Realiti Sebenar (RS) dan Realiti Fikiran (RF)
24 January 2009 | 7 Komen |
Cetak Artikel
Apakah yang dimaksudkan Realiti Sebenar? Realiti sebenar adalah realiti sesuatu perkara di mana hanya Allah sahaja yang tahu. Manakala Realiti Fikiran adalah realiti di mana fikiran kita memahami tentang sesuatu itu dari kacamata dan fikiran kita.
Gambar di sebelah menunjukkan contoh Realiti Sebenar dan Realiti Fikiran menafsir sesuatu perkara. Realiti Kita menerima maklumat atau informasi secara Visual (lihat), Auditori (dengar), Kinestetik (sentuhan), Olfaktori (bau) dan Gustatori (rasa). Setiap informasi yang masuk ke fikiran kita akan dihalang oleh dua penapis yang dikenali sebagai Penapis Luaran dan Penapis Dalaman. Ini menyebabkan Realiti Fikiran tidak sama dengan Realiti Sebenar.
Penapis luaran adalah disebabkan oleh keupayaan deria kita iaitu mata, telinga, rasa dan anggota kinestetik kita. Seperti contoh, tidak semua orang mampu menghidu bau dari jarak 1 meter. Maka informasi sudah pasti berbeza dengan yang mampu menghidu bau dari jarak 1 meter.
Jarak penglihatan setiap orang juga berbeza menyebabkan informasi yang diterima adalah berbeza. Begitu juga dengan keupayaan pendengaran dan lain-lain.
Penapis dalaman adalah disebabkan pengetahuan setiap orang berbeza tentang sesuatu. Seseorang yang tidak tahu membaca pasti tidak dapat menerima informasi melalui bacaan berbanding mereka yang pandai membaca.
Seseorang yang tidak pernah belajar komputer dan internet sudah pasti tidak dapat menerima ilmu dengan baik melalui pembacaan. Maka informasi yang diterima tidak sama dengan mereka yang pandai menggunakan internet.
Perasaan juga termasuk di dalam golongan penapis dalaman kerana perasaan yang berbeza menjadikan kita mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza tentang sesuatu perkara. Perasaan wujud disebabkan oleh kepercayaan diri kita ke atas sesuatu perkara.
Kepercayaan pula wujud disebabkan corak fikiran yang kita perolehi hasil daripada pengalaman kita yang lepas termasuk cara hidup kita, latar belakang keluarga dan juga pengaruh persekitaran, rakan-rakan dan sebagainya.
Maka sebab itu kita tidak tahu apakah sebenarnya Realiti Sebenar kerana informasi yang kita terima tidak sama setiap orang disebabkan penapis yang wujud pada diri kita. Kita memerlukan Klarifikasi atau Pengesahan bagi mengurangkan beza pandangan dan pendapat tentang sesuatu.
Sebagai contoh, jika saya berkata “Saya ada sebuah rumah tetapi kecil sahaja“. Perkataan kecil itu tidak jelas dan setiap orang berbeza pendapat tentang perkataan ‘kecil’ yang diungkapkan. Ini kerana saiz kecil itu adalah berbeza setiap orang.
Kecil bagi saya mungkin rumah yang mempunyai 4 buah bilik tetapi bagi orang yang mempunyai 10 bilik akan berkata kecil itu separuh dari rumahnya. Bagi orang yang mempunyai rumah 2 buah bilik mungkin akan berfikir ‘kecil’ yang saya maksudkan lebih kecil daripada rumah beliau.
Sebab itu kita memerlukan klarifikasi atau pengesahan untuk memastikan saiz sebenar seperti contoh bertanya kembali, “kecil itu sebesar mana?“. Saudara meminta saya membuat perbandingan dengan sesuatu yang jelas maksud ‘kecil’ yang saya katakan.
Di dalam hidup kita seharian, kita melalui banyak situasi dan setiap situasi pasti ada pilihan. Masalah kita di dalam membuat pilihan adalah kita tidak dapat mengetahui sesuatu yang berlaku di masa hadapan kita walaupun hanya 1 saat. Kita tidak tahu Realiti Sebenar kerana apa yang kita ada hanyalah Realiti Fikiran.
Kadangkala pilihan kita benar dan kadangkala salah. Ia disebabkan oleh keupayaan diri kita untuk mengetahui Realiti Sebenar sesuatu perkara itu adalah lemah disebabkan oleh penapis yang kita perolehi.
Oleh kerana kelemahan yang wujud di dalam diri kita, maka cara terbaik untuk kita mengetahui realiti sebenar adalah tidak ada cara lain lagi selain meminta panduan daripada “High Intelligence” iaitu Allah Yang Maha Mengetahui. KOMUNIKASI adalah jalan yang termudah dan paling berkesan di dalam proses mendapatkan panduan daripada Allah SWT.
Komunikasi mempunyai kesan sampingan yang paling baik di mana kita bukan sekadar mampu mendapatkan panduan memilih sesuatu dengan baik tetapi kita mampu mendapat perasaan ketenangan yang tidak ada bandingnya.
Komunikasilah dengan Allah sentiasa kerana HIDUP KITA INI PENUH DENGAN PILIHAN. Hanya Allah yang mengetahui pilihan yang terbaik untuk diri kita.
Popularity: 4% [?]
Comments
7 Responses to “Realiti Sebenar (RS) dan Realiti Fikiran (RF)”
Leave a Reply



January 25th, 2009 @ 12:12 am
Salam sdr Fuad,
Alhamdulilah, teruskan usaha berkongsi ilmu dan pengalaman. Ianya amat bermanfaat.
Cuti balik kampong ke?
January 25th, 2009 @ 2:47 am
Telah terbukti bahawa orang yg berzikir (memuji) Allah setiap masa akan merasa tenang dan sentiasa memancarkan riak wajah yg bersinar2.
Berkomunikasi (bercakap) dgn Allah setiap masa adalah satu alternatif yg sangat munasabah. Saya lihat berkomunikasi ini sebagai ‘berdoa’ kerana kita sentiasa meminta sesuatu pada Allah semasa kita ‘bercakap’ dgn Allah.
Maknanya, berdoa bukan saja selepas selesai solat, tapi berdoa setiap masa.
Terima kasih diatas perkongsian ini.
Teruskan menulis saudara Fuad.
January 25th, 2009 @ 3:58 am
Salam sdr Fuad,
Saya terpanggil untuk menjelaskan tentang keberkesanan komunikasi dengan ALLAH semenjak saya lakukan dan sentiasa meminta sesuatu pada Allah.
Semalam saya bercakap dengan Allah supaya saya dapat bangun tengahmalam untuk bersolat sunat taubat, tahajud dan hajat. Alhamdulillah Allah Maha Mendengar dan saya diizinkan Allah dapat melakukannya dengan sempurna.
Malahan bukan setakat itu sahaja, Allah Maha Pengasih & Penyayang saya diberi keizinan membaca Al Quran dan memahami isi kandungan nya , bersolat subuh berjemaah dan Maha Suci Allah dapat bersolat jenazah serta mengusung jenazah sepertimana saya dapat lakukan di tanah suci Mekah. Ya Allah Ya Fattah terima kasih Ya Allah .
Berkomunikasi dengan Allah bukan setaka berdoa sahaja selepas solat , setiap ketika setiap masa , Allah Maha Mendengar.
January 27th, 2009 @ 8:41 am
Berkomunikasi /berdoa dgn Allah perlu dijadikan amalan sepanjang hayat ..
Allah maha mendengar,maha mengetahui maha segalanya..seisi kehidupan dunia akhirat..
setiap detik kehidupan adalah dengan ketentuan Nya..dan setiap detik lah kita perlu berkomunikasi dgn Nya..
walaupun saya sendiri tidak dapat 100% untuk berkomunikasi dgn Nya,disebab kealphaan ,kelemahan diri bernama manusia ini,namun
saya mengingat kan diri saya dan pengunjung blog ini agar KITA SENTIASA BERDOA memohon agar dikurnia kan keimanan taufik dan hidayahnya..
February 24th, 2009 @ 11:27 am
[...] yang diberikan akan kita ikuti tanpa membuat analisis terlebih dahulu. Jika dirujuk pada artikel Realiti Sebenar dan Realiti Fikiran, kita seolah-olah tiada penapis luar dan [...]
March 21st, 2009 @ 3:20 pm
[...] daripada kita mempunyai pandangan terhadap sesuatu yang berbeza-beza. Ia disebabkan oleh penapis luaran dan penapis dalaman yang pernah saya terangkan dahulu. Disebabkan pandangan kita ini, ia membentuk attitude di dalam [...]
April 11th, 2009 @ 8:46 am
[...] Fikiran pula mempunyai kelemahan kerana semua informasi yang diterima oleh fikiran ini berlaku pemesongan (distortion) dan mungkin ada yang terpadam (deletion) akibat dari penapis luaran dan dalaman. Maka keupayaan kita untuk mengetahui Realiti Sebenar terbatas. (sila rujuk artikel realiti fikiran dan realiti sebenar) [...]