Pilihan
19 March 2009 | 4 Komen |
Cetak Artikel
Saya pernah menulis berkenaan dengan memilih sesuatu di artikel sebelum ini tetapi bercampur dengan tajuk yang lain. Hari ini saya ingin berkongsi dengan ilmu saya yang tak seberapa ini tentang melakukan pilihan di dalam hidup kita.
Hidup kita ini penuh dengan pilihan. Bermula dari awal pagi lagi kita sudah perlu memilih. Ingin bangun tidur awal atau lambat sedikit, pukul berapa nak bangun, nak mandi guna air sejuk atau panas, nak pakai baju apa, nak makan dulu atau terus pergi kerja, pergi ke pejabat ikut jalan mana dan seterusnya. Kita akan sentiasa melakukan pilihan.
Pilihan ini adalah Qada’-Qada’ atau takdir-takdir yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Setiap Qada’ itu ada Qadar-Qadarnya yang kita tidak ketahui.
Dahulu saya merupakan manusia sombong di dalam membuat pilihan. Saya memilih semua pilihan di dalam hidup saya sendirian. Bagi saya pilihan yang ada adalah pilihan-pilihan yang kecil di mana saya tidak memerlukan pertolongan Allah untuk memilih.
Untuk memilih baju yang mana satu harus dipakai di pagi hari adalah tidak perlu bertanya kepada Allah kerana ia merupakan pilihan yang kecil. Ini yang saya fikirkan beberapa tahun lepas.
Tetapi saya tersilap besar. Saya mula menyedari bahawa sebenarnya setiap pilihan yang saya buat, saya seharusnya bertanyakan kepada Allah SWT terlebih dahulu. Tidak kira perkara besar atau kecil. Kerana apa? Kerana saya tidak mengetahui apakah Qadar yang telah ditentukan Allah untuk setiap Qada’ yang diberi olehNya.
***
Saudara,
Seringkali kesilapan kita adalah memilih sesuatu pilihan itu dahulu dan kemudian barulah kita memohon kepada Allah agar pilihan yang kita lakukan merupakan pilihan yang terbaik. Walaupun Qadar untuk sesuatu Qada’ itu boleh diubah tetapi adalah lebih baik jika kita mengetahui pilihan yang terbaik di sisi Allah dari awal lagi sebelum membuat pilihan.
Seharusnya kita memohon kepada Allah dahulu sebelum membuat pilihan. Kemudian barulah memilih dan berdoa agar apa yang kita pilih itu merupakan yang terbaik di sisi Allah yang diberikan melalui ilham atau gerak hati kita yang dikurniakan Allah sebelum kita membuat pilihan.
Usaha dan bertawakal perlu ditukarkan kepada Bertawakal, berusaha dan bertawakal.
***
Saudara,
Hidup ini penuh dengan pilihan. Allah memberikan banyak Qada-Qada’Nya kepada kita untuk dipilih. Allah tidak menzalimi manusia dengan menetapkan sesuatu Qada’ atau takdir ke atas kita. Segala Qada’ atau takdir itu adalah pilihan kita sendiri. Dan disebabkan kelemahan kita sebagai manusia, kita tidak mampu mengetahui Qadar-Qadar yang ada pada setiap Qada’-Qada’ yang disediakan oleh Allah itu, maka kita memerlukan pertolongan Allah.
Sejauh mana kita meminta pertolongan daripada Allah untuk makan lauk apa hari ini? Kepada suri rumah, adakah puan-puan memohon kepada Allah lauk apakah yang terbaik untuk dimasak hari ini untuk dimakan oleh suami dan anak-anak?
Sesungguhnya hanya Allah yang mengetahui pilihan yang terbaik di sisiNya dan setiap yang terbaik di sisi Allah pasti terbaik untuk diri kita.
***
Contoh lain yang besar adalah membuat pilihan di dalam impian kita. Saya pernah menulis katakan impian kita ingin menjadi jutawan. Pernahkah kita bertanya kepada Allah terlebih dahulu samada jutawan itu merupakan sesuatu terbaik untuk kita atau tidak? Pada pandangan kita, dengan menjadi jutawan ia akan mendatangkan kebaikan untuk kita sedangkan MUNGKIN ia tidak terbaik di sisi Allah. Mungkin kita akan jadi manusia lupa diri ketika kita menjadi jutawan. Mungkin kita sombong dengan manusia dan juga sombong dengan Allah jika kita menjadi jutawan.
Tetapi apa yang kita harapkan adalah menjadi jutawan itu juga akan menjadi sesuatu yang terbaik di sisi Allah. Walaupun kita menjadi jutawan, kita juga seorang yang dermawan, ingat pada Allah setiap saat dan sebagainya. Jika menjadi jutawan merupakan yang terbaik di sisi Allah untuk diri kita, pasti ada sahaja jalan yang Allah sediakan ke arah itu.
***
Saya pernah disangkal oleh seseorang tentang meminta permohonan kepada Allah. Beliau berkata, “susahlah kalau nak makan lauk apa pun kena minta kat Allah. Kalau Allah tak kasi jawapan, jawabnya kita tak makanlah“.
***
Saudara,
Allah tidak menjawab seperti jawapan daripada manusia. Allah memberikan jawapan di dalam 2 bentuk iaitu gerak hati dan bahasa alam. Tatkala kita memohon kepada Allah untuk mengetahui lauk mana yang baik untuk kita pada ketika itu, Allah akan memberikan jawapanNya di dalam hati kita dengan perasaan keinginan untuk memilih sesuatu lauk.
Atau juga Allah memberikan di dalam bentuk bahasa alam seperti lauk yang kita ambil itu terjatuh atau sebagainya menunjukkan kita tidak ada rezeki untuk makan lauk itu. Mungkin lauk itu sebenarnya akan memudaratkan kita jika kita memakannya.
Contoh yang lain, ketika kita ingin pergi ke pejabat di waktu pagi. Kita ingin memilih samada ingin pergi menggunakan jalan A atau jalan B. Jika sebenarnya pilihan yang terbaik di sisi Allah adalah jalan A tetapi kita terpilih jalan B dan jalan B tersebut akan menyebabkan kita kemalangan, pasti sesuatu terjadi pada kita sebelum kemalangan seperti contoh tayar pancit dan sebagainya. Dengan itu, Allah telah menyelamatkan nyawa kita kerana kita memohon kepada Allah pada awal pemergian kita ke pejabat dengan menggunakan bahasa alam.
Saudara,
Sentiasa memohon kepada Allah sebelum melakukan sesuatu. Saya sentiasa memohon kepada Allah sebelum menulis artikel ini. Saya juga memohon kepada Allah sebelum saya memaparkan di dalam blog saya. Banyak artikel yang saya tulis dan ada yang saya tidak paparkan kerana tiba-tiba saya rasa saya tidak perlu paparkan setelah saya memohon kepada Allah. Mungkin ada sesuatu yang saya tidak tahu apa yang akan terjadi jika saya paparkan artikel tersebut.
Sentiasalah memohon kepada Allah kerana hanya pilihan yang terbaik di sisi Allah merupakan pilihan yang terbaik untuk kita. Keizinan Allah kepada sesuatu Qada’ itu tidak semestinya Qada’ itu terbaik untuk kita kerana Allah tidak akan menzalimi diri kita dengan tidak mengizinkan apa yang kita pilih. Namun apabila hubungan kita pada Allah berada di tahap yang terbaik, rasa CINTA kita kepada Allah cukup hebat, maka pasti Allah tidak akan membiarkan hambaNya memilih sesuatu yang tidak baik.
“Ya Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui ke atas tiap-tiap sesuatu, Tuhan yang Maha Pemberi pilihan-pilihan ke atas diriku, aku memohon kepadaMu ya Allah agar diberikan petunjuk untuk aku memilih sesuatu pilihan yang terbaik di sisiMu ya Allah. Hanya yang terbaik di sisiMu merupakan yang terbaik buatku ya Allah. Ameen ya rabbal alamin.”
Popularity: 3% [?]
Comments
4 Responses to “Pilihan”
Leave a Reply




March 20th, 2009 @ 12:18 am
Salam Sdra Fuad,
Ramai dikalangan kita,membuat ishtiharah apabila terpaksa memilih satu antara dua calon pasangan hidup kita.Seolah-olah, Allah hanya diperlukan bila kita buntu untuk memilih calon manakah yang terbaik sebagai pasangan hidup kita.Dalam soal semacam remeh seperti untuk memasak lauk,pilihan Allah seakan tidak perlu.Ya..barangkali kita belum memahami dan merasai didikan halus Allah pada kita sehingga kita benar-benar merasai bahawa kita adalah hamba yang sangat-sangat lemah dan tidak berkuasa apa pun.Hanya Allah yang Maha Berkuasa.
Fuad Latip:
Tuan Ady,
Ya benar sekali. Saya dulunya sebegitu. Alhamdulillah syukur kerana saya dipilih oleh Allah salah seorang yang menyedari hal ini. Pilihan yang terbaik di sisi Allah adalah pilihan yang terbaik buat kita walaupun permulaannya kita seolah-olah lihat ia tidak baik. Kerana kita tidak tahu di masa hadapan.
March 20th, 2009 @ 12:52 am
saudara Fuad,
Posting saudara hari ini merupakan jawapan kepada persoalan saya kepada Allah, saya begitu terkejut melihat posting ini…. Allah sangat dekat dan memelihara saya sentiasa………. sebenarnya saya tidak tahu bagaimana harus mengikut gerak hati yang telah Allah tunjukkan…. Allah telah beri petunjuk even semasa di tanah haram…. dan di Arafah, tetapi saya tidak mempunyai kuasa mutlak untuk melaksanakan gerak hati ini. Saya sentiasa perlu memohon diberi kekuatan dan kesabaran. Allah sentiasa memberi jawapan serta-merta… yang menjadikan saya sedikit gentar………. Sesungguhnya Allah sangat dekat.
Fuad Latip
Puan, boleh dikongsikan bersama apakah persoalan puan selama ini yang dikatakan itu? Terima kasih.
March 21st, 2009 @ 7:57 am
Sesetengah dari kita sukar memahami apakah yg dimaksudkan dengan “jawapan berbentuk gerak hati dan bahasa alam” mungkin kerana mereka tidak pernah mengalaminya ataupun belum sampai hidayah Allah pada mereka untuk memahaminya.
Saya sentiasa ingin mendengar pendapat mengenai penghayatan pembacaan Al-Quran. Tiba2 saya terjaga pada 3pagi dan radio IKIM.fm sedang rancak berbual mengenai Al-Quran. Seorang pakcik dari Kelang menjelaskan betapa pentingnya kita membaca Al-Quran dengan tartil yg betul. Pembacaan pakcik itu sungguh baik, makhraj dan tajwidnya tepat.
Begitulah cara Allah memberi jawapan pada saya.
Fuad Latip:
Puan Hanita,
Seronok baca pengalaman Puan Hanita. Saya yakin pasti banyak lagi pengalaman lain yang puan alami berkaitan gerak hati dan bahasa alam ini.
Saya banyak mengalaminya. Di dalam membuat pilihan pun, banyak yang Allah tunjuk dan berikan gerak hati pada saya. Tetapi gerak hati ini juga perlu diuji dahulu bimbang kalau ia datang dari nafsu dan syaitan.
March 22nd, 2009 @ 4:55 am
Ya Tuhan kami, Tuhan yg Maha Mengetahui segala2nya, ssungguhnya kami tidak mngetahui apa2,dgn rahmat n kasih sayangMu km mhon utk x di condongkn hati km kpd kesesatan ssudah diberikan petunjuk kpd km,mhon d kurniakan kpd kami rahmat dr sisiMu…
sesungguhnya hati tenang pd kebaikan n gelisah pd keburukan..mdh2n
alhamdulillah..terima kasih