Blog Ini Menggunakan Hosting 10GB Dengan Harga RM80 Sahaja. Klik Untuk Info Lanjut
Powered by MaxBlogPress  

Jiwa Positif Hidup BerTuhan (JPHBT)

Menyedari dan Merasai Kepentingan Allah SWT Di dalam Kehidupan

Bagaimana Bercinta Dengan Allah?

23 December 2008 | 4 Komen | Cetak Artikel Cetak Artikel

VN:F [1.9.3_1094]
Artikel Bermanafaat?
Rating: 4.5/5 (2 votes cast)

Sementara saya menyiapkan video bersiri menggantikan artikel bersiri Kenali Otak Kita Di dalam Hidup BerTuhan, saya ingin kongsikan sesuatu yang menarik.

Berikan saya golongan yang paling tenang sekali di antara kita masa kini?

Jawapannya ada 2 sahaja.
1. Bayi dan kanak-kanak di bawah 3 tahun.
2. Orang yang sedang asyik bercinta (bukan cinta yang bermasalah).

Kenapa dua sahaja? Kenapa saya tidak masukkan sekali mereka yang kuat amal ibadah? Maafkan saya kerana mereka yang kuat amal ibadah belum pasti jiwanya tenang. Walaupun saudara tidak setuju namun ia adalah hakikat bahawa tidak semua yang kuat beramal ibadah, hati mereka tenang. Ini kerana kita tidak tahu sejauh mana mereka ikhlas di dalam beribadah.

Berbeza dengan dua golongan yang saya katakan, semua mereka adalah orang yang tenang. Mereka asyik dengan dunia mereka. Bayi atau kanak-kanak di bawah umur 3 tahun masih belum mampu berfikir dengan rasional. Mereka masih dalam proses belajar untuk memahami sesuatu.

Mereka masih belum boleh bertutur dengan baik. Kerana itu mereka masih belum banyak berfikir. Proses pemikiran mereka meningkat dari hari ke sehari namun masih di tahap Alpha ke bawah. Apabila frekuensi fikiran berada di tahap Alpha ke bawah, ini bermakna mereka banyak menggunakan otak kanan dan mereka cukup tenang.

Kerana itulah proses pembelajaran yang terbaik adalah ketika umur di bawah 3 tahun. Di bawah umur 3 tahun inilah kita perlu memastikan sekurang-kurangnya mereka sudah mula mengenal huruf dan nombor. Ini kerana proses pembelajaran menggunakan otak kanan cukup cemerlang. Jika kita lihat lagi, mereka tidur cukup nyenyak ketika berada di umur bawah 3 tahun ini. Mereka sangat tenang.

Saya tidak mahu mengulas lanjut golongan yang pertama iaitu golongan kanak-kanak 3 tahun ke bawah. Saya suka menceritakan golongan orang yang sedang asyik bercinta yang tidak mempunyai apa-apa masalah. Saya tidak pasti bagaimana pengalaman saudara bercinta. Pengalaman saya, memang ia cukup mengasyikkan.

Ketika saya bercinta, pasangan saya (kini isteri) menyambung pelajaran di peringkat PhD di University of Southampton, UK. 4 tahun beliau di sana dan saya di Malaysia. Asyiknya kami bercinta sehingga jarak dan waktu tidak lagi merupakan faktor penghalang kami.

Setiap hari berhubung melalui Skype. Saya adalah orang yang perkenalkan Skype di UiTM ketika itu. Kerana semasa Skype yang baru diperkenalkan 3 hari, kami sudah menggunakannya. Maklumlah orang bercinta. Sentiasa mencari sesuatu agar mudah berhubung. Ketika itu bersembang sampai 3-4 jam sehari tidak menjadi masalah. Melekat sahaja di kepala saya dengan headphone yang mempunyai microphone. Macam operator telekom.

Bila isteri balik ke Malaysia setelah memiliki PhD (isteri saya mendapat PhD ketika berumur 27 tahun), kami selalu keluar hujung minggu. Panas atau hujan, berjumpa tetap berjumpa. Aduh…mengingatkan masa bercinta…ia cukup mengasyikkan.

Saudara juga mempunyai kisah cinta saudara semua. Mungkin kurang atau lebih hebat dari saya. Tetapi apa yang saya ingin kupaskan di sini, PERASANKAH SAUDARA BAHAWA ALLAH MEMBERIKAN PERASAAN CINTA SESAMA KITA SUPAYA KITA TAHU BAGAIMANA CARANYA UNTUK BERCINTA DENGAN ALLAH?

Apakah ubat rindu ketika bercinta? Berhubung dan berkomunikasi bukan? Kita sanggup berkomunikasi berjam-jam lamanya. Panas telinga kita pun dengan telefon yang melekat di telinga, kita tak peduli. Jika seminggu sekali telefon berjam-jam tidaklah hairan. Ini setiap hari.

Kalau orang lain melihat, sudah pasti tidak memahami apakah yang diborakkan sehingga mampu bertelefon setiap hari berjam-jam lamanya. Cuba sehari tidak berhubung? Aduhhh…pasti tidak semangat melakukan apa jua kerja jika sehari tidak mendengar khabar orang yang kita cintai. Bukan sekadar itu, pelbagai perasaan tidak tenang muncul. Apatah lagi kalau tersilap melakukan kesalahan. Bertan-tan maaf diucapkan. Sanggup melakukan apa sahaja untuk meminta maaf.

Apabila berjumpa dengan pasangan, kita bagaikan lupa segalanya. Berjalan di tengah panas pun kita tidak peduli. Tidak hairan dengan orang ramai. Kita fokus dan asyik dengan percintaan kita bersama pasangan. Aduhh….sungguh gembira saat itu. Kita KUSYUK bercinta.

Jika kita diminta pasangan untuk menjaga barangnya sekejap seperti beg tangan atau apa jua, kita menjaganya dengan begitu berhati-hati. Kita takut jika terjadi apa-apa pada barang yang kita diamanahkan untuk menjaganya oleh pasangan kita.

ORANG BERCINTA INI ADALAH ORANG YANG TENANG. MEREKA BERADA DI TAHAP ALPHA KE BAWAH. Frekuensi otak mereka cukup perlahan dan rendah. Mereka banyak menggunakan otak kanan ketika ini. Jangan hairan ketika ini orang bercinta cukup hebat bermadah dan berpuitis dengan bait-bait cinta dan pujuk rayu. Mereka asyik sehinggakan tidak peduli dengan panas, hujan, penat, kesesakan dan apa jua pun. Yang penting sentiasa bersama dengan pasangan.

Apakah pengajarannya kepada kita dengan bercinta ini? Apakah iktibar yang Allah berikan pada kita dengan pemberian perasaan cinta sesama manusia ini?

Pernahkah kita memohon kepada Allah untuk bercinta denganNya? Apa yang kita biasa lakukan adalah memohon kepada Allah agar Allah mengasihi kita. Menyayangi dan mencintai kita. NAMUN KENAPA KITA TIDAK PERNAH BERDOA AGAR ALLAH TITIPKAN RASA KASIH, CINTA DAN SAYANG KEPADA ALLAH DALAM JIWA KITA?

Bagaimana ingin tahu samada kita kasih, cinta dan sayang pada Allah atau tidak? Mudah sahaja. Orang yang bercinta akan sentiasa berkomunikasi untuk menghilangkan rindunya pada pasangan mereka. Jadi ia sama sahaja jika kita ada perasaan kasih, cinta dan sayang pada Allah. Pastinya setiap saat kita akan berkomunikasi dengan Allah untuk menghilangkan rindu kita. Malahan kita akan lebih berkomunikasi kerana kita bukan sekadar rindu, kita mengharap, memohon, berdoa, dan memuja Allah. Pengajaran inilah yang kita tidak endahkan selama ini.

Apabila ada rasa kasih, cinta dan sayang pada Allah, walau apa jua keadaan pun kita sanggup untuk berhubung dengan Allah. Kita sentiasa berkomunikasi dengan Allah walau apa jua keadaan dan masa. Di mana berada dan bila pun jua. Sepertimana kita bercinta, sanggup berjumpa, berjalan, menemani pasangan kita walaupun ketika hujan, panas, sesak dan sebagainya.

Semua yang ada di dunia dan di langit dan di antaranya adalah milik Allah. Kawan-kawan kita malah diri kita adalah milik Allah. Namun mengapa kita tidak menjaga milik Allah sepertimana kita menjaga barang milik pasangan kita? Kenapa kita sering sakitkan hati kawan-kawan atau orang lain yag kita tidak kenali sedangkan semua mereka adalah milik Allah yang kita kasih, cinta dan sayangi? Kenapa kita rosakkan harta benda dan alam sekitar di dunia ini sewenang-wenangnya sedangkan semua itu milik Allah?

Tidak kasihkah kita pada Allah? Tidak cintakah kita pada Allah? Tidak sayangkah kita pada Allah?

Jika kita kasih, cinta dan sayang, sejauh mana kita sebenarnya kasih, cinta dan sayang pada Allah setelah saudara membaca artikel saya ini?

Berkomunikasilah sentiasa setiap saat dengan Allah. Panjatkan doa memohon agar Allah berikan rasa kasih, cinta dan sayang pada Allah dalam hati kita. Selama ini kita memohon agar Allah sahaja kasih, cinta dan menyayangi kita. Jadi mulai hari ini, kita ubah sedikit permohonan kita pada Allah.

Bila kita sering berkomunikasi dengan Allah, jiwa kita tenang kerana kita fokus kepada perhambaan diri pada Allah. Kita berfikir dalam frekuensi Alpha ke bawah. Kita lebih redha dengan Qada’ dan Qadar Allah. Jiwa kita kental. Kita akan jadi asyik dengan Allah sepertimana asyiknya orang bercinta. Kita akan lebih kusyuk di dalam solat. Kita akan lebih positif untuk berubah dan perubahan ini akan menjadi kekal kerana Allah juga kasih, cinta dan menyayangi kita.

Saudara, berkomunikasilah dengan Allah. Inilah satu-satunya cara untuk PERUBAHAN YANG KEKAL. YANG TIDAK PERNAH DICERITAKAN OLEH PAKAR-PAKAR MOTIVASI SECARA SAINS DAN SPIRITUAL.

Semoga kita semua sentiasa dirahmati Allah.

VN:F [1.9.3_1094]
Artikel Bermanafaat?
Rating: 4.5/5 (2 votes cast)
Bagaimana Bercinta Dengan Allah?, 4.5 out of 5 based on 2 ratings

Popularity: 8% [?]

Comments

4 Responses to “Bagaimana Bercinta Dengan Allah?”

  1. Hanita
    December 26th, 2008 @ 4:08 am

    Salam Fuad,

    Saya faham konsep berkomunikasi setiap detik ini. Cuma saya nak tanya, boleh terangkan sikit mengenai frequensi Alpha, Beta, Delta & Thetha ini ? Dulu masa Form 5 belajar basic jer. Terima kasih.

  2. Fuad Latip
    December 29th, 2008 @ 4:12 am

    Salam Puan Hanita,

    Alhamdulillah dengan kefahaman tersebut. Nanti saya akan terangkan dengan detail di dalam video bersiri berkenaan dengan Frekuensi Alpha, Beta, Delta dan Theta dalam gelombang otak kita. InshaAllah.

  3. nunwowro
    April 6th, 2009 @ 3:11 am

    alhamdulillah..terima kasih byk2..tahu kita perlukn sandaran yg abadi..tp selalu lupa..blh dikira bpe % komunikasi kpdNya drp hayat yg ada..mdh2n makin meningkat n terpelihara ingatan kita kpdNya

  4. mat rodzi
    July 12th, 2009 @ 1:37 am

    Bilakah video bsiri brkenaan dengan Frekunsi, Alpha, Beta, dan Theta akan diterbitkan kerana dengan izin Allah saya ingin memilikinya. Saya juga amat berminat untuk memberi motivasi kepada anak-anak saya tetapi saya mempunyai kelemahan dari segi komunikasi lisan. Boleh bri pandanga untuk mengatasi permasalahan ini.

Leave a Reply





  • Jadual Latihan Solat Khusyuk

  • Komunikasi

    Hanya mesej yang tiada kaitan dengan artikel. Jika ada kaitan, sila komen di artikel. Terima kasih.


    ShoutMix chat widget
  • Doa

    Ya Allah, Aku mohon kepadaMu agar Kau catatkan siapa pun yang membaca blog ini, menjadi orang-orang yang Engkau angkat kerajaannya. Engkau ampuni seluruh dosa-dosanya. Engkau buka hati yang tertutup. Engkau lembutkan hati yang keras membatu. Engkau cahayai hati yang gelap gelita. Ya Allah jadikan perkongsian ilmu ini membuatkan sisa umur kami penuh berkah. Terpelihara dari fitnah dan musibah. Amin.
  • Artikel Popular

  • Maklumbalas Terkini

  • Artikel Terkini

  • Arkib

  • Popular Keyword

    bahagia banyak masalah berserah dekat dengan Allah didik anak cara islam fuad latip gelisah hidup bertuhan ilmu ingat Allah Jiwa Positif jiwa super kesedaran khusyuk solat komunikasi komunikasi dengan Allah kuasa jiwa law of atrraction lembutkan hati anak lembutkan hati isteri lembutkan hati suami masalah anak masalah besar masalah jiwa masalah rumahtangga masalah suami isteri minta izin motivasi Motivasi Diri motivasi kekal pasar ramadhan pasrah puasa ramadhan redha rela sedar solat solat khusyuk spritual suami ego super affiliate super minda super sedar teknik SEO
  • Profil

    Mohd Fuad Bin Haji Abdul Latip
    Fakulti Kejuruteraan Elektrik
    Universiti Teknologi MARA
    40450 Shah Alam
    Selangor
    fuadlatip[at]gmail.com


  • Blog Rating

    Average blog rating:

    4.7