Memohon Keizinan Allah
13 January 2009 | 2 Komen |
Cetak Artikel
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai api! Hendaklah engkau menjadi dingin dan selamat terhadap Ibrahim. Mereka hendak memperdayakan Ibrahim dengan dia lalu Kami berkati di dalamnya untuk seluruh alam.”
(Al Anbiyaa’: 69 dan 70)
Seorang pelajar tahun dan semester akhir berjumpa dengan saya untuk berbincang berkenaan dengan projek tahun akhir (Final Year Project @ FYP). Pada mula pelajar ini masuk ke bilik saya, beliau sangat stress. Manakan tidak kerana sudah semester akhir, tetapi masih belum jelas memahami apa yang dilakukan.
Pelajar ini bukanlah pelajar saya semasa semester lepas. Mereka ini adalah pelajar dari UiTM Pulau Pinang yang diarahkan untuk bertukar ke UiTM Shah Alam kerana program ijazah hanya dijalankan di kampus induk sahaja mulai semester ini untuk Fakulti Kejuruteraan Elektrik. Jadi saya diarahkan untuk menjadi co-supervisor sahaja sementara supervisor masih lagi pensyarah di Pulau Pinang.
Semasa perbincangan, saya cuba sedaya upaya untuk berfikir dengan frekuensi rendah bertujuan mengurangkan stress pelajar ini. Sebaik sahaja beliau duduk, saya bertanyakan hal personal pelajar ini. Asal dari mana, berapa orang adik beradik, belajar di Shah Alam lebih seronok atau di Pulau Pinang, sewa rumah di mana, tinggal di mana semasa belajar ini, berapa orang kawan serumah dan pelbagai lagi. Tujuan saya agar beliau lupakan berkenaan dengan FYP itu.
Kemudian saya bersembang berkenaan dengan jiwa positif. Saya jelaskan kenapa baiknya komunikasi dengan Allah menggunakan analogi orang yang asyik atau kusyuk bercinta. Saya tidak bercakap dengan nada suara yang tinggi. Saya beri peluang kepada beliau untuk bercakap sama. Saya berikan contoh-contoh komunikasi dengan Allah. Saya ceritakan pengalaman saya dan mereka-mereka yang sentiasa komunikasi dengan Allah.
Minit demi minit, akhirnya pelajar ini nampak semula gembira dan tenang. Mampu tersenyum lebar. Cukup selesa bercakap dan duduk di depan saya. Kemudian barulah saya ajak berbincang berkenaan dengan FYP beliau. Tiada apa yang perlu dipeningkan. Segalanya ada jalan penyelesaian. Saya terangkan satu persatu apa yang perlu beliau lakukan untuk seterusnya. Setelah beliau faham untuk tugasan seterusnya yang perlu dibuat dan laporkan pada saya minggu hadapan, dia meminta saya jelaskan lagi berkenaan dengan jiwa positif.
Lebih 1 jam kami bersembang. Saya memberitahu setiap apa yang kita lakukan dan inginkan segala-galanya akan terjadi hanyalah dengan izin Allah. Maka mohonlah kepada Allah dengan ikhlas. Keikhlasan itu hanya hadir apabila kita mempunyai rasa cintakan Allah. Untuk mendapatkan rasa cinta itu, sentiasalah setiap saat berkomunikasi dengan Allah.
Komunikasi dan mohon kepada Allah agar memudahkan diri untuk menyiapkan FYP ini. Hanya Allah yang berkuasa untuk memberi segala idea dan jalan penyelesaian kepada masalah FYP tersebut.
Contoh yang jelas di dalam hal keizinan Allah ini adalah Nabi Ibrahim. Ketika Nabi Ibrahim dibakar oleh Namrud dan pengikut Namrud ini, Allah tidak mengizinkan api membakar Ibrahim. Tetapi ingat, bukanlah Api itu menjadi sejuk untuk semua. Hanya sejuk untuk Nabi Ibrahim. Jika pengikut Namrud itu menghampiri atau masuk ke dalam Api itu, pasti akan mati kerana api itu tetap panas. Rantai dan tali pengikat Nabi Ibrahim habis semua lebur di makan api tetapi tidak pakaian Nabi Ibrahim.
Jadi jelas segala-galanya adalah kerana izin Allah. Maka mengapa kita perlu meminta daripada yang lain .
Pelajar ini pulang dengan tenang dan tersenyum. Semoga beliau akan mula berkomunikasi dengan Allah. Ameen.
Popularity: 4% [?]
Incoming search terms:
- keizinan allah (2)






