Kuliah Maghrib Masjid As-salam Puchong
15 May 2012 |
Cetak Artikel
Allahuakbar!… ya Allah. Saya tidak ada apa-apa untuk diajarkan. Sekadar berkongsi pengalaman tentang Jiwa Positif Hidup BerTuhan. Sekadar itu…. ye sekadar itu. Semoga ada manafaatnya. Amin
http://masjidas-salam.
DIBATALKAN. Saya sendiri yang memohon untuk dibatalkan kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Popularity: 4% [?]
Siratul Mustaqim
13 May 2012 |
Cetak Artikel
Ya Allah… selepas solat maghrib tadi, aku sepintas lalu pergi ke rak buku di rumah ini. Aku mengambil sebuah buku matematik kejuruteraan.
Ya Allah, tiba-tiba aku difahamkan olehMu dengan ayat “tunjukilah hambaMu ini jalan yang lurus ya Allah”. Setiap hari aku membacanya aku sekadar faham jalan-jalan itu adalah jalan yang benar dan hari ini aku memahami bahawa jalan yang lurus adalah jalan yang paling dekat antara dua titik.
Ya Allah sangat indah pengajaranMu malam ini ya Allah. Engkau mengarahkan hambaMu ini bukan sekadar memohon jalan yang benar tetapi jalan yang terbaik iaitu jalan yang paling mudah dalam sesuatu urusan.
Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah, terima kasih.
Fuad Latip
13 Mei 2012
Popularity: 8% [?]
Utamakan Perkara Berkaitan Solat
11 May 2012 |
Cetak Artikel
Sesungguhnya dalam diri (nafs) manusia itu ada yang tahu (Basyirah).
(QS.Al-Qiyamah,75:14)
Ketika kita solat, hanya diri kita yang tahu samada kita khusyuk atau tidak. Khusyuk itu adalah sedar dan ‘asyik’ dengan Allah sehingga kita benar-benar merasai nikmat sebuah pertemuan dengan Allah SWT.
Bukan fokus pada bacaan, fokus pada suara bacaan, fokus pada makna bacaan. Ini adalah khusyuk pada bacaan dan bukanlah khusyuk pada Allah SWT.
Seharusnya kita sangat takut seandainya mutu solat kita masih menggunakan fokus seperti di atas sedangkan Allah SWT tidak mampu disedari dengan pacaindera kita.
Hayatilah firman Allah dalam Surah Al-Ma’un di bawah ini agar kita bangkit cuba mempelajari bagaimana khusyuk yang benar hingga benar-benar mampu membuatkan kita sentiasa sedar Allah setiap saat dalam hidup ini. Sesungguhnya solat adalah mikraj, rojiun (kembali) kita kepada Allah.
Bagi diri saya, bengkel yang mengajar tentang solat harus dihadiri terlebih dahulu kerana solat yang sempurna adalah yang terpenting dalam hidup kita sebagai hambaNya malah seandainya solat kita diterima Allah, barulah ibadah yang lain akan diterimaNya.
Di dalam bengkel solat, kita bukan belajar solat semata-mata kerana solat merangkumi banyak perkara.
Di dalamnya akan dilatih agar mampu berserah.
Mampu sedar Allah SWT setiap saat.
Mampu benar-benar memiliki khusyuk di dalam solat.
Mampu benar-benar memahami aturan dan kehendak Allah SWT.
dan pelbagai lagi.
Seharusnya kita mengutamakan hal yang berkaitan dengan solat ketika kita sedar bahawa mutu solat kita masih sekadar fokus pada itu dan ini. Namun hakikatnya kita lebih mengutamakan hal yang lain sedangkan hal yang lain itu memerlukan solat yang benar-benar sempurna barulah hal lain itu menjadi sempurna.
Seandainya bengkel atau kursus lain seperti bengkel untuk berjaya dalam bisnes, memiliki wang yang banyak, menguruskan pendapatan dan seumpamanya, kita boleh hadir walaupun jauh, walaupun mahal, walaupun terpaksa sampai ke tengah malam dan sebagainya… namun seandainya kita tidak mencari bengkel-bengkel solat ini sedangkan kita sendiri tahu mutu solat kita di tahap yang masih banyak perlu diperbaiki, maka bimbanglah kita kerana kita sentiasa membenarkan diri kita termasuk dalam golongan yang dicelakakan oleh Allah SWT. Nauzubillah.
Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, iaitu orang yang lalai dalam solatnya.
(QS: Al-Ma’un, 107:4-6)
Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang dicelakakan Allah kerana sangat malang bagi kita seandainya kita termasuk dalam golongan ini. Kita mendirikan solat, namun yang kita miliki adalah kecelakaan Allah SWT (nauzubillah).
Oleh itu luangkan masa dan carilah kelas-kelas, bengkel-bengkel, kursus-kursus yang mengajarkan kita solat dengan sempurna yang mampu menyedari Allah SWT setiap saat. InshaAllah banyak ada di luar sana.
Jika tidak dapat seperti yang dikehendaki dengan bengkel yang telah pergi, cari lagi yang lain dan yakinilah bahawa niat yang baik pasti akan dipertemukan oleh Allah SWT.
Utamakan hal solat ini dahulu disamping kelas-kelas pengajian yang lain.
Sentiasa menyedari dan menyebut Nama Tuhanmu
Fuad Latip
11 Mei 2012
Popularity: 9% [?]
Dua Jenis Kejayaan
11 May 2012 |
Cetak Artikel
Setiap hari saya melihat samada saudara atau sesiapa sahaja memberi makna kepada sebuah KEJAYAAN dengan mewar-warkannya kepada orang ramai.
Saya melihat setiap orang memberi makna KEJAYAAN yang tersendiri dalam hidupnya.
Yang ada dalam hati saya ketika membaca sesuatu yang dikatakan KEJAYAAN oleh seseorang itu adalah….
Oh! begitu dia menafsirkan kejayaan. Alhamdulillah.
Oh! macam tu kejayaan bagi dirinya. Alhamdulillah.
Alhamdulillah yang saya ucapkan itu ada 2 jenis. Kekadang saya mengucapkan yang jenis pertama dan kekadang yang kedua mengikut kejayaan yang dimiliki oleh seseorang.
1. Alhamdulillah syukur dia bahagia dengan kejayaannya itu.
2. Alhamdulillah semoga Allah tidak menduga aku dengan kejayaan yang begitu yang sebenarnya membuat hambanya lebih jauh daripadaNya, namun disangkakan ia sebuah kejayaan.
Terpulang pada kita menafsirkan apakah yang dikatakan kejayaan untuk diri kita. Semoga kejayaan itu membawa kita lebih dekat kepada Allah dan mendapat redhaNya. Bukan kejayaan yang mendekatkan kita pada dunia hingga kita bukan sekadar genggam dunia malah menyimpan dunia ini dalam hati kita. Nauzubillah.
Fuad Latip
Jiwa Positif Hidup BerTuhan
Popularity: 8% [?]
[Islamik NLP: Rumahtangga] : Kepercayaan dan Ketaatan
10 May 2012 |
Cetak Artikel
Sejak saya menulis di JPHBT, saya menerima banyak email dan telefon untuk meminta pendapat saya berkenaan hal rumahtangga.
Saya tidak arif dalam soal rumahtangga orang lain. Namun dalam hal rumahtangga saya, ada dua perkara yang saya sentiasa jaga dan pelihara sebagai seorang suami. Dengan terjaganya hal ini, inshaAllah yang lain pasti akan dilaksanakan dengan baik.
Dua perkara itu adalah kepercayaan dan ketaatan. Sepanjang masa, saya harus menjaga diri saya agar kepercayaan isteri dan anak-anak kepada saya terus terpelihara. Seandainya kepercayaan mereka kepada saya sudah tercalar, ia adalah sesuatu yang amat berat untuk saya mengendalikan keluarga saya.
Dengan adanya kepercayaan, pastilah wujudnya ketaatan mereka pada saya. Dengan ini sebuah keluarga yang benar-benar memiliki seorang pemimpin, pembantu dan ahlinya dapat dilaksanakan dengan baik di dalam mendapatkan redha Ilahi apabila adanya ketaatan kepada suami dalam hal kebaikan.
Persoalan daripada dua perkara ini adalah bagaimana membentuk kepercayaan ini?
Untuk memiliki kepercayaan orang lain pada kita, kita harus menjadi hamba yang dipercayai Allah SWT. Setiap hari kita perlu niatkan dalam diri kita mulai sejak bangun tidur bahawa hari ini aku ingin menjadi hamba yang dipercayai Allah SWT.
Kemudian kita terus mempertahankan kesedaran kita pada Allah. Dengan kesedaran yang ada pada Allah SWT setiap saat berserta dengan niat untuk memastikan diri menjadi orang yang dipercayai Allah SWT, pastilah kita akan menjaga diri kita agar tidak melakukan sesuatu yang dimurkai Allah SWT.
Maka untuk memiliki kepercayaan isteri atau suami dan anak-anak, pastikan kita sentiasa menjadi hamba yang dipercayai Allah SWT. Untuk sentiasa memastikan kita mampu memiliki kekuatan untuk menjaga diri kita sebagai hamba yang dipercayai Allah SWT, kita perlu sentiasa sedar Allah SWT dalam setiap saat kehidupan kita.
Sekiranya kita tidak menyedari Allah, di sana nanti akan diuji Allah SWT hingga kekadang diuji dengan perkara kepercayaan ini.
Seandainya ahli keluarga sudah hilang kepercayaan, maka hilanglah ketaatan lalu setiap hari kita akan merasakan keluarga kita sudah hilang rahmat, ketenangan dan kasih sayang.
Saya ingatkan pada diri saya sendiri, sebelum melakukan apa jua perkara, pastikan perkara itu baik di sini Allah dan ia tidak menggugat kepercayaan isteri dan anak-anak kepada kita. Begitu juga dengan isteri dan anak-anak di mana perlu sentiasa menjaga diri agar kepercayaan ini akan terus terpelihara.
Kepercayaan ini bukan mengambil masa yang sekejap untuk dibina. Namun sekiranya ia sudah terguris walau sedikit pun, ia sukar untuk mendapatkan kepercayaan yang sepenuhnya seperti asal.
“ya Allah kami mohon agar kami tidak diuji dengan soal kepercayaan ini ya Allah. Kami mohon agar kami sentiasa dimasukkan olehMu ke dalam golongan yang dinaikkan darjat olehMu ya Allah. Terima kasih ya Allah. Terima kasih.
Popularity: 9% [?]
10 Tahun Bersama UiTM (2002-2012)
8 May 2012 |
Cetak Artikel
Hari ini genap 10 tahun saya bekerja di UiTM (8 Mei 2002 – 8 Mei 2012). Alhamdulillah diberi oleh Allah peluang untuk mendidik. Mudah-mudahan segala usaha mendapat redha Allah SWT. Amin.
Ketika mengambil keputusan berhenti daripada Celcom (M) Berhad 10 tahun lalu, saya menyerahkan total pergantungan pada Allah SWT. Berhenti daripada seorang Jurutera kepada seorang pensyarah kontrak dengan gaji kurang setengah daripada gaji seorang Jurutera ketika itu.
Alhamdulillah dengan keyakinan tanpa ragu bahawa seandainya Allah SWT menjanjikan rezeki buat saya, ia tetap akan saya terima. Jika Allah SWT menetapkan bahawa saya tidak ada rezeki, saya kerja sebagai apa pun, saya tetap diuji dengan rezeki ini.
Yang utama saya mengikut Sunnatullah iaitu bekerja dengan baik dan ikhlas pasti diberi rezeki oleh Allah SWT. Yang termampu saya lakukan adalah bekerja dengan baik. Soal rezeki adalah ketetapan Allah buat saya.
Hari ini 10 tahun saya bekerja di UiTM. Terbukti bahawa saya masih hidup, sihat dan bahagia. Inilah aturan Allah, perjalanan kehidupan buat diri saya yang ditentukan olehNya. Saya hanya mampu berpegang pada Allah dalam urusan hidup ini. Bergantung total 100% tanpa keraguan sedikit pun denganNya.
Semoga semangat mendidik pelajar akan berterusan tanpa henti. Mendidik pelajar untuk menjadikan mereka bukan sekadar hebat akademiknya tetapi yang lebih utama adalah hebat kerohaniannya. Jiwa yang hebat, positif dan sentiasa sedar Allah pasti akan mampu menjadi seorang WAKIL ALLAH yang hebat di sisi Allah dan merendah diri pada semua makhluk sekeliling mereka.
Setiap kali mendidik, saya berniat untuk menjadikan mereka benar-benar WAKIL ALLAH yang menjalankan tanggungjawab dan amanah DENGAN NAMA ALLAH SWT YANG MAHA PEMURAH DAN PENYAYANG. Yang sentiasa SEDAR pada Allah. Memahami diri adalah WAKIL ALLAH yang ditentukan oleh Allah sebagai pelajar yang perlu menuntut ilmu Allah.
Belajar bukan kerana peperiksaan, bukan kerana takutkan gagal, bukan kerana pensyarah etc tetapi Allah tidak mahu mereka gagal, Allah mahu mereka menghormati pensyarah, Allah mahu mereka rajin, Allah mahu mereka berjaya.
Setelah bekerja nanti, bukan sekadar kerana gaji, kerana bos, kerana syarikat etc tetapi kerana yang mengaturkan hidup mereka dan kita semua ini adalah Allah SWT. Allah mahu mereka melaksanakan tanggungjawab dan amanah kerana mereka adalah wakil Allah dalam setiap tugas yang ditetapkan Allah sebagai Jurutera, sebagai usahawan dan sebagainya.
Ketika apa yang mereka lakukan semata-mata kerana Allah dan DENGAN NAMA ALLAH, pastilah mereka juga akan melakukan merangkumi kerana yang lain.
“Ya Allah, aku mohon keampunan dengan semua kesalahan yang pernah aku lakukan dalam mendidik wakilMu ya Allah. Aku mohon petunjuk dan kekuatan yang berterusan dalam mendidik wakil-wakilMu ini ya Allah. Terima kasih ya Allah terima kasih.”
Fuad Latip
8 Mei 2012 (10 tahun bersama UiTM)
Popularity: 12% [?]
Carta Alir Ilham Baik dan Fujur (Buruk)
4 May 2012 |
Cetak Artikel
Sedari Allah setiap saat agar jiwa sentiasa diilhamkan taqwa. Apa yang kita lakukan semuanya bermula dengan dorongan iaitu niat dan kehendak.
Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah dirinya sendiri.
Mengubah diri sendiri agar jiwa sedar Allah. Tiada daya yang diperlukan untuk menyedari Allah dan beriman kepadaNya kerana pulang ke Allah adalah hal yang paling mudah namun sukar dilakukan kerana dihijab dengan fikiran dan ego.
Hal lain memerlukan usaha yang mana kita tiada daya melainkan daya yang diberikan oleh Allah SWT.
Lalu sedarilah Allah, nanti diilhamkan taqwa iaitu petunjuk dan kekuatan dan kita akan digerakkan Allah kepada kebaikan bersama jiwa yang ikhlas dan bahagia. Ini yang kita mampu lakukan untuk mengubah diri kita sendiri.
Popularity: 16% [?]
Memuji Dan Memohon Ketika Gelisah
2 May 2012 |
Cetak Artikel
Seandainya saat ini stress dengan banyak kerja atau pelbagai hal yang harus diselesaikan…. sama-samalah berdoa memohon kepada Allah dengan Doa Iftitah. Jangan dibaca… tetapi memuji dan memohon.
Gelisah itu wujud kerana tidak ikhlas. Lalu ketika jiwa tidak ikhlas, ikhlaskannya dengan memuji dan memohon kepada Allah. Doa iftitah menghubungkan jiwa ini dengan Allah. Ia akan menyedarkan kembali amanah Allah ke atas kita sebagai wakilNya. Lalu Allah pasti menurunkan cahayaNya dan menjadikan jiwa kita ikhlas dengan benar. Di saat jasad keletihan dan mungkin stress, maka jiwa yang ikhlas mampu menaikkan semula semangat dan tenaga jasad ini.
Mari saya ajarkan….
Ketika saudara memuji dan memohon dalam bahasa arab, saudara sedar dan fahamilah seperti berikut:
Diam dan tenang seketika. Datanglah kepada Allah dan katakan pada Allah…..
1. Ya Allah. Engkaulah Tuhan Yang Maha Besar sebesar-besarnya ya Allah.
2. Segala puji bagiMu ya Allah sebanyak-banyaknya.
3. ya Allah Maha Suci Engkau ya Allah siang dan malam.
4. ya Allah…. kuhadapkan wajahku kepadaMu ya Allah Tuhan Yang menjadikan langit dan bumi dengan lurus, berserah diri dan aku ini ya Allah bukan hambaMu yang musyrik ya Allah.
5. Ya Allah…. sesungguhnya solatku ya Allah, ibadahku ini ya Allah, hidupku ya Allah, matiku ya Allah ADALAH UNTUKMU Tuhan sekelian alam.
6. ya Allah… tidak ada sekutu bagiMu ya Allah dan aku diperintahkan untuk tidak menyekutukanMu dan aku ini dari golongan orang yang berserah diri hanya untukMu ya Allah.
Cubalah berdoa dengan tenang dan sedar Allah. Saya berdoa dengan doa iftitah tidak sekadar dalam solat semata-mata. Saya berdoa selalu ketika saya sedang berhadapan dengan apa jua perkara yang membuatkan saya rasa sukar, bimbang, penat, letih, gelisah dan inshaAllah hati menjadi tenang selepas berdoa.
Namun pastikan benar-benar berdoa. Bukan ‘membaca’ doa. Doa dalam sedar kepada Allah dan fahamnya adalah kita sedang memuji dan memohon kepada Allah.
Salam Ketenangan.
Fuad Latip
2 Mei 2012
Popularity: 20% [?]










