Islamic NLP for Parenting: Mengetahui Sikap Utama Anak
29 June 2009 | 2 Komen |
Cetak Artikel
Tidak dapat dinafikan, pendidikan anak-anak zaman teknologi pesat membangun ini merupakan satu hal yang amat mencabar. Ini kerana peluang anak-anak untuk mengakses dunia luar (yang banyak kesannya) tidak mampu dihalang lagi dengan adanya teknologi serba canggih yang memberi banyak pintu pengaksesan dunia luar.
Ibu bapa yang dilahirkan dan belajar di zaman teknologi yang tidak semaju hari ini menambahkan lagi cabaran di dalam membesarkan anak-anak yang lahir dan belajar pada zaman ini. Ibu bapa perlu aktif di dalam memiliki ilmu bagi mendidik anak-anak disamping tidak menyekat anak-anak berkembang dengan ilmu teknologi yang moden ini.
Di dalam pendidikan anak-anak, perkara yang terpenting yang perlu diberikan penekanan sudah pasti adalah pendidikan jiwa mereka. Nasihat Luqman Al-Hakim:
Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAQWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.
Kita membaca banyak artikel dan buku-buku mendidik anak-anak. Kita juga banyak mendengar syarahan dan ceramah berkenaan dengan pendidikan anak-anak. Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana banyak memberikan kita ilmu di dalam pendidikan anak-anak.
Di dalam Islamic NLP for Parenting, saya lebih suka menerangkan praktikal di dalam melaksanakan sesuatu perkara. Dengan penerangan praktikal bagaimana mahu melakukan sesuatu itu, saudara lebih mudah menyesuaikannya dengan hal yang saudara tempuhi.
Sikap Utama Anak
Di dalam pendidikan anak-anak, perkara utama yang perlu kita ketahui adalah sikap utama anak-anak. Terdapat hanya dua sikap manusia iaitu menjauhi (away) dan mendekati (toward). Dengan kefahaman dua sikap ini, maka mudahlah kita memberikan saranan atau nasihat serta tunjuk ajar kepada anak-anak kita.
Menjauhi (Away) dan Mendekati (Toward)
Sikap menjauhi bermakna, anak-anak kita akan mengikut arahan jika akibat daripada arahan itu berkaitan dengan orang lain dan juga berbentuk ancaman. Manakala sikap mendekati adalah sesuatu arahan itu mempunyai akibat berbentuk ganjaran dan untuk diri anak itu sendiri.
Untuk memahami, saya berikan satu contoh:
Kita meminta anak kita belajar atau membaca buku. Kita boleh mengenalpasti samaada mereka mempunyai sikap utama iaitu menjauhi atau mendekati dengan melihat arahan yang mana mudah untuk mereka turuti.
Arahan mendekati (toward)
“kakak…jom baca buku nak. Nanti kalau kakak rajin baca buku, kakak jadi budak pandai. Kakak boleh jadi doktor. Ubat ayah, ubat mama, ubat adik, umat semua orang. Jom baca nak.”
Arahan menjauhi (away)
“kakak…jom baca buku nak. Semua orang baca buku. Ayah baca buku, mama baca buku, kak long baca buku, nenek pun baca buku. Seronokkan baca buku sama-sama. Mari sini..duduk dengan ayah dan mama. Kita baca buku nak. Kalau kakak tak baca buku, kakak tak pandailah. Nanti damiya, tasya, fatini semua jadi pandai. Kakak je tak pandai. Jom baca buku jom…”
Daripada contoh di atas, arahan mendekati membawa akibat kepada diri anak sendiri. Jika anak membaca buku, dia akan jadi pandai dan boleh jadi doktor. Akibat daripada membaca buku adalah suatu ganjaran untuk dirinya.
Manakala arahan menjauhi membawa akibat kepada diri orang lain. Maksudnya, anak membaca buku sebab ayah dan mama membaca buku. Maka anak ingin membaca buku disebabkan beliau ingin sama-sama baca buku seperti orang lain. Sebab orang lain beliau nak baca buku.
Akibat daripada tidak membaca buku adalah suatu ancaman di mana mereka akan berasa diri mereka tidak sama dengan ayah, mama dan kawan-kawan lain ketika itu di mana ketika semua orang membaca buku, diri dia sahaja tidak membaca buku. Lalu dia berasakan perlunya dia membaca buku untuk berada sama-sama dengan orang lain.
Ancaman kedua adalah jika mereka tidak membaca buku, maka mereka akan jadi budak yang tidak pandai tidak seperti rakan-rakan mereka yang dikatakan pandai. Ia merupakan akibat yang pasti tidak dapat diterima oleh anak-anak kerana mereka sentiasa ingin rasa lebih baik daripada kawan-kawan.
Walaupun kita tidak mahu mereka melakukan sesuatu kerana orang lain, namun untuk menggerakkan anak-anak untuk melakukan sesuatu pada awalnya, tidaklah menjadi masalah jika mereka melakukan kerana orang lain. Ini kerana akhirnya mereka sendiri yang mendapat manafaat seperti contoh membaca buku. Walaupun membaca buku kerana orang lain, bukankah mereka juga akhirnya menerima ilmu dan mendapat manafaat hasil pembacaan mereka?
Bagaimana Mengetahui Sikap Utama Anak
Kita boleh mengetahui sikap utama anak-anak dengan melihat maklumbalas ketika memberikan arahan. Maklumbalas tidak semestinya dalam bentuk percakapan tetapi juga dalam bentuk kelakuan. Cubalah berikan dua jenis arahan seperti yang saya huraikan di atas dan lihat arahan mana yang mudah untuk diikuti.
Tidak dapat dinafikan, tidak semua anak-anak akan memberikan maklumbalas walaupun kedua-dua jenis arahan di atas diberikan. Namun tidak semestinya satu jenis arahan saja diberikan dalam satu masa. Saudara semua boleh menggabungkan kedua-dua jenis arahan menjauhi dan mendekati.
kakak…jom baca buku nak. Nanti kalau kakak rajin baca buku, kakak jadi budak pandai. Kakak boleh jadi doktor. Ubat ayah, ubat mama, ubat adik, umat semua orang. Jom baca nak. Semua orang baca buku. Ayah baca buku, mama baca buku, kak long baca buku, nenek pun baca buku. Seronokkan baca buku sama-sama. Mari sini..duduk dengan ayah dan mama. Kita baca buku nak.“
Juga tidak dapat dinafikan, arahan di atas hanya berkesan kepada peringkat umur tertentu. Namun, di dalam artikel ini, saya ingin membawakan sikap utama yang perlu diketahui agar mudah di dalam memberikan nasihat dan saranan kepada anak-anak kita.
Dari segi aturan ayat untuk menasihati atau memberi arahan, saudara perlulah melihat tahap umur anak-anak saudara. Anak-anak remaja mungkin lebih suka kepada ganjaran yang berupa fizikal berbanding ganjaran yang tidak nampak seperti menjadi pandai dan sebagainya.
Dua Jenis Perintah Allah SWT
Sedari atau pun tidak, Allah SWT memberi perintah kepada hambaNya dengan perintah berbentuk mendekati dan menjauhi. Allah SWT memberikan perintah dengan akibatnya berbentuk ganjaran iaitu syurga dan segala kenikmatan. Allah SWT juga memberikan perintah dengan akibatnya berbentuk ancaman iaitu neraka dan segala azab.
Walaupun pada dasarnya, Allah SWT ingin kita melakukan segala perintahNya hanyalah kerana Allah SWT, bukannya kerana ganjaran dan ancaman Allah SWT, tetapi fitrah manusia itu yang mempunyai dua sikap utama iaitu menjauhi dan mendekati, maka Allah SWT terangkan akibat-akibat daripada perbuatan samada kita ikut perintah Allah SWT atau mengingkarinya.
Berdasarkan kepada bentuk perintah yang Allah SWT berikan di dalam Al-Quran, kita bukan sekadar memahami isi Al-Quran tetapi kita juga melihat bagaimana cara Allah SWT mendidik kita melalui ayat-ayat Al-Quran di mana Al-Quran memandu diri kita di dalam membentuk jiwa yang positif dan hidup bertuhan.
Kesimpulan
Dengan mengetahui dua bentuk didikan yang Allah SWT ajarkan kepada kita, maka gunakanlah di dalam kita mendidik anak-anak kita. Mendidik anak-anak memerlukan kesabaran dan sudah pasti kesabaran itu adalah pemberian Allah SWT. Komunikasilah dengan Allah SWT agar jiwa kita sentiasa diilhamkan dengan kesabaran dan semangat yang tiada putusnya di dalam mendidik anak-anak.
Saya akan cuba menulis artikel Islamic NLP for parenting yang lain dan saudara akan dapat melihat dan memahami dengan lebih jelas betapa pentingnya mengetahui sikap utama ini. Doakan agar saya diilhamkan oleh Allah SWT dengan idea-idea penulisan yang dapat memberikan manafaat kepada kita semua.
[note] Saudara juga boleh mengetahui sikap utama selain daripada anak-anak saudara iaitu pasangan saudara suami/isteri, bos, kawan-kawan, keluarga, pelajar dan sebagainya.
Popularity: 13% [?]
Tags: didik anak cara islam > ilmu keibubapaan > islamic NLP for parenting > mendidik anak > parenting > spiritual parenting
Comments
2 Responses to “Islamic NLP for Parenting: Mengetahui Sikap Utama Anak”
Leave a Reply




June 30th, 2009 @ 8:17 pm
thanks fuad…. bagus tulisan nie… didoakan fuad dapat ilham tulis banyak2 lagi tentang parenting, sampaikan salam buat liza dari kami di leeds
July 6th, 2009 @ 9:22 pm
En Fuad, adakah pihak saudara memiliki buku “membuka Ruang Spritual” tulisan yusdeka putra. Daripada tulisan saudara terdapat beberapa persamaan kandungannya seperti dalam buku “berguru dengan ALLAH” tulisan Abu Sangkan.