Pemantapan Jiwa #1
7 May 2009 | 3 Komen |
Cetak Artikel
Adakah jiwa kita benar-benar sudah mencintai Allah? Adakah benar-benar mampu menyerahkan 100% segala apa jua perkara kepada Allah SWT? Sejauh mana keyakinan kita untuk kebergantungan dengan Allah SWT?
Bagaimana pula dengan jiwa keluarga kita? Suami atau isteri kita?
Adakah jiwa anak-anak kita sudah mantap cintanya pada Allah ketika berumur 10 tahun? Adakah kita berusaha memantapkan jiwa anak-anak kita ini untuk berasa cintakan Allah ketika umur anak-anak kita berada di bawah 10 tahun? Kenapa saya katakan 10 tahun? Akan dijelaskan di dalam artikel ini nanti.
Masalah moral pada hari ini bukan kerana umat islam tidak bersolat. Bukan kerana jarang membaca Al-Quran. Bukan itu menjadi masalah dasarnya. Masalah dasarnya adalah kerana masalah jiwa atau dikatakan juga masalah tauhid. Sesetengahnya menggunakan istilah masalah ma’rifat iaitu perasaan dan perasaan yang paling tinggi adalah perasaan cinta dan cinta yang paling agung adalah cinta pada Allah SWT.
Jika masalah jiwa ini diselesaikan, semua masalah akan selesai. Jiwa cintakan Allah SWT, penyerahan 100% pada Allah SWT, sentiasa ingatkan Allah SWT akan menyelesaikan masalah tidak bersolat, tidak membaca Al-Quran, masalah sahsiah diri, masalah sosial, masalah akademik, masalah hubungan kekeluargaan dan segala jenis masalah yang kita hadapi ketika ini.
Apabila jiwa sudah mantap mencintai Allah, pasti tidak ada masalah dengan solat, sosial, akademik, hubungan kekeluargaan dan sebagainya. Segala apa jua masalah terus dapat diselesaikan.
Masalah Jiwa
Masalah umat islam pada hari ini tidak boleh diselesaikan dengan pendekatan selepas 10 tahun Kenabian Nabi Muhammad SAW. Apakah cara penyelesaian selepas 10 tahun kenabian Rasullullah?
Iaitu kita seringkali meminta anak-anak kita atau umat islam yang bermasalah untuk bersolat. Sedangkan masalah dasarnya masih tidak diselesaikan. Kerana itu masalah terus tidak dapat diselesaikan.
Tanyalah pada diri kita sendiri tentang solat. Apakah tujuan solat yang kita dirikan? Sila baca artikel saya yang bertajuk “solat untuk apa“.
Kita bersolat kerana ada sesuatu keinginan. Apakah ia salah? Tidak! Namun seharusnya ia TIDAK dijadikan sebab yang utama kita bersolat. Namun kebanyakan kita, kita bersolat kerana ada permintaan. Solat kita lebih khusyuk di dalam keadaan kita benar-benar inginkan sesuatu.
Ketika kita sakit, kita khusyuk dan permintaan kita adalah sangat-sangat. Begitu juga ketika ingin naik pangkat, ingin lulus peperiksaan, ketika masalah besar menimpa dan sebagainya.
Kerana itu solat itu tiada kesannya di dalam kehidupan kita ini. Kita hidup berTuhan Yang Esa tetapi kita masih banyak masalah tentang jiwa.
Berapa ramai yang kuat ibadahnya tetapi perangainya tetap sama. Mengapa kita bersolat tetapi kita tetap tidak berubah? Kerana kita bukan bersolat kerana semata-mata cintakan Allah.
Marilah kita fikirkan kembali mengapa walaupun Allah menganugerahkan pelbagai rezeki kepada kita atas berkat doa kita namun jiwa kita masih tidak tenang, masih resah gelisah, masih tidak sejahtera dan bahagia sepanjang masa.
Rahsia Penyelesaian Masalah Dari Sejarah Kehidupan Nabi Muhammad SAW
Nabi Muhammad SAW menerima wahyu daripada Allah ketika berumur 40 tahun. Sebelum itu, Nabi dididik jiwa dan hatinya oleh Allah sebelum benar-benar sesuai masanya untuk menerima wahyu.
Berapa tahunkah Nabi memerlukan masa untuk menguatkan jiwa umat islam untuk meyakini dan mencintai Allah dan Rasul ketika itu? Nabi memerlukan 10 – 11 tahun untuk menguatkan jiwa umat islam yang terawal ketika itu.
Selepas itu barulah Allah memerintahkan umat islam untuk mendirikan solat (peristiwa isra’ dan mikraj). Perintah solat diturunkan oleh Allah setelah 10 – 11 tahun selepas kenabian Nabi.
Masalah umat islam pada hari ini adalah bukan dilihat selepas diturunkan perintah solat itu tetapi perlu dilihat bermula daripada permulaan wahyu diturunkan. Ini bermakna umat islam pada hari ini perlu dimantapkan jiwanya.
Masalah jiwa yang tidak yakin pada Allah 100%, yang tidak cintakan Allah dan RasulNya menjadi MASALAH DASAR yang perlu dilihat oleh kita semua.
Mengapa anak kita perlu dirotan jika tidak bersolat ketika umur 10 tahun? Adakah Nabi berkata sedemikian tanpa ada sebabnya?
Ini kerana 10 tahun adalah masa untuk mendidik jiwa anak-anak sebelum benar-benar bersedia untuk bersolat. 10 tahun diperlukan untuk mendidik jiwa anak-anak kita sepertimana Nabi mendidik umat islam awal (memerlukan 10 tahun untuk memantapkan akidah atau tauhid mereka).
Lalu apakah kita mendidik jiwa anak-anak kita ketika mereka berada di bawah 10 tahun?
Sebab itu jika kita benar-benar mendidik jiwa mereka, mereka tidak ada masalah lagi untuk bersolat tanpa paksaan, tanpa sebab tetapi hanya kerana cintakan Allah dan Rasul ketika umur mereka 10 tahun.
CINTA TIDAK PERLU BERSEBAB
Kerana itu tidak hairanlah masalah sosial terus melanda walaupun pelbagai pendekatan diambil. Kita tidak mantapkan jiwa kita serta keluarga kita.
Blog Jiwa Positif dan Hidup BerTuhan adalah tempat saya berdakwah untuk mengajak semua pembaca agar menyedari sebenarnya jiwa kita masih lemah. Blog ini juga memberikan jalan penyelesaiannya kerana jika kita sekadar bercakap masalah tetapi tidak ada jalan penyelesaiannya, kita tidak akan ke mana-mana.
Kita perlu wujudkan rasa CINTA yang tiada berbelah bahagi kepada Allah dan Rasul kita kerana tidak ada rasa CINTA kepada Allah dan Rasul adalah masalah dasar kepada umat islam hari ini.
Bagaimana caranya? Bagaimana jalan penyelesaian untuk memantapkan jiwa?
Ayuh marilah kita sama-sama banyakkan ingat Allah, komunikasi dengan Allah kerana komunikasi adalah faktor kuasa cinta dan cinta yang paling agung adalah menyintai Allah dan rasul kita. Dengan komunikasi, cinta akan terjalin dan terus akan berada di puncak cinta.
InshaAllah akan disambung lagi di artikel yang akan datang.
Popularity: 3% [?]






