Blog Ini Menggunakan Hosting 15GB Dengan Harga RM80 Sahaja. Klik Untuk Info Lanjut
Powered by MaxBlogPress  

Jiwa Positif Hidup BerTuhan (JPHBT)

Menyedari dan Merasai Kehambaan Diri dan KeTuhanan Allah SWT Di dalam Kehidupan

Konsultansi CINTA

27 March 2009 | 8 Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

Saya bersembang-sembang dengan seorang kawan baik dan juga rakan sekerja sementara menunggu hujan lebat reda. Kami bersembang di cafe fakulti di UiTM.

Saya mengenali beliau sejak tahun 1997 di Universiti Malaya ketika kami sama-sama sekuliah dalam bidang yang sama, Kejuruteraan Elektrik, Universiti Malaya Kuala Lumpur (UM). Kami juga sama-sama melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana juga di UM 6 tahun lalu. Sudah 12 tahun saya mengenali beliau. Memang rapat.

Dialah satu-satunya kawan lelaki saya yang masih bujang. Saya selalu bertanya wanita idaman beliau tetapi selalunya jawapan yang diberikan adalah “aku sendiri pun susah nak cakap“.

Dengan kerja yang telah stabil sebagai pensyarah yang mempunyai kelulusan peringkat sarjana (master) dan sifat dan sikap yang baik serta rupa yang sejuk mata memandang, juga menjaga agamanya yakni Islam (saya kenal sangat beliau), adalah mustahil jika difikirkan dengan logik  akal fikiran untuk beliau mendapatkan mana-mana wanita yang diidamkan. Tetapi semuanya adalah kehendak Allah.

Saya seringkali dijadikan KONSULTANSI CINTA yang tidak bertauliah dan tidak ‘official’ untuk dirujuk kawan-kawan (ada juga pelajar) di dalam soal cinta dan rumahtangga. Mungkin agaknya banyak pengalaman cinta [ketawa].

Beliau mengemukakan masalah utama beliau adalah untuk memulakan sebuah perkenalan dengan wanita yang beliau rasa sesuai. Beliau tidak tahu cara yang sesuai yang perlu digunakan. Beliau bimbang wanita tersebut tidak mahu berkenalan. Pelbagai persepsi negatif yang membimbangkan beliau telah diluahkan kepada saya.

Saya memberikan jawapan sepertimana jawapan kepada sesiapa yang mempunyai masalah tentang cinta dan rumahtangga kepada saya.

Wanita yang kamu suka tu milik siapa? Milik Allah kan“. Saya bertanya dan beliau mengangguk.

Makanya minta saja pada Allah. Tanya pada Allah macam ni

Ya Allah, Ya Tuhanku. Engkaulah Pemilik kepada wanita  yang aku suka ini ya Allah, Engkaulah penggenggam hatinya. Engkaulah yang mampu membuka pintu hatinya Ya Allah, aku suka pada nya ya Allah. Aku rasa teringin sangat untuk berkenalan dengannya ya Allah.  Aku ingin sangat-sangat untuk berkawan dengannya ya Allah.

Tapi ya Allah, aku ini bodoh ya Allah. Aku ini pemalu. Aku ini tidak tahu caranya. Aku ini takut untuk berjumpa dengannya ya Allah. Tapi hati aku inginkan, hati aku rasa suka, fikiran aku selalu teringatkan dirinya ya Allah.

Ya Allah, seandainya permohonan aku ini  baik di sisiMu ya Allah, tunjukkanlah caranya ya Allah, cara bagaimana aku boleh mengenali dirinya ya Allah. Kau sediakanlah jalan-jalan ke arah untuk mengenali dirinya ya Allah.

Tetapi jika permohonan ini akan menjurumuskan aku ke arah kemaksiatan, maka Kau hilangkanlah rasa ingin berkenalan dengannya ya Allah. Kau lenyapkan bayangan dirinya dalam fikiranku ya Allah. Dan Kau gantikanlah dengan wanita yang lain ya Allah. Kau selamatkanlah aku dari kemaksiatan. Maka ya Allah, Kau anugerahkanlah aku dengan wanita yang solehah ya Allah. Ameen ya rabbal alamin

Saya kata lagi, “Jika Allah memakbulkan doa kamu ni, pasti Allah akan tunjukkan jalan-jalan untuk mengenali wanita tersebut. Ada saja jalan yang Allah wujudkan agar kamu berdua dapat berkenalan. Dan jika ada jodoh, pasti mudah sahaja urusannya. Yang pasti hati kena yakin bahawa Allah akan menolong jika kita memohon kepadaNya”.

Dan jika tidak dapat, jangan putus asa. Bukankah semua itu hasil dari doa kita yang mengatakan bahawa, kalau ia baik, makbulkan doa kita, kalau tidak jangan makbulkan.

Innalillah wa inna lillahi rojiun. “Dari Allah kita datang dan kepadaNya kita akan kembali”.

Semua masalah dan kehendak kita datang dari Allah. Allah memberi pilihan (Qada’-qada’ atau takdir-takdir) kepada kita untuk memilih. Allah tidak zalim dengan membuat pilihan untuk kita. Kita yang pilih sendiri tetapi pilihan yang dipilih adalah masih dalam ruang lingkup pilihan-pilihan (Qada’-qada’ atau takdir-takdir) yang diberikan oleh Allah kepada kita. Dan setiap pilihan ini ada Qadarnya. Qadarnya juga mempunyai Qada’-Qada’ lain di dalamnya. [Ini adalah konsep Qada' dan Qadar Allah bagi sesiapa yang masih keliru dengan konsep ini]

Apabila kita hendak memilih kita bertanya pada Allah pilihan yang terbaik di sisi Allah. Setelah kita memilih berdasarkan gerak hati atau juga mungkin ada bahasa alam, kita mohon agar memudahkan jalan-jalan atau Qadar-Qadar ke atas Qada’ (takdir) yang kita pilih tadi.

Semua pilihan dari Allah, dan kita serah semula pada Allah untuk memberi petunjukNya pilihan yang terbaik kerana kita tidak tahu yang mana yang paling terbaik di sisi Allah. Apa yang berlaku selepas kita pilih, percayalah itulah yang terbaik di sisi Allah kerana kita telah pun berdoa. Inilah maksud sebenar firman Allah, Setiap permohonan pasti dimakbulkan Allah. Maka walaupun sesuatu itu buruk dari pandangan kita, inshaAllah pastinya ada kebaikan di hujungnya. Inilah kehidupan HIDUP BERTUHAN.

Kami balik setelah hujan reda. Sambil menuju ke kenderaan masing-masing, saya terus memberi semangat kepada beliau. Semoga beliau berjumpa dengan muslimah solehah yang sesuai untuk dirinya. Ameen.

Popularity: 8% [?]

Facebook Comments

  • Bengkel JPHBT

  • Kemaskini di FB JPHBT

  • Artikel Terkini

  • Petikan

    Kita perlu sedar hidup ini adalah mencabar. Hidup ini memang susah. Hidup ini memang banyak masalah. Kesedaran ini membuatkan kita tahu yang diri kita tidak mampu mengharungi hidup ini tanpa bantuan Allah SWT. Jika kita sedar hidup ini susah, pasti kita akan BERSUNGGUH-SUNGGUH mengharapkan bantuan Allah SWT.
    - Fuad Latip -
  • Doa

    Ya Allah, Aku mohon kepadaMu agar Kau catatkan siapa pun yang membaca blog ini, menjadi orang-orang yang Engkau angkat kerajaannya. Engkau ampuni seluruh dosa-dosanya. Engkau buka hati yang tertutup. Engkau lembutkan hati yang keras membatu. Engkau cahayai hati yang gelap gelita. Ya Allah jadikan perkongsian ilmu ini membuatkan sisa umur kami penuh berkah. Terpelihara dari fitnah dan musibah. Amin.
  • Artikel Popular

  • Arkib

  • Popular Keyword