Blog Ini Menggunakan Hosting 15GB Dengan Harga RM80 Sahaja. Klik Untuk Info Lanjut
Powered by MaxBlogPress  

Jiwa Positif Hidup BerTuhan (JPHBT)

Menyedari KeTuhanan Allah SWT dan Kehambaan Diri Di dalam Setiap Detik Kehidupan

Bermulanya PhD: “Prof. Dunia” & “Prof. Akhirat”

19 May 2009 | 5 Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Share/Bookmark

[note] Artikel ini bukanlah untuk bermegah dengan diri saya. Saya ingin menceritakan betapa bermaknanya hidup saya setelah saya mencari 2 jenis professor untuk membantu saya menyedari dan merasai kepentingan Allah di dalam kehidupan. Semoga saudara juga memiliki 2 jenis professor yang dimaksudkan di dalam artikel kali ini.

***

3 tahun saya sentiasa berdoa pada Allah untuk memberikan petunjuk masa yang sesuai untuk saya menyambung pelajaran di peringkat PhD. Saya tahu PhD sesuatu yang sukar tetapi juga bukanlah sesuatu yang mustahil.

Saya memerlukan pertolongan Allah di dalam memberikan PhD bukan sekadar PhD tetapi lebih daripada itu. Saya mahu PhD mampu membantu saya untuk mengenali diri saya di dalam saya mengenali Allah dan merasai nikmat menyintai Allah SWT.

Permohonan PhD tahun 2006, 2007 dan 2008 Allah menetapkan bahawa saya bukanlah orang yang terpilih untuk melakukan PhD. Saya terlepas tarikh akhir menghantar proposal PhD. Jika difikirkan saya tidak langsung mengambil iktibar kesilapan yang berulang di mana 3 kali melakukan kesilapan yang sama. Tetapi semua ini adalah aturan kerja Allah SWT.

Alhamdulillah Allah sentiasa memberikan ketenangan dan tiada perasaan kecewa apabila peluang sudah terlepas. Saya fikir semuanya adalah kerana hasil doa saya.

“Ya Allah, Tuhan yang Maha Memiliki Ilmu, Tuhan yang Maha Besar, Tuhan yang Maha Memiliki semua yang berada di langit dan dibumi serta di antaranya. Aku memohon kepadaMu ya Allah untuk melanjutkan pelajaranku ke peringkat PhD ya Allah. Seandainya PhD ini membuatkan aku lebih dekat denganMU ya Allah, seandainya PhD ini membuatkan aku merasa lebih kehambaan, PhD ini menghancurkan segala rasa kemegahanku, kehebatanku dan segalanya ya Allah, maka tunjukkan aku masa yang sesuai untuk aku menyambung pelajaranku ke peringkat PhD ya Allah. Kau permudahkanlah segala urusan PhDku ya Allah.

Seandainya PhD membuatkan aku lebih jauh denganMu ya Allah, PhD menghancurkan cintaku padaMu ya Allah, PhD menambahkan bongkak, sombong, megah diri, rasa hebat dan sebagainya ya Allah, maka kau buangkanlah niat melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD ini dalam hatiku ya Allah. Terima kasih ya Allah, terima kasih.”

Alhamdulillah, pada 20 jun 2009 ini, saya akan mendaftar sebagai pelajar PhD di UiTM Shah Alam. Inilah takdir Allah SWT yang mengkehendaki saya menyambung pelajaran di peringkat PhD tahun ini.

Sarjana Muda dan Sarjana di Universiti Malaya dan biarlah PhD di UiTM. Faktor isteri yang tidak boleh mendapatkan cuti tanpa gaji apatah lagi bergaji telah mentakdirkan saya hanya buat di Malaysia. Namun saya bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Allah melalui UiTM. Terima kasih Allah. Terima kasih.

Professor Dunia dan Professor Akhirat
Sejak beberapa tahun sebelum ini saya mencari dua jenis professor untuk PhD saya. Seorang saya gelarkan sebagai Professor Dunia yang akan menjadi supervisor saya di dalam mencari rahsia ilmu Allah.  Professor Dunia perlu ada kelulusan sekurang-kurangnya PhD.

Beliau mestilah mampu menunjukkan saya jalan yang terbaik di sepanjang perjalanan PhD saya. Ilmunya banyak dan berani di dalam membuat keputusan. Saya berharap beliau merupakan supervisor yang benar-benar bekerja untuk Allah.

Alhamdulillah saya memilikinya. Walaupun muda berumur 35 tahun, saya senang dengan beliau. Allah memberikan sesuatu yang terbaik kepada saya. Maha Besar Allah yang memberikan hambaNya yang sentiasa dekat denganNya.

***

Kedua saya gelarkan sebagai Professor Akhirat. Professor Akhirat tidak semestinya mempunyai kelulusan yang tinggi. Tetapi mereka ini banyak ilmu agama yang diamalkan. Professor Akhirat adalah orang yang tidak pernah bangga dengan apa yang dimilikinya. Dia sedar apa yang dimilikinya bukan miliknya.

Saya mempunyai banyak Professor Akhirat. Mereka cukup rendah diri, tenang, sejahtera dan berjiwa positif di dalam hidup bertuhan. Merekalah yang banyak mengajar saya untuk menyedari dan merasai kepentingan Allah di dalam kehidupan yang banyak saya kongsikan di sini.

Mereka tidak pernah sombong dengan ilmu yang mereka ada. Namun untuk mendapatkan ilmu mereka, saya perlu berusaha untuk mendapatkannya. Mereka tidak mendabik dada untuk menceritakan itu dan ini kerana mereka hanya bercerita kepada sesiapa yang mendampingi mereka.

Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana menemukan kepada saya beberapa orang Professor Akhirat. Mereka hanya berkerja sebagai penoreh getah, orang-orang kampung yang hidup susah, tukang sapu hinggalah kepada profesional, mereka merupakan Professor Akhirat tempat rujukan saya di dalam meneruskan perjalanan hidup berTuhan ini.

Mereka amat tenang di dalam kehidupan mereka. Kerana itu saya suka mendampingi mereka. Belajar dan mencari ilmu mereka memerlukan kesabaran kerana mereka mengajar dengan amalan. Bukan teori semata-mata. Mereka tidak kaya harta walaupun mereka golongan profesional tetapi mereka kaya ilmu kerohanian. Mereka hidup penuh dengan kesederhanaan.

Merekalah yang mengajar saya erti sebenar JIWA POSITIF DAN HIDUP BERTUHAN.

Saudara,

Walau sehebat mana pun kita, kita mesti mencari professor akhirat ini. Cari dan dampingi mereka. Jangan bermegah dengan jawatan, kuasa, rupa, harta dan sebagainya yang kita ada. Jangan sesekali berasa diri kita sudah cukup sempurna amalannya.

Mereka ada dekat dengan kita. Disebabkan mereka ini merupakan orang yang sentiasa rasa apa yang mereka miliki bukanlah milik mereka, mereka kelihatan seperti tiada apa-apa pada pandangan kita. Namun sebenarnya di sebalik rendah diri mereka, mereka merupakan manusia yang sangat dekat dengan Allah.

Jika sebelum ini kita jahil dan kini nampak jalan yang terang, ia cuma baru permulaan. Rendahkan hati, buangkan segala kesombongan, riak, takabur dengan apa yang kita ada untuk terus mencari dan mendampingi professor akhirat ini. JANGAN DI KALA KITA BARU SAHAJA NAMPAK JALAN YANG TERANG dan kita mula disanjung kerana perubahan kita ini,  kita mula menjadi sebutan ramai kerana kita berubah dari kejahilan kita, kita sudah berasa segala-galanya sudah mencukupi buat kita.

***

Saya memohon maaf untuk masa lalu, kini dan masa akan datang di atas kelemahan diri saya di dalam penulisan saya. Saya mengharapkan kemaafan saudara semua akan memberkati ilmu yang saya perolehi daripada Allah sepanjang pengajian PhD saya nanti.

Ingatlah Allah setiap masa dengan berkomunikasi dengan Allah. Hanya dekat dengan Allah, hidup kita akan bahagia. Tiada cara lain lagi untuk mendapatkan kebahagiaan melainkan dekat dengan Allah. Ini adalah hakikat yang tidak boleh disanggah.

Semoga kejayaan dunia dan akhirat adalah milik kita semua.

Incoming search terms:

Facebook Comments

  • Bengkel JPHBT

  • JPHBT di Android Phone

  • RSS FB JPHBT

  • Kemaskini di FB JPHBT

  • Artikel Terkini

  • Petikan

    Allah SWT sentiasa mencintai kita. Namun untuk kita merasai cinta AllahSWT hanyalah dengan satu cara iaitu kita mesti mencintaiNya. Rasa cinta itu hanya mampu kita miliki apabila kita juga menyintai.
    - Fuad Latip -
  • Doa

    Ya Allah, Aku mohon kepadaMu agar Kau catatkan siapa pun yang membaca blog ini, menjadi orang-orang yang Engkau angkat kerajaannya. Engkau ampuni seluruh dosa-dosanya. Engkau buka hati yang tertutup. Engkau lembutkan hati yang keras membatu. Engkau cahayai hati yang gelap gelita. Ya Allah jadikan perkongsian ilmu ini membuatkan sisa umur kami penuh berkah. Terpelihara dari fitnah dan musibah. Amin.
  • Arkib

  • Popular Keyword