Kasih Sayang Seorang Ayah
25 May 2009 | 12 Komen |
Cetak Artikel
Nur Durrotun Nasihah tidak ke sekolah (nursery) hari ini. Beliau demam. Kesihatan beliau telah menyebabkan saya (ayah) tidak dapat pergi ke UiTM Pulau Pinang hari ini atas urusan kerja. Saya seharusnya ada di UiTM Pulau Pinang pada 25 – 27 Mei ini untuk memberi kursus kepada staff UiTM PP berkaitan dengan Outcomes Based Education (OBE). Kita merancang dan Allah juga merancang. Allah telah menetap dan mengatur segalanya.
Isteri pula agak sukar untuk mendapat cuti setelah bertukar kerja tahun lalu dari Universiti Multimedia, Cyberjaya ke MIMOS. Cara pengiraan cutinya berlainan sekali.
Sebenarnya saya perlu pergi ke UiTM bersama Timbalan Dekan Akademik. Saya bersyukur mempunyai seorang timbalan dekan yang memahami. Beliau juga sebenar salah seorang “Professor Akhirat” saya. Beliau banyak ilmu tentang Jiwa Positif dan Hidup berTuhan (JPHBT). Banyak juga artikel yang saya kongsikan di sini hasil perbincangan saya dengan beliau tentang JPHBT.
***
Kasih sayang seorang ayah. Saya menulis artikel ini kerana saya yakin pasti ramai ayah yang berada di luar sana sibuk dengan kerja. Alasan yang biasa diberi adalah “kerja yang dilakukan ini juga untuk keluarga”.
Dahulu saya seorang yang ‘gila’ kerja. Datang ke pejabat seawal pukul 5.00 pagi dan akan pulang di antara pukul 11.00 malam – 1.00 pagi. Kini saya tidak sanggup melakukannya kerana saya sedar saya mempunyai anak dan isteri.
Saudara,
Yakinlah bahawa anak dan isteri tidak mahukan ditabur dengan wang ringgit tetapi mereka memerlukan kasih sayang. Namun bukanlah mereka menolak wang ringgit tetapi cukuplah sekadar keperluan yang diperlukan (kecuali terpaksa kerja lebih demi menyara keluarga).
Kasih sayang seorang ayah merupakan sesuatu yang amat berharga. Masa sekarang tidak sama dengan masa akan datang. Kasih sayang yang tidak dapat diberi sekarang akan terus berlalu dan ia tidak sama di masa akan datang.
Walaupun bekerja merupakan satu tanggungjawab tetapi masa bersama keluarga juga merupakan satu tanggungjawab. Jika kerja yang dilakukan untuk menambahkan lagi harta dan wang ringgit, ingatlah semua harta dan wang ringgit tersebut hanya akan dapat digunakan di masa kemudiannya. Ia tidak dapat menggantikan kasih sayang yang telah hilang di masa sekarang.
***
Saya sangat berharap agar di sisa umur yang masih ada ini, saya dapat memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak dan isteri. Atas nama Allah, ia juga merupakan satu tanggungjawab besar buat diri saya sebagai seorang ayah.
Mudah-mudahan Durrotun cepat sembuh dan wajah cerianya dan tutur kata yang menghiburkan sentiasa dirindui.
Popularity: 15% [?]






