTLAK ke atas saudara.
***
Saya telah bawakan satu perkara di mana kita membincangkan satu perkara iaitu ‘berusaha’ dan memandangnya dari pandangan kesedaran yang tertinggi. Saya percaya saudara semua telah memahami dan menyedarinya.
Selama ini kita jarang diajarkan oleh guru-guru kita untuk melihat sesuatu dari sudut kesedaran tertinggi. Sebab itu apabila kita disarankan untuk melihat dari sudut kesedaran yang tertinggi, kita jadi keliru, terasa tidak betul, salah faham dan sebagainya.
Semoga kita semua mampu memandang perkara lain di dalam kehidupan kita ini dengan kesedaran yang tertinggi untuk memastikan jiwa positif dan hidup bertuhan yang sebenarnya.
Wallahualam. Terima kasih Allah. Terima kasih semua.
Popularity: 7% [?]






