Blog Ini Menggunakan Hosting 15GB Dengan Harga RM80 Sahaja. Klik Untuk Info Lanjut
Powered by MaxBlogPress  

Jiwa Positif Hidup BerTuhan (JPHBT)

Menyedari KeTuhanan Allah SWT dan Kehambaan Diri Di dalam Setiap Detik Kehidupan

Bagaimana

17 June 2009 | 5 Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

FacebookGoogle GmailYahoo MailWordPressTwittermore

Bersyukurlah dengan apa yang ada.
Bagaimana hendak berasa syukur?
Rasa tidak bersyukur bukan sesuatu yang dibuat-buat.
Ia hadir sendiri dari dalam jiwa.

Berpuashatilah dengan segala apa yang kita miliki.
Bagaimana hendak berasa berpuashati?
Rasa tidak puashati datang sendiri dalam jiwa.

Bersabarlah dengan segala ujian Allah SWT.
Bagaimana ingin bersabar?
Jiwa memang sedih, kecewa dan sebagainya dengan apa yang berlaku.

Untuk berjaya, kamu kena kuat berusaha. Kamu kena rajin.
Bagaimana untuk kuat berusaha sedangkan kita memang malas?

Kalau kamu malas, kamu kena banyak solat, kamu kena banyak baca Al-Quran.
Bagaimana nak solat kalau memang malas?
Bagaimana nak baca Al-Quran kalau memang malas?

Bertaubatlah untuk bersihkan hati.
Bagaimana nak bertaubat kalau memang malas nak bertaubat?

Kalau kamu marah, kamu pergi ambil wudhuk dan solat.
Bagaimana dalam keadaan marah, kita nak pergi ambil wudhuk dan solat untuk hilangkan marah?
Memang kita rasa nak marah.

Cukuplah beberapa perkara saya sebutkan di dalam artikel ini walaupun sebenarnya terlalu banyak lagi kita diarahkan oleh rakan-rakan dan juga pakar-pakar pemantapan diri di dalam mengatasi masalah kita.

Kita seringkali diminta oleh rakan-rakan mahupun pakar-pakar di dalam bidang pemantapan diri untuk melakukan sesuatu yang pada asasnya memang susah untuk dilakukan. Kita seringkali disarankan untuk melakukan sesuatu yang saya panggil sebagai ‘High Level Suggestion’ atau cadangan bagi mereka yang sudah benar-benar mempunyai kesedaran.

Apabila kita memberi respon ke atas saranan seperti saya berikan di atas, pasti kita pula akan dikata seorang yang banyak dalih tapi tidak buat-buat. Kita akan diberikan pula dengan ayat “hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih”. Sedangkan apa yang kita nyatakan adalah sememangnya apa yang ada di jiwa kita.

Kita memerlukan saranan-saranan “Low Level Suggestion”. Kadang-kadang kita terasa terlalu bosan dan penat mendengar saranan-saranan “bersabarlah, bersyukurlah, tabahkan hati” dan sebagainya. Ini adalah kenyataan ramai di antara kita berasakan sedemikian.

Kita jarang diberitahu “bagaimana” untuk benar-benar menyelesaikan masalah kita. Sebagai contoh, di dalam keadaan seseorang sedang sedih kerana kematian orang yang dikasihi, kita hanya memberikan saranan “bersabarlah”.

Kita tidak tahu sebenarnya saranan itu lebih menyakitkan kerana kita memberikan saranan bersabar tetapi bagaimana? Penerima saranan pasti akan lebih tertekan dengan saranan itu kerana ramai yang menasihati beliau agar bersabar tetapi “bagaimana” nya terpaksa beliau fikirkan sendiri.

***

“High Level Suggestion” adalah saranan untuk fikiran. Ia bukan saranan untuk jiwa. Maka ia sesuai untuk mereka yang sudah benar-benar mantap jiwanya. Lalu bagaimana dengan kita orang kebanyakan di mana jiwanya masih berbolak balik kekuatannya? Kita memerlukan saranan di peringkat jiwa.

Saudara,

Di dalam menyelesaikan masalah jiwa ini, kita perlu kembali kepada Allah. Untuk berada dekat dengan Allah, kita perlu BERKOMUNIKASI dengan Allah dan minta pada Allah.

Bagaimana hendak berkomunikasi kalau kita malas?

Beritahu pada Allah yang kita malas berkomunikasi. Bukankah ia juga merupakan komunikasi.

“Ya Allah, aku malaslah nak berkomunikasi denganMu ya Allah”. Ini juga satu komunikasi. Kita tidak kurang ajar dengan Allah tetapi kita meluahkan apa yang kita rasa pada Allah.

Apa yang terlintas di fikiran, yang kita nampak, yang kita dengar, yang kita rasa dan sebagainya, cakapkanlah dengan Allah SWT.

Masalah kita pada hari ini kerana kita terlalu menjaga apa yang kita ucapkan pada Allah sedangkan JIKA KITA TIDAK UCAPKAN PUN, IA JUGA ADA DALAM FIKIRAN KITA. Dan Allah mengetahuinya.

Sejak kecil kita diajar supaya jangan ucapkan sebarang kata dengan Allah untuk mengelakkan kurang ajar. Lalu kita pun berjaga-jaga kata-kata kita sedangkan di dalam fikiran kita pelbagai perkara kita ingin katakan pada Allah.

Kita terlupa bahawa walaupun sesuatu yang kita tidak katakan pada Allah dalam bentuk kata-kata, Allah tetap akan tahu apa yang kita fikirkan malah Allah tahu apa yang akan kita fikirkan.

Saya yakin dan amat-amat yakin semua orang mengetahui kita perlu bersyukur, bersabar, rajin, wajib mengikut perintah Allah dan sebagainya, namun ia terasa sukar untuk dilakukan bukan?

Maka mintalah pada Allah dan minta itu juga merupakan satu komunikasi.

Ya Allah, aku tahu aku perlu bersyukur kepadaMu ya Allah. Tapi aku tak boleh nak rasa bersyukur ya Allah. Bantulah aku ya Allah. Berikan rasa syukur itu dalam jiwaku ya Allah.”

Ya Allah, aku kehilangan orang yang aku sayang ya Allah. Aku sedih ya Allah. Aku rasa kehilangan ya Allah. Aku rasa hidup aku tidak ada apa ertinya lagi ya Allah. Sukarnya hidup aku ni ya Allah. Sabarkanlah aku ya Allah” luahkan segala-galanya. Jika kita tidak meminta apa-apa pun tidak mengapa yang penting adalah komunikasi dengan Allah.

Ya Allah aku malaslah ya Allah. Malaslah aku buat kerja ni ya Allah. Tapi kerja ni kena siapkan hari ini ya Allah. Berilah aku rajin ya Allah. Berilah ya Allah. Terima kasih Allah. Terima kasih.”

***

Jika kita menasihati seseorang beritahulah dengan jelas. Sebagai contoh; ketika sahabat kita dalam keadaan sedih,

“Sabarlah, cuba minta pada Allah supaya bersabar. Cakap je pada Allah apa yang ko fikirkan. Luahkan je apa benda sekali pun dalam fikiran ko. Ko cakap je macam ni,

“Ya Allah, berilah aku sabar ya Allah. Aku sedih sangat ni ya Allah. …….” sambungkanlah mengikut keadaan sahabat saudara itu.

Saranan harus jelas dan ajarkan bagaimana untuk lakukan. Berikan contoh.

Jika tidak, berdiam, senyum dan berkomunikasilah dengan Allah (memohon agar sahabat kita diberikan kesabaran) ketika bersalam dengan kawan yang sedih adalah lebih baik daripada berkata pada sahabat “sabarlah” atau “bersyukurlah dengan apa yang ada” dan sebagainya.

Jika kita memberikan ceramah motivasi, jelaskan saranan. Jangan hanya beritahu saranan-saranan yang sebenarnya semua orang tahu.

Elakkan memberikan ceramah motivasi begini:
“Kita kena bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita kena rasa cukup. Kalau kita tak rasa cukup, kita akan mengeluh, akan rasa tertekan dan sebagainya”.

“Kita tidak boleh rasa marah. Kita kena buang rasa marah.”

Elakkan juga saranan-saranan yang “High Level Suggestion” kerana saranan-saranan tersebut akan menambahkan kesukaran untuk kita lakukan.

Contoh: Bersyukurlah dengan apa yang ada. Untuk rasa bersyukur, cuba kita fikirkan apa yang kita miliki. Kita ni bernasib baik daripada orang lain. Banyak dah kita ada.”

Ini merupakan “high level suggestion” di mana ia mempunyai tahap keberkesanan yang rendah jika disarankan kepada mereka yang sukar untuk bersyukur. Mulut mengatakan syukur namun bagaimana dengan jiwa?

Jelaskan dengan sejelas-jelasnya “bagaimana”. Berikan contoh-contoh.

Kerana itu saudara akan lihat di dalam laman web ini akan disertakan contoh-contoh agar memudahkan pemahaman pembaca. Jelas dan mudah dilakukan.

***

Saudara,

Hanya Allah yang boleh membuatkan kita bersabar, bersyukur, rajin, berpuashati dan sebagainya. Lalu saranan kita perlu sampai ke “Low Level Suggestion” ketika kita memberikan saranan kepada mereka yang mempunyai masalah. Ajar mereka untuk sentiasa berkomunikasi dengan Allah.

Bagi mereka yang tidak pernah lakukan, lakukanlah dan lihatlah kesannya di mana kita akan sentiasa ingat Allah setiap masa. Jika tidak mahu lakukan pun, cakaplah pada Allah “Ya Allah aku malas nak lakukan apa yang Fuad kata ni ya Allah. Macamlah betul sangat apa yang dia kata ni. Dia bukan hebat pun. Buat apa nak komunikasi-komunikasi.

Jika kita sering berkomunikasi, dikala kita dilanda masalah, pasti kita tidak teringat sesiapa pun kecuali Allah untuk mengadu dan meminta pertolongan. Kemudian barulah ilham-ilham datang untuk kita menyelesaikan masalah kita samada perlu meminta pertolongan orang lain atau tidak.

Pepatah ada mengatakan:
Seharusnya masa yang terbaik untuk kita melakukan kebaikan adalah sejak dahulu lagi. Namun jika kita tidak melakukannya lagi, masa yang terbaik adalah SEKARANG.

Mulalah berkomunikasilah dengan Allah sekarang.

[Note]: Saya ke UiTM Dungun bermula 18 – 21 Jun 2009.

Incoming search terms:

Facebook Comments

  • FB GROUP JPHBT

  • JPHBT di Android Phone

  • Artikel Terkini

  • Petikan

    Kasih sayang & cinta itu adalah 'gain'. Kita hanya memilikinya setelah kita memberinya. Sayangilah keluarga & sahabat kita, barulah mereka akan menyayangi kita.
    - Fuad Latip -
  • Doa

    Ya Allah, Aku mohon kepadaMu agar Kau catatkan siapa pun yang membaca blog ini, menjadi orang-orang yang Engkau angkat kerajaannya. Engkau ampuni seluruh dosa-dosanya. Engkau buka hati yang tertutup. Engkau lembutkan hati yang keras membatu. Engkau cahayai hati yang gelap gelita. Ya Allah jadikan perkongsian ilmu ini membuatkan sisa umur kami penuh berkah. Terpelihara dari fitnah dan musibah. Amin.
  • Arkib

  • Popular Keyword