Latihan Kematian
11 June 2009 | 6 Komen |
Cetak Artikel
Saya dimasukkan ke Hospital Colombia-Asia di Bandar Puteri Puchong 10 dan 11 jun 2009 kerana masalah batu karang (Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana menyembuhkannya). Serangan sakit yang amat sangat berlaku sekitar jam 1.30pg rabu (10/6) sehingga membuatkan saya tidak mampu berdiri kerana menahan kesakitan.
Ketika awal sakit, saya mempunyai wudhuk kerana ketika itu saya mahu mengerjakan solat tahajud setelah terbangun daripada tidur kerana terasa sakit tetapi masih sedikit rasanya.
Di dalam keadaan kesakitan yang teramat sangat, saya bersyukur kerana mampu bersolat tahajud dan taubat. Bukanlah kerana saya hebat tetapi kerana saya benar-benar berserah dengan banyak berkomunikasi dengan Allah ketika solat. (Saudara juga pasti mampu lakukan jika selalu berkomunikasi dengan Allah).
Saya dapat bertahan daripada sakit ketika solat kerana banyak berkomunikasi dengan Allah di dalam solat tersebut (tahajud dan taubat). TETAPI minit-minit terawal, ia terlalu sukar untuk menahan sakit. Sangat sukar untuk mengingati Allah dengan benar-benar berserah kerana kita jarang berasa sakit yang keterlaluan.
***
Ingat Allah adalah berbeza dengan berserah benar-benar pada Allah. Ketika berserah, diri berasa benar-benar bersedia untuk berjumpa Allah. TETAPI IA TERLALU AMAT SUKAR untuk saya lakukan ketika itu. Setelah beberapa minit barulah saya mampu berserah kepada Allah namun ia masih goyang.
Saya terlalu bimbang dengan hal ini. Saya menganggap ia sebagai sebuah LATIHAN KEMATIAN buat diri saya. Saya belum berjaya dengan sebaiknya untuk bersedia dengan KEMATIAN.
Ketika kematian sebenar, kita bukan sahaja berasa sangat sakit tetapi ketika itu pelbagai dugaan daripada SYAITAN akan datang. Dugaan yang kita tidak pernah hadapi sebelum ini akan muncul bertalu-talu dalam keadaan diri yang sangat sakit. MAMPUKAH KITA BERSERAH PADA ALLAH KETIKA ITU?
Bagaimana kita ingin berserah pada Allah ketika sakaratul maut datang sedangkan dalam keadaan kita senang lenang pun kita susah untuk mengingati Allah apatah lagi berserah pada Allah? Mampukah kita berserah kepada Allah sedangkan biasanya ketika kita berasa kesakitan yang teramat, diri kita lebih tertumpu pada sakit yang kita alami.
Jika pun kita mengingati Allah dengan menyebut Allah…Allah…ketika kesakitan, namun adakah ketika itu jiwa kita benar-benar berserah pada Allah dan bersedia untuk kembali kepada Allah? Bersedia meninggalkan harta, keluarga, anak, isteri/suami dan segala-galanya? Bersediakah kita dengan bekalan untuk kita bawa mengadap Allah?
Saya bersyukur kerana sesungguhnya kesakitan semalam membuatkan saya tahu tahap diri saya di dalam penyerahan diri pada Allah. Ia merupakan satu LATIHAN KEMATIAN buat diri saya dan saya masih BELUM BERJAYA 100%.
“Ya Allah, aku memohon kepadaMu ya Allah agar Kau tingkatkanlah kepasrahan dan penyerahan jiwa dan ragaku kepada diriMu ya Allah agar diriku benar-benar bersedia berjumpa denganMu ya Allah. Ya Allah, sesungguhnya aku amat takut dengan keadaan di saat-saat akhir hidupku dan aku amat bimbang nafasku yang terakhir ya Allah. Ampuni aku ya Allah, rahmatilah aku ya Allah, cukupkanlah aku ya Allah, angkatlah darjatku ya Allah, tunjuki aku jalan yang lurus ya Allah dan maafkanlah aku ya Allah. Terima kasih Allah, terima kasih.”
Terima kasih isteri (Dr. Norliza), Anak (Durrotun), Kak Laila (kakak), Abg Zahrin (abg ipar), Ana (anak saudara), Dina (anak saudara), Aliyah (anak saudara), Muadz (anak saudara), PM Dr. Hadzli (Timb. Dekan FKE UiTM) dan isteri kerana bersama-sama menyambut hari jadi saya yang ke-32 di Hospital. Terima kasih dengan hadiah, kek dan pizza.
Saya masih bersyukur dengan umur yang begini tua, Allah masih memberikan kesempatan kepada saya untuk memperbaiki diri agar lebih pasrah dan berserah dengan sebenar-benarnya setelah LATIHAN KEMATIAN yang Allah berikan, tidak dapat saya capai dengan TERBAIK.
Semoga perjalanan spritual dengan memiliki jiwa yang benar-benar berserah sentiasa akan meningkat dari hari ke hari. Amin. Terima kasih Allah. Terima kasih.
Popularity: 3% [?]







