3 Sebab Kekayaan
26 May 2009 | 5 Komen |
Cetak Artikel
Kekayaan dunia merupakan impian setiap manusia. Jika ditanya pada saya samada mahukah kekayaan dunia atau tidak, dengan jujur saya mahukannya. Namun saya juga mahukan kekayaan akhirat. Jika perlu dipilih salah satu, pastinya kita mahukan kekayaan akhirat yang kekal selama-lamanya.
Kekayaan yang ingin saya bincangkan kali ini bukanlah sekadar kaya harta benda, tetapi segala kenikmatan yang Allah berikan kepada kita hari ini. Kita perlu tahu 3 jenis kekayaan atau kenikmatan yang Allah SWT berikan kepada kita agar kita tidak terleka.
Ujian yang paling hebat adalah ujian kekayaan dan kesenangan memiliki nikmat yang Allah SWT berikan. Di kala kita kaya dan senang kita sering lupakan Allah. Tetapi kita akan sangat dekat dengan Allah di kala kita susah, sakit dan mempunyai masalah.
Kekayaan dan kenikmatan adalah Anugerah Allah SWT
Kita inginkan kekayaan dan kenikmatan jenis yang pertama ini. Ia merupakan anugerah Allah SWT untuk hambaNya yang sentiasa mempunyai rasa cinta padaNya. Apabila kita cintakan Allah SWT, inshaAllah kita akan memiliki apa yang kita inginkan sebelum kita meminta pada Allah. Apatah lagi jika kita memohon dengan penuh kejiwaan (bersungguh-sungguh) pada Allah.
Analoginya mudah. Seandainya saya merupakan orang yang paling kaya dan cinta isteri saya kepada saya tidak pernah rendah tahapnya, pasti sebelum beliau meminta sesuatu saya akan membelinya cukup sekadar beliau mengatakan beliau suka sesuatu barang.
Cthnya, sedang berjalan-jalan, beliau sukakan sebuah jam tangan. Cukup sekadar beliau kata, “cantiklah jam tangan tu”, pasti saya akan terus berkata “ok, ambillah, abang akan bayarkan”. Saya mampu berkata sedemikian kerana saya merupakan orang yang kaya (cth sahaja). Isteri saya pula adalah orang yang saya cintai kerana beliau sangat mencintai saya dan cintanya adalah kerana saya adalah saya bukan apa yang ada pada diri saya.
Begitulah Allah SWT apabila kita hambaNya sentiasa mengingati dan menyintai Allah. Kita mengikut segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Allah Maha Mengetahui, maka baru sahaja terdetik di hati kita inginkan sesuatu, Allah awal-awal lagi telah memberikannya.
InshaAllah setiap apa yang kita pohon akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Jika tidak sekarang, tetapi pasti suatu hari nanti akan dimakbulkan oleh Allah SWT juga akhirnya.
Kekayaan dan kenikmatan adalah Ujian Allah SWT
Kekayaan dan kenikmatan jenis ini biasanya diberi kepada mereka yang beribadat kerana inginkan sesuatu. Allah SWT tidak menzalimi hambaNya dengan memberikan segala apa yang diminta oleh hambaNya. Namun seringkali pemberian Allah SWT kepada mereka ini adalah merupakan ujian.
Ujiannya adalah samada mereka ini melupakan Allah SWT setelah mendapat segala apa yang dihajati atau semakin bersyukur dan menyintai Allah.
Ramai di antara kita berada di dalam golongan yang kedua ini dan seringkali tewas. Seringkali kita akan bermunajat pada Allah jika kita mempunyai hajat atau juga mempunyai masalah yang besar terutamanya sakit. Kita akan bersungguh-sungguh meminta belas kasihan Allah SWT. Kita berdoa siang dan malam mengingati Allah ketika kita memohon sesuatu dari Allah SWT.
Setelah menerima apa yang kita hajatkan, seringkali kita lupa kembali pada Allah. Inilah ujian Allah ingin melihat sejauh mana sebenarnya hambaNya itu bermunajat padaNya keranaNya bukan kerana ingin hajatnya dimakbulkan oleh Allah semata-mata.
Kekayaan dan kenikmatan adalah Bala Allah SWT
Seringkali kita melihat mereka yang lupakan Allah, solatnya entah ke mana, sikap, pakaiannya dan sebagainya tidak langsung mengikut seperti yang Allah perintahkan, namun rezekinya amat murah sekali. Mereka terus melakukan maksiat tetapi Allah tetap terus memberikan rezekiNya.
Mereka lupakan Allah tetapi Allah menaikkan pangkat mereka sehingga ke jawatan-jawatan yang tinggi dengan gaji yang sangat lumayan. Mereka sentiasa melanggar perintah Allah namun jarang sekali mendapat sakit. Mereka sentiasa berada di dalam kesenangan walaupun tidak langsung mengingati Allah dan sering kali melanggar perintah Allah.
Inilah kekayaan dan kenikmatan Allah yang merupakan BALA daripada Allah SWT. Mereka terus dilupakan Allah dengan dunia mereka sendiri. Hati mereka ditutupkan oleh Allah SWT dengan kekayaan dan kenikmatan yang mereka miliki. Mereka berfikir bahawa segala kekayaan dan kenikmatan yang mereka perolehi adalah kerana hasil usaha mereka sendiri. Tidak langsung terlintas di fikiran mereka bahawa segala-galanya adalah datangnya daripada Allah SWT.
Di Universiti tempat saya bekerja, seringkali saya mengingatkan kawan-kawan yang membuat penyelidikan. Hasil penyelidikan, kertas seminar, jurnal dan sebagainya dicapai adalah kerana izin Allah.
Jangan sesekali mendabik dada megah dan terlalu bangga sehingga merasakan diri sendiri terlalu hebat berbanding orang lain. Jangan sesekali merasakan segala ilmu yang diperolehi adalah semata-mata kerana usaha sendiri.
Seharusnya apabila kita mencapai kejayaan dengan penemuan-penemuan baru ilmu Allah SWT ,kita akan lebih tunduk dan patuh pada Allah SWT. Selain Allah SWT menunjukkan kehebatan dan kekuasaannya ke atas penemuan baru yang dijumpai oleh penyelidik, Allah SWT juga ingin menyampaikan mesej bahawa segala-galanya itu merupakan aturan yang telah Allah SWT tetapkan.
sebenarnya segala-galanya telah ada di dalam Al-Quran dan segala penemuan bukanlah ilmu yang baru. Ia hanya satu penemuan baru yang diterjemahkan atau dengan kata lain, ilmu tersebut baru dapat dirungkaikan oleh manusia.
Moga-moga kita, keluarga dan sahabat-sahabat tidak termasuk di dalam golongan yang melupai Allah seperti golongan ini.
***
Inilah 3 jenis kekayaan dan kenikmatan yang seharusnya kita sentiasa berhati-hati apabila menerimanya. Apabila kita menerima sesuatu daripada Allah SWT, tanyalah Allah samada ia merupakan anugerah, ujian atau bala yang Allah berikan kepada kita. Kita bimbang jika kekayaan dan kenikmatan itu sebenarnya bala untuk diri kita.
“Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberikan aku rezeki ya Allah. Engkau makbulkan apa yang aku minta yang Allah. Ya Allah, seandainya apa yang Engkau berikan ini bukannya anugerah ya Allah, maka aku lebih rela tidak memilikinya ya Allah tetapi ya Allah jika ia merupakan anugerah ya Allah, aku menerimanya dengan penuh kesyukuran. Jadikan diriku sentiasa berasa dekat dan cinta kepadaMu ya Allah. Berikan sesuatu yang terbaik di sisiMu ya Allah kerana setiap yang terbaik di sisiMu pasti merupakan sesuatu yang terbaik buat diriku. Amin ya Allah ya Rabbal alamin”
Popularity: 10% [?]
Incoming search terms:
- kekayaan (14)
- kekayaan sesuatu anugerah allah (3)
- HARTA BENDA (2)
- hidup kekayaan (1)
- kenikmatan yang allah berikan (1)
- ujian kekayaan (1)






