Berada Di Alam Nyata
8 March 2009 | 6 Komen |
Cetak Artikel
Berada di alam nyata atau ‘living at the present’ sangat penting di dalam kehidupan. Saya mula mempelajarinya beberapa tahun lalu kerana sikap saya yang sebelum itu sentiasa bertindak secara spontan yang akhirnya membawa kepada masalah yang lebih besar.
Acapkali kita sering bertindak secara spontan dan banyak kali juga tindakan kita itu akan membuatkan lebih masalah. Seorang suami/isteri yang tiba-tiba menjawab soalan pasangan masing-masing dengan nada yang tinggi tanpa disedari mungkin boleh menyakiti hati pasangan. Juga soalan yang baik dijawab dengan jawapan yang kurang baik juga mampu membuatkan hati pasangan terguris.
Semua itu adalah tindakan atau respon yang kita lakukan dengan spontan. Ia merupakan tindakan luar kawal kita.
***
Apakah maksud dengan berada di alam nyata?
Segala tindakan kita perlu dilakukan dalam keadaan sedar. Benar-benar sedar. Bukanlah maksud saya sedar = jaga dari tidur.
Sedar bermakna kita berfikir berulangkali di dalam membuat pilihan. Sebelum sesuatu itu dilakukan, mestilah kita berfikir dahulu.
***
Berada di luar alam nyata membuatkan kita semua lalai di dalam sesuatu perkara. Seperti contoh, ketika membeli belah, barang berharga kepunyaan kita lebih mudah dicuri kerana kita terlalu asyik memilih. Kita seringkali berada di luar alam nyata. Ketika ini kita berada di bawah minda sedar.
Begitu juga dengan menjawab soalan daripada rakan-rakan atau pasangan. Berada dahulu di alam nyata sebelum menjawab soalan.
***
Baru-baru ini peristiwa yang sama berlaku di antara mereka yang ada di bahagian pengurusan tertinggi fakulti. Email yang tidaklah mempunyai maksud untuk merendahkan seseorang akhirnya membuatkan seseorang terasa. Lalu seseorang itu membalas email tersebut dengan melepaskan segala rasa ketidakpuasan hati.
Pastinya perkara ini tidak akan terjadi jika orang yang mengirim email berada di alam nyata sebelum mengirim email tersebut. Membaca dengan berulang kali dan memikirkan apa yang mungkin akan berlaku (memerlukan kecerdasan emosional untuk memahami perasaan orang lain) sambil berkomunikasi dengan Allah di dalam membuat pilihan.
***
Setiap sesuatu perkara mempunyai sela masa di antara ia berlaku dan tindakan yang bakal diambil. Panjangkan sedikit sela masa di dalam perkara yang perlu untuk memastikan setiap tindakan yang kita lakukan tidak memberikan masalah yang lebih besar.
Hidup lebih tenang jika kita sentiasa memilih sesuatu tindakan ketika berada di alam nyata berbanding tindakan spontan yang mungkin menjadikan pilihan kita lebih mendatangkan masalah.
Belajarlah untuk memberi respon ‘living at the present’. Saya berjaya mengatasinya sedikit sebanyak dengan banyak berkomunikasi dengan Allah. Hanya dengan sentiasa berkomunikasi Allah, diri kita akan seringkali berfikir sebelum melakukan sesuatu tindakan untuk membuat pilihan. InshaAllah pilihan yang kita lakukan adalah pilihan yang terbaik di sisi Allah.
Popularity: 3% [?]






